Sunday 21 March 2010

PENDEDAHAN ZAHRAIN BALA BUAT PR



Setelah Zahrain mendedahkan pembohongan Anwar di Parlimen tempoh hari, PR mula mencari idea untuk membalas kembali serangan dari segenap penjuru ke atas BN/UMNO. Walaupun pemimpin tertinggi PR dari Pas dan Dap tahu akan pembohongan Anwar berhubung 16 September dari awal lagi, tetapi mereka tetap mempertahankan apa yang didedahkan oleh Zahrain terhadap Anwar. Sebaliknya mereka sedang mencari jalan atau usaha untuk ‘counter’ kembali pendedahan yang di buat oleh Zahrain supaya rakyat tidak terpengaruh dengan apa yang sedang berlaku dalam PR terutama pergolakkan dan krisis dalam PKR.

Ada sumber-sumber yang rapat dalam PKR mendakwa pemergian Anwar ke luar negara kerana tidak tahan dan ‘panas telinga’ akibat pendedahan oleh Zahrain mengenai pembohongannya hanyalah sekadar menutup rahsia sebenar pemergiannya berjumpa Al Gore di luar negara. Menurut sumber tersebut pemergiannya adalah tidak sengaja dan tergesa-gesa setelah pembongkaran rahsianya oleh Zahrain dalam Parlimen melondehkan seluarnya. Begitu juga dengan kehilangan pegawai khasnya Aasil Kazi Ahmad berbangsa Pakistan yang juga dikatakan perancang utama strategi politik Anwar juga sudah meninggalkan negara. Kerana dakwa sumber, mereka keluar negara adalah untuk merancang strategi dan untuk ‘counter’ kembali pergolakan yang berlaku dalam PKR dan strategi untuk menyerang BN/UMNO.

Kerana menurut sumber, turut mengiringi Anwar secara tergesa-gesa ke luar negara adalah jeneral-jeneral yang bekerja dibelakang tadbir kepada pemimpin-pemimpin utama dalam PR. Mereka ini adalah pembawa amanat dan idea dari ketua-ketua dan pemimpin tertinggi mereka. Jeneral-jeneral ini diibaratkan cermin buat pemimpin tertinggi dalam PR dan akan membawa segala butir perbincangan untuk perbincangan dan mendapatkan persetujuan pemimpin mereka.

Kalau diamati, beberapa strategi sedang dilaksanakan untuk menyerang BN/UMNO yang sedang meningkat popularitinya dikalangan rakyat. Pertama mereka menuduh Gagasan 1Malaysia adalah bersamaan dengan konsep 1Israel dan syarikat yang menjadi konsultan untuk Gagasan 1Malaysia juga didakwa mereka adalah dari Israel. Dikatakan, pihak Kerajaan akan mengemukakan satu usul ke Parlimen untuk menyangkal dakwaan Anwar tersebut dan jika terbukti Gagasan 1Malaysia tidak mempunyai kaitan dengan konsep 1Israel dan syarikat dari Israel maka Anwar akan di bawa ke jawatankuasa Parlimen untuk menentukan hukuman ke atasnya.

Namun, ramai juga berpendapat apalah salahnya jika benar Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib itu mempunyai persamaan dengan Konsep 1Israel. Bukankah dalam Islam dibenarkan jika melakukan atau melaksanakan perkara-perkara yang boleh membawa kebaikkan. Kita hendaklah tidak mencontohi dan menjauhi sama sekali perbuatan atau tindakan yang bertentangan dan menyalahi di sisi agama. Gagasan 1Malaysia ciptaan Najib bukannya Gagasan untuk menghancurkan negara sebaliknya ia adalah satu pendekatan untuk memakmurkan, menyatupadu dan membantu seluruh rakyat Malaysia dari semua peringkat dan dari pelbagai bangsa serta keturunan dari segi ekonomi dan sosial untuk kepentingan bersama.

Berbanding tindakan dan perbuatan sesetengah pihak dalam PR seperti meletakkan hukum halal dan haram mengikut sesuka hati mereka. Jika ia memberi keuntungan pada parti mereka maka halal lah cara tersebut dan begitulah sebaliknya. Lihatlah bagaimana Pas mempertahankan tindakan bukan Islam menghina Islam, lihatlah bagaimana Pas menjatuhkan maruah berhubung isu khalimah ‘Allah’, mempertahankan tindakan Kerajaan Pulau Pinang membatalkan sambutan Maulidur Rasul dan sebagainya. Inilah cara dan tindakan yang sepatutnya dipertikaikan kerana jelas menunjukkan ia adalah strategi dan pengaruh pihak tertentu seperti firaun-firaun kecil yang diperkatakan oleh Zulkifli Noordin untuk memecah belahkan umat Islam.

Yang keduanya strategi mereka menggunakan Pas melalui program sembahyang hajat yang dilaksanakan seluruh negara. Pengaruh agama digunakan untuk meraih simpati dan sokongan rakyat. Peliknya parti Pas, sembahyang hajat yang mereka lakukan ini bukanlah untuk memberi faedah kepada rakyat seluruh negara sebaliknya sembahyang hajat yang mereka lakukan adalah bermotifkan politik semata-mata seperti meminta balasan dan bala buat pemimpin yang melompat parti dan tidak menyokong mereka. Kenapa Pas tidak menyeru penyokong atau menggerakkan programnya sembahyang hajatnya memohon supaya negara tidak dilanda bala kemarau dan kehancuran atau sebagainya untuk kepentingan bersama. Setahu rakyat jelata hanya di Kelantan saja berbuat sedemikian apabila mereka mengadakan sembahyang hajat memohon dijauhi kemarau yang melanda.

Tetapi banyak solat hajat yang dilakukan oleh Pas sekarang ini lebih bermotifkan politik dan meminta bala dijatuhkan ke atas pihak yang tidak menyokong mereka. Bukankah umat Islam diminta supaya mendoakan kebaikkan untuk umatnya? Jika tidak suka sekalipun pada seseorang bukankah kita dikehendaki mendoakan agar mereka-mereka itu terbuka hatinya untuk kembali kepada jalan yang benar dan diredhai oleh Allah sebaliknya bukannya mendoakan kecelakaan buat mereka?

Berbalik kepada siri pendedahan oleh Zahrain terhadap pembohongan Anwar, jelas bahawa tindakan dan perbuatan beliau untuk berkuasa tidak bertunjangkan amalan demokrasi sebaliknya lebih kepada tindakan untuk menimbulkan huru hara dan kekacauan dalam negara. Bukan itu saja, untuk menghalalkan cita-citanya, Anwar sanggup menjual maruah negara dengan memburukkan negara di luar negara. Tindakan Anwar hanyalah untuk melumpuhkan ekonomi negara supaya para pelabur tidak lagi percaya dan takut untuk melabur ke dalam negara. Bukankah tindakan Anwar ini hanya mengundang pada buat negara dan rakyat juga yang akan sengsara.

Sebab itulah Presiden Pas, Haji Hadi mengingatkan para jemaahnya dan merasa bangga kerana pemimpin dan penyokong mereka tidak terjun dari bahtera seperti rakan-rakan politiknya dalam PR. Haji Hadi dalam kenyataannya juga secara sinisnya menyindir sikap Anwar apabila menegaskan Pas hanya memilih jalan demokrasi untuk menawan Malaysia berbanding Anwar yang menjaja nama Agong, Ketua ATM dan kononnya mendapat sokongan sebilangan ahli BN/UMNO untuk menjadi Perdana Menteri. Hakikatnya kenyataan ini sentiasa diulang oleh Pas pada penyokongnya namun apa yang dilakukan oleh rakan mereka jauh menyimpang dari pendirian sebenar mereka. Tetapi pemimpin Pas seperti Nik Aziz tetap mempertahankan dan menghalalkan tindakan Anwar apabila mendakwa haram jika ahli Parlimen PR melompat parti masuk BN/UMNO atau bebas tetapi halal jika ahli Parlimen BN/UMNO lompat parti menyertai mereka. Nik Aziz juga mendakwa sikap ahli politik seperti Zahrain dan rakan-rakan yang lompat parti mendedahkan kebenaran dan kebathilan Anwar adalah tidak bertamadun sebaliknya bertamadun jika menyokong orang yang pernah memperumpamakan dirinya sebagai ‘Ulamak Terompah’ melalui tindakan untuk meruntuhkan kemakmuran dan menghancurkan ekonomi negara.



Akok@Baulu

Sunday 14 March 2010

FELDA PULA MENJADI SASARAN



Sejak mutakhir ini kawasan-kawasan FELDA mula menjadi sasaran oleh PR untuk menyerang dan meruntuhkan kehormanian yang selama ini dinikmati oleh para peneroka. Tidak dinafikan anasir-anasir pembangkang sudah lama bertapak di FELDA sejak sekian lama tapi tidaklah seperti apa yang sedang berlaku pada hari ini. Pemimpin pembangkang yang diketuai oleh Pas ditugaskan untuk menimbulkan huru-hara di seluruh FELDA dalam negara.

Tindakan yang lebih agresif oleh PR ke atas FELDA terutamanya FELDA di negeri Pahang pada kali ini hanyalah semata-mata untuk menyerang dan menjatuhkan Najib. Setelah isu Altantuya tidak mendapat tempat, pentadbiran Najib pula semakin dekat di hati rakyat, maka PR mula melancarkan gerakan agresif menyerang FELDA. Bagi menarik perhatian, PR telah menubuhkan Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) untuk mengaburi mata rakyat dan para peneroka yang kononnya persatuan ANAK ini mewakili anak-anak peneroka FELDA seluruh negara. Namun hakikatnya, ANAK yang dipengerusikan oleh Mazlan Aiman yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat tidak lebih dari bermotifkan politik semata-mata atas apa yang diperjuangkan oleh mereka.

Tindakan persatuan ANAK yang dikatakan menuduh Kerajaan menindas dan menganiaya para peneroka serta berlakunya penyelewengan di tanah-tanah rancangan FELDA hanyalah tuduhan semata-mata kerana tujuan utama mereka ialah menyerang Najib dan kepimpinannya. Sekurang-kurangnya dengan serangan ke atas FELDA dan serangan PR untuk merampas Pahang, ia akan dapat mengalihkan tumpuan BN/UMNO untuk memperkuatkan jentera dan kempen di tempat-tempat berkenaan. Apabila strategi mereka ini berjaya, senanglah mereka memperkukuhkan dan merancang strategi untuk memperkuatkan jentera mereka di negeri-negeri yang mereka kuasai seperti Pulau Pinang, Kedah dan Selangor kerana BN/UMNO lebih tumpukan kawasan FELDA dan Pahang.

Asakan mereka dilihat untuk merampas Pahang dan menguasai kawasan FELDA, namun hakikatnya strategi mereka adalah untuk mengurangkan tekanan yang diberikan oleh BN/UMNO kepada PR terutamanya negeri-negeri yang sedang bergolak seperti Pulau Pinang dan Selangor. Begitu juga strategi Dap untuk merampas kembali Perak sedang giat diusahakan, tidak lupa Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak adalah negeri idaman Dap untuk melebarkan kuasa mereka, Pas dan PKR pula di Terengganu untuk melengkapkan penguasaan mereka di Pantai Timur.

Namun disebalik apa yang berlaku di FELDA pada hari ini ada perkara yang tersembunyi yang harus dihayati oleh rakyat dan peneroka terutamanya. Jika umat Islam di Malaysia hari ini sudah terpecah dua kerana fahaman politiknya kali ini FELDA satu-satunya organisasi besar milik orang Melayu mula diserang untuk dipecahkan ruyungnya. Desakan yang dibuat oleh persatuan ANAK ini dilihat adanya agenda tersembunyi dari pihak tertentu untuk menguasai FELDA di masa akan datang. Jika FELDA pada hari ini dimiliki oleh orang-orang Melayu, tidak mustahil jika PR memerintah FELDA ini akan dibuka pada bukan Melayu. Adakah ini juga antara strategi firaun-firaun kecil seperti yang dinyatakan oleh Zulkifli Noordin?


Akok@Baulu

Monday 8 March 2010

JUJURKAH PEMECATAN ZULKIFLI NOORDIN


Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Noordin telah dipecat keahliannya dari PKR berkuatkuasa serta merta (6 Mac 2010) dan beliau menyatakan ia adalah detik hitam dalam perjuangan reformasinya untuk menegakkan keadilan dan memperjuangkan Islam. Kedegilan beliau yang lantang dan berlawan arus dalam pejuangan PKR mempertahankan isu khalimah Allah mengundang kepada pemecatan sebagai ahli PKR.

Istiqomah Zulkifli untuk mempertahankan kenyataanya berhubung isu khalimah Allah didakwa ditidak senangi oleh firaun-firaun kecil dalam PKR. Beliau menyatakan firuan-firaun kecil inilah yang mempengaruhi keputusan pemecatan beliau dan mempunyai agenda, rancangan yang sempit lagi anti Islam. Walaupun beliau tidak dedahkan siapakah firaun-firaun kecil ini tetapi kenyataan Zulkifli bahawa firaun-firaun kecil ini mempunyai agenda dan rancangan sempit lagi anti Islam membuatkan kita cukup risau dan tertanya-tanya, kenapa masih ada pemimpin-pemimpin dalam PKR dan Pas yang lantang melaungkan dan memperjuangkan Islam tidak mempertahankan Zukifli dan tetap bersetongkol dengan firaun-firaun kecil ini?

Tindakan pemimpin-pemimpin PKR dan Pas tidak mempertahankan Zulkifli dalam istiqomahnya mengenai khalimah Allah membuktikan bahawa pemikiran mereka sudah dikuasai oleh duniawi dan kelazatan dunia seperti firman Allah yang dapat dihuraikan bahawa, diakhir zaman umat Islam diumpamakan seperti bui-buih dilautan. Walaupun umat Islam semakin ramai namun mereka tidak bersatu, tiada istiqomah dalam mempertahankan dan kesepakatan dalam agama Islam, sehinggakan pada masa itu bukan Islam dapat mempengaruhi setiap pemikiran umat Islam. Inilah yang dirisaukan oleh Zulkifli ke atas firaun-firaun kecil namun ia hanya dipandang sepi oleh sah kepimpinan Islam PKR dan Pas kerana mereka sudah lena dan seronok dengan kelazatan dunia.

Namun apa jua berlaku, ia mendedahkan akan pergolakan dan semakin pupusnya sokongan rakyat kepada PR terutama PKR. Walaupun rakan-rakan dalam PR masih mempertahankan Anwar namun dengan apa yang sedang terjadi dalam PKR sedikit sebanyak rakyat sudah buka mata. Rakyat boleh menilai siapa pemimpin yang bekerja, ambil berat dan membela mereka berbanding pemimpin yang terlena dengan kelazatan dunia.

Tapi dalam kes Zulkifli ada sedikit keistimewaanya, bukan mempertikaikan istiqomah dan perjuangan Zulkifli, tapi dalam politik semuanya boleh berlaku. Kenapa Zulkifli susah sangat nak istiharkan keluar parti dan menjadi ahli parlimen bebas? Sedangkan terang lagi bersuluh seperti beliau nyatakan dalam tulisanya bahawa wujudnya firaun-firaun kecil dalam PKR yang beliau tidak senangi dan ingin menjatuhkan beliau? Sehingga beliau diumumkan dipecat dari PKR, beliau masih berteka-teki dan mengulangi masih setia dengan Anwar dan PKR. Sedangkan partinya sudah tidak memerlukannya lagi jadi apa lagi yang ditunggu oleh Zulkifli?

Atau ini juga mungkin strategi Anwar dan Zukifli, setelah dipecat dan diasak supaya melepaskan jawatan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu oleh jawatan kuasa disiplin parti dan AMK Kedah, maka Zulkifli akan istihar dirinya bukan lagi Ahli Parlimen. Maka akan adalah satu pilihanraya kecil untuk menguji kekuatan BN dan PKR siapa yang masih mendapat tempat. Zulkifli mungkin akan bertanding tapi atas tiket bebas ditaja oleh PKR. Populariti dalam pilihanraya kecil ini juga amat penting setelah dilihat BN semakin mendapat tempat dan kekecohan berlaku dalam PR boleh mengukur siapa di hati rakyat.

Mungkin inilah yang dirancang oleh Anwar dan sekutunya, tiada siapa yang tahu kerana dalam politik ada saja boleh berlaku. Kerana terlalu inginkan kelazatan dunia, manusia sanggup lakukan apa saja sehinggakan yang haram pun boleh dihalalkan.

Akok@Baulu

Monday 1 March 2010

LIM KIT SIANG TAK FAHAMI ISLAM

Setelah hukuman sebat dilaksanakan oleh Kerajaan BN ke atas pesalah yang melakukan zina maka muncullah suara-suara sumbang mempertikaikan hukuman sebat tersebut. Alasan mereka hukuman yang dilaksanakan adalah penindasan buat kaum hawa dan tidak mampu menghalang atau menginsafkan pesalah berkenaan. Lebih menyedihkan apabila bantahan itu diluahkan oleh umat Islam sendiri. Kedangkalan sesetengah umat Islam dalam mempertikaikan hukuman Islam menunjukkan tidak konsistennya Islam itu sendiri pada pandangan bukan Islam.

Jadi, apabila melihat wujudnya perbezaan pendapat dan percangahan menetatapkan sesuatu fakta, ia memudahkan serangan bukan Islam ke atas umat Islam. Maka janganlah kita melenting dan menjadi jaguh apabila adanya bukan Islam seperti Lim Kit Siang membantah tindakan hukuman sebat kepada pesalah zina Islam. Tindakan pihak pembangkang seperti Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang meraih simpati pemimpin luar negara terutamanya di Australia bukanlah perkara biasa, kerana negara lain sudah tidak menerima kehadiran mereka jadi Australia lah satu-satunya tempat bagi mereka menyerang dan menghina negara kelahiran mereka sendiri semata-mata untuk mencapai cita-cita peribadi mereka.

Bukankah Nik Aziz juga sudah mengajar kita bahawa bukan Islam seperti Lim Kit Siang ini tidak memahami Islam, jadi tak usahlah memarahi Lim Kit Siang. Biarlah Lim Kit Siang memburukkan nama negara, mempersenda hukuman sebat dan Islam ini kerana Nik Aziz ‘membenarkan’. Sebab itulah Nik Aziz sehingga sekarang mengambil sikap untuk ‘tutup mulut’ berhubung hukuman sebat. Lagipun beliau ‘takut’ pada Karpal Sigh (Singh Is King) Raja buat pengikut Sigh di Malaysia. Kerana Raja Sigh ini pernah berkata pada Nik Aziz, langkah mayat dia dulu kalau nak tubuhkan negara Islam.

Sebab perintah/titah dan ‘larangan’ langkah mayat Raja Sigh itulah maka Nik Aziz ambil pendirian ‘membela’ dan ‘membelakangkan’ Islam semata-mata akur dengan arahan Raja Sigh tersebut. Jadi adakah bukan Islam seperti Lim Kit Siang akan cuba memahami hukam Islam sedangkan umat Islam sendiri seperti Nik Aziz tidak mempertahankan hukum Islam yang mereka perjuangkan sebelum ini?

Jadi jika perkara ini di jaja ke luar negara, terutamanya negara-negara yang sentiasa menanti untuk meruntuhkan umat Islam, sudah pasti ia memberi kemenangan buat mereka. Sebabnya, umat Islam di dalam negara kita sendiri mempunyai pendirian yang berbeza dalam melaksanakan hukum Islam. Inilah maruah yang terpaksa dibayar oleh rakyat Malaysia setelah politik menguasai agama dan agama dipergunakan untuk menjayakan cita-cita politik.

Akok@Baulu