Friday 27 June 2008

Anak Kera Disusukan Anak Sendiri Kelaparan


Sebenarnya isu tumbuhnya pasaraya atau ‘hyper market’ tanpa kawalan semenjak tahun 2000 lagi, tetapi perkara ini tidak diendahkan oleh pihak berkenaan walaupun banyak rungutan dan aduan dibuat. Dengan bertambahnya pasaraya atau ‘hyper market’ seperti Jaya Jusco, Tesco, Careffour dan sebagainya sebenarnya telah lama membunuh peruncit-peruncit di seluruh Negara terutamanya di bandar-bandar besar seperti di P.Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Melaka dan beberapa negeri lain.
Ada kebenaran kata-kata dan luahan Presiden DPPM, Syed Ali Alattas yang menyatakan bahawa pembinaan pasaraya ini di buat tanpa mengikut syarat yang telah di tetapkan. Contohnya walaupun kerajaan menetapkan syarat pembinaan setiap pasar raya perlu berada dalam lingkungan 10 kilometer dari bandar, tetapi kebanyakannya tidak dipatuhi dan ini termasuk pembinaan pasar raya di kawasan seperti di bandar- bandar kecil.
Kenapa ini boleh berlaku? Tidakah mana-mana pembinaan pasaraya berkenaan perlu melalui pihak yang berkaitan? Tetapi persoalannya ialah kenapa ini masih boleh terjadi? Apa pegawai yang berkaitan buat semasa proses permohonan dan kelulusan tersebut?

Tidakah setiap pasar raya yang ingin didirikan diadakan perbincangan terlebih dahulu dengan pihak-pihak berkaitan seumpamanya seperti para peruncit terutama sekali. Tujuan perbincangan dengan para peruncit ini perlu diadakan untuk mencapai kata persetujuan demi kepentingan para peniaga runcit di masa hadapan. Tapi apa yang dilihat, sebenarnya para peruncit ini telah diabaikan dan dipandang sepi sehingga tiada siapa yang peduli dan tiada tempat yang boleh mereka mengadu nasib.

Para peruncit ini adalah rakyat Malaysia yang mencari rezeki di bumi sendiri, tapi cuba kita lihat pada pasar raya-pasar raya tersebut, siapakah pemilik yang sebenarnya. Nampaknya ada pihak sanggup mengadai maruah anak bangsa semata-mata untuk memenuhi tuntutan nafsu sehinga anak sendiri dipinggirkan kelaparan tetapi anak kera di hutan disusukan.

Saya begitu terkilan dengan kenyataan seorang Menteri Kabinet yang menyatakan bahawa wujudnya pasar raya seperti cendawan tumbuh pada hari ini adalah disebabkan gaya hidup rakyat Malaysia yang sudah berubah. Kita tidak nafikan semua orang ingin membeli-belah dalam keadaan selesa dan semua ada dalam satu bumbung, tapi itu hanya dari segi satu sudut, dari sudut yang lain pula, apakah kesan dan risiko yang terpaksa di tanggung oleh peruncit-peruncit di seluruh Negara. Ditambah lagi dengan kemungkinan kenaikan harga minyak yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri, apakah akan terjadi pada peruncit-peruncit di seluruh Negara.

Dengan modal yang kecil sudah semestinya begitu sukar untuk menyaingi pasar raya besar seperti Careffour dan sebagainya. Berbanding dengan saiz pasar raya yang besar, membolehkan ia menghimpunkan pelbagai produk di bawah satu bumbung untuk memudahkan orang ramai membeli-belah yang mana sememangnya tidak mampu disaingi oleh peniaga kecil. Dengan modal yang sedikit, mampukah peruncit membeli secara pukal seperti amalan oleh pihak pasar raya? Ini adalah kerana pasar raya besar yang dimiliki oleh syarikat gergasi ini berkemampuan membeli secara pukal terus dari kilang-kilang dengan harga yang lebih murah.

Sepatutnya Kerajaan patut mencari penyelesaian untuk membantu peruncit-peruncit ini dan bukannya menyalahkan peruncit kerana tidak mengubah cara perniagaan mereka. Mulut senang bercakap kerana Menteri berkenaan tidak berada dalam situasi sebenarnya peruncit hadapi sekarang.

Walaupun Perdana Menteri telah mengadakan perjumpaan untuk mengambil hati para peruncit tetapi lebih dari itu harapan para peruncit ini. Janganlah hanya sekadar melepaskan batuk ditangga dan janglah hanya selepas perjumpaan itu Kerajaan dan pihak berkaitan diam membisu seribu bahasa.
Mujurkan setakat ini belum ada syarikat gergasi luar negara buat pasaraya kopitiam. Kalau tidak WARTA CITRA CAFE pun akan bungkus.

Rakyat Merana Kerajaan Tidak Popular

Kerajaan telah mengambil langkah drastik apabila Pak Lah dalam sidang akhbarnya telah mengumumkan kenaikan harga petrol dan diesel hampir kepada 100%. Jadi rakyat seluruh Negara terpaksa menelan keputusan yang telah diumumkan oleh Kerajaan yang dipilih untuk mentadbir Negara.

Petang pengumuman kenaikan harga minyak oleh Pak Lah, Warta Citra Cafe dipenuhi dengan pelanggan tetap dan rakan-rakan mereka memberikan reaksi terhadap pengumuman Pak lah. Dilihat dari reaksi pelanggan dari semua kaum, Melayu, Cina dan India, rata-rata mereka sebenarnya akur akan kenaikan harga pasaran minyak dunia. Namun mereka mempersoalkan janji Kerajaan BN sebelum pilihanraya bahawa tiada sebarang kenaikan harga minyak sehingga akhir tahun 2008.

Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya, dan rata-rata rakyat mula mengeluh dan menyatakan Kerajaan pimpinan Pak Lah cakap tak sama seperti yang dijanjikan dan mereka rasa tertipu. Sehingga hari ini kemarahan rakyat masih tidak reda.

Pengumuman saat-saat akhir ini juga mendedahkan kelemahan pentadbiran Pak Lah kata mereka. Pengumuman tanpa sebarang tanda ini bukan sekali di buat oleh Pak Lah tetapi pada masa pilihanraya lalu pun perkara sama telah terjadi dan akibatnya UMNO tersungkur dan BN ditolak oleh rakyat. Mereka mempersoalkan sikap Pak Lah yang tidak bercakap benar dalam pentadbiran Negara. Kenapa rakyat tidak dimaklumkan lebih awal atau memberikan tanda-tanda yang akan Kerajaan menaikan harga, namun sebaliknya berlaku dan rakyat yang menjadi mangsa.

Walaupun mereka yang dapat saya dekati menyatakan betapa mereka bersyukur Malaysia tidak lagi di bawah pentadbiran Tun Mahathir, namun dari segi pentadbiran, Tun Mahathir adalah yang terbaik.

RTM 1 telah menyiarkan rancangan Isu Semasa di mana Datuk Shahril Samad di panggil untuk menjelas dan meredakan kemarahan rakyat akibat kenaikan harga minyak. Namun beliau hanya menyatakan tentang betapa Kerajaan perihatin kepada rakyat kerana masih memberi subsidi sebanyak 30 sen dan Kerajaan terpaksa menangung bebanan subsidi sebanyak RM5.16 bilion. Itulah yang asyik diperkatakan dan diperjelaskan oleh beliau dan juga media-media Kerajaan.

Namun rata-rata rakyat terkilan kerana media dan Sharil Samad tidak langsung melahirkan rasa simpati atas bebanan yang terpaksa di pikul oleh rakyat yang pendapatan di bawah RM1000 sebulan yang secara purata mempunyai tangungan 3 anak. Dengan pendapatan di bawah RM1000 sebulan mampukah rakyat untuk ‘survive’ di kota besar seperti Kuala Lumpur ini. Dengan kos sewa rumah dari RM300-500 sebulan, perbelanjaan isi rumah untuk makan/minum dan pakaian anak-anak, mampukah mereka mengharungi arus kehidupan di kota.

Di manakah kelantangan, ketegasan dan keperibadian Shahril Samad yang sentiasa mempertahankan hak rakyat jika situasi ini berlaku dan menyusahkan rakyat berbanding sebelum dilantik sebagai Menteri Kabinet? Nampaknya mata dan telinga beliau telah ditutup dan mulutnya telah di ‘remote control’.

Kerajaan sekali lagi menunjukan kelemahan apabila tidak memberikan keyakinan kepada rakyat akan kawalan terhadap bekalan makanan atau bahan mentah dan apa jua perkhidmatan seperti pengangkutan dari mengalami kenaikan harga kesan dari kenaikan harga minyak.

Pada malam diumumkan kenaikan harga minyak, rakyat sudah menjangka akan berlaku kenaikan harga barang dan perkhidmatan dan Kerajaan hanya membisu tanpa memberi sebarang jaminan kawalan terhadap harga barangan dan perkhidmatan. Hari ini di dada-dada media, laporan menyatakan pihak-pihak yang terlibat dalam sektor perkhidmatan masing-masing sudah berlumba untuk menaikan harga perkhidmatan mereka.

Apa akan jadi pada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah, merekalah yang terpaksa menangung bebanan kesan kenaikan harga minyak.

Gaji masih di takuk lama, kos hidup semakin meningkat dan ini menyebabkan kuantiti kehidupan bertambah bebanannya dan kualiti kehidupan semakin merosot.

Satu lagi kemarahan rakyat ialah pembatalan pembelian petrol dan diesel oleh penduduk Negara jiran. Sebelum ini Kerajaan menyatakan rakyat asing hanya boleh mengisi petrol atau diesel melebihi 50km dan larangan tersebut mula dilaksanakan oleh semua pengusaha stesen minyak di sempadan seluruh Negara. Namun ia hanya sementara, sebaliknya rakyat menjadi mangsa. Warga asing menarik nafas lega kerana mereka masih dapat menikmati subsidi minyak sama dengan rakyat Malaysia.

Jadi perlukah Kerajaan dengan bangga memaklumkan betapa Kerajaan terpaksa menangung bebanan subsidi bagi keperluan rakyat sebanyak RM5.16 bilion ? Hakikatnya jumlah subsidi tersebut termasuk subsidi yang dinaikmati oleh rakyat asing.

Jadi berapakah subsidi yang sebenarnya dinikmati oleh rakyat Malaysia dan rakyat asing? Kerajaan patut mengambil tindakan agar subsidi minyak hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia dan bukannya dikongsi sama rata dengan warga asing. Sebaliknya Kerajaan hanya membiarkan perkara ini terjadi, nampaknya benarlah kata pepatah ‘anak kera dalam hutan disusukan, anak sendiri dibiarkan kelaparan’.



Pelbagai alasan diberikan oleh Kerajaan apabila sesetengah rakyat mempersoalkan keuntungan yang diperolehi oleh Petronas. Janganlah ingat semua yang berada di Petronas itu adalah semua penyokong Kerajaan. Dari maklumat tidak sah yang diperolehi, rata-rata ramai yang berkerja di Petronas menyokong pembangkang tetapi mendaftar ahli UMNO. Kenapa ini terjadi, dari maklumat tidak sah, katanya antaranya ialah mereka mengetahui apa yang berlaku dalam Petronas.

Jadi bagi mengimbangi keadaan sedemikian dan asas untuk meredakan kemarahan rakyat, Petronas hendaklah mengkaji semula pemberian bonus diantara 4-6 bulan kepada kakitangan mereka. Sedangkan semua wang tersebut adalah hak rakyat dan jika diagihkan untuk projek-projek pembangunan masyarakat terutamanya di luar bandar sudah tentu tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi masyarakat terhadap Petronas dan Kerajaan khasnya.

Kerajaan perlulah melaksanakan mekanisme popular untuk memenangi hati rakyat. Walaupun tidak dapat membendung kenaikan harga minyak, sekurang-kurangnya tindakan popular ini menunjukkan rasa tanggungjawab dan ingin menyelami kesusahan rakyat pada hari. Antaranya ialah memotong elaun Menteri Kabinet, Timbalan Menteri, Ahli Parlimen, KSU dan pegawai-pegawai Kerajaan berpangkat JUSA C hingga JUSA A.

Selain itu juga, kemudahan seperti minyak percuma, Touch N Go percuma dan beberapa kemudahan lain hendaklah ditarik balik. Serta beberapa tindakan popular lain yang boleh menunjukan keperihatinan dan rasa tanggungjawab Kerajaan kepada rakyat.