Sunday 16 May 2010

PAS MULAKAN LANGKAH MENYINGKIR DAP?



Timbul persoalan dikalangan pemain politik berhubung niat sebenar Pas hari ini yang berhasrat untuk menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sebagai sayap kanan parti tersebut. Dikatakan penubuhan DHPP ini bertujuan untuk menarik sokongan dan penglibatan masyarakat bukan Islam untuk menerima perjuangan Pas.

Tidak cukupkah peranan yang dimainkan oleh Dap dan PKR untuk menarik sokongan masyarakat bukan Islam selama ini bagi memberi sokongan kepada PR atau Pas mempunyai strategi lain dengan menubuhkan DHPP ini?

Ada menyatakan tindakan Pas selain bertujuan supaya penyokong bukan Islam menerima perjuangan Islam Pas, ia juga dilihat tindakan yang meragui jalinan persahabatan antara Pas dengan Dap dan PKR. Tindakan Pas menubuhkan DHPP ini dilihat seperti tidak menaruh keyakinan ke atas Dap dan PKR. Jadi jalan penyelesaian ketidak percayaan inilah akhirnya Pas memutuskan menubuhkan DHPP untuk menarik sokongan bukan Islam.

Ada juga menyatakan tindakan menubuhkan DHPP ini adalah disebabkan penyokong akar umbi Pas mula membuka mulut dan tidak kurang juga sudah ‘berpaling tadah’ menyokong UMNO kerana meluat dengan tindakan pemimpin-pemimpin Pas yang membuta-tuli menyokong dan mengiakan apa saja yang dikatakan dan diucapkan oleh pemimpin Dap dan PKR. Sehinggakan asas perjuangan sebenar Pas sudah mula melencong jauh dan Pas mula dijauhi oleh kaum Melayu.

Sebab itulah dikatakan atas desakan akar umbi supaya Pas jangan terlalu bergantung kepada Dap dan PKR untuk mendapat sokongan bukan Melayu, maka Pas akhirnya mendapat jalan penyelesaian dengan menubuhkan DHPP sebagai sayap kanan parti untuk menarik sokongan bukan Melayu.

Tetapi ada juga menyatakan tindakan Pas menubuhkan DHPP ini adalah antara langkah awal mereka untuk menyingkirkan Dap dan PKR dalam ‘persahabatan’ mereka. tindakan menyingkir Dap dan PKR melalui penubuhan DHPP ini adalah dikatakan berpunca sikap keterlaluan pemimpin Dap dan PKR dalam siri kempen dan ceramah mereka dalam siri PRK bermula di Hulu Selangor dan terkini di Sibu. Sikap Dap dan PKR yang terlalu rasis dan melontarkan sentimen perkauman untuk mendapatkan sokongan bukan Melayu dilihat oleh akar umbi Pas sesuatu yang memualkan. Sehinggakan ada pemimpin dan penyokong Pas tersinggung dengan kata-kata yang dilontarkan oleh pemimpin Dap dan PKR tersebut.

Jadi dengan menubuhkan DHPP ini sekurang-kurangnya Pas tidak lagi perlu bergantung kepada Dap dan PKR untuk mendapat sokongan bukan Melayu dan ia juga adalah langkah awal Pas untuk melarikan diri dari dari cemuhan akar umbi di atas sikap cauvanis dan ekstremis Dap dan PKR dalam membangkitkan sentimen perkauman.