Sunday 17 May 2009

BENARKAH UMNO MASIH BERBULAN MADU DI AWAN BIRU?

Sejak alami Tsunami politik melanda UMNO pada Mac 2008 dan kekalahan demi kekalahan dalam 4 Pilihanraya kecil nampaknya mengiakan bahawa UMNO sebenarnya masih di buai mimpi indah dan masih seronok berbulan madu di awan biru. Apa yang diutarakan sebelum ini telah di sahkan oleh Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan dalam kenyataan akhbarnya hari ini. (Berita Harian: 16 Mei 2009)

Beliau menjelaskan bahawa hampir 60,000 jentera penerangan UMNO disetiap Bahagian, Cawangan dan sayap parti tidak aktif dan gagal dalam melaksanakan hala tuju parti. Jadi selama ini kerja apakah yang dilaksanakan oleh Jentera Penerangan UMNO? Mungkin inilah antara punca dan sebab UMNO dilanda Tsunami. Kenapa perkara seperti ini boleh terjadi pada jentera penerangan UMNO? Adakah selama ini jentera penerangan UMNO tidak berkerja?

Selain itu juga, adakah jentera pemuda, wanita dan puteri UMNO bergerak menerangkan dasar parti pada rakyat seluruh Negara dan mendekati dan beramah mesra dengan rakyat jelata? Atau sekadar bergerak atas nama parti semata-mata untuk meraih pangkat dan kedudukan? Bukan semua jentera penerangan di seluruh Bahagian, Cawangan dan sayap parti tidak melaksanakan tugasan mereka. Begitu juga dengan jentera pemuda, wanita dan puteri UMNO ada yang berkerja dengan tekun untuk memastikan kejayaan UMNO. Namun, tidak dinafikan adanya sesetengah ‘golongan’ yang hanya akan bergerak jika poketnya diisi penuh dan di tawarkan dengan projek-projek.

Dari kenyataan Ahmad Maslan terbukti bahawa jentera penerangan UMNO boleh dikatakan tidak berfungsi dan paling mendukacitakan ialah apabila jentera penerangan UMNO tidak pasti dengan tugas dan peranan mereka terhadap rakyat. Cukup jelas, Tsunami yang melanda adalah kerana kelemahan UMNO sendiri dan akibatnya rakyat beralih kiblatnya pada pembangkang.


Kenapa sampai begini sekali terjadi dalam UMNO? Walaupun sudah mendekati tahun kedua selepas Tsunami politik Mac 2008 nampaknya UMNO masih lena dan dibuai mimpi di awan biru. Atau inilah sebenarnya sikap UMNO selama ini? kerana mereka beranggapan jentera Kerajaan akan melaksanakan tugasan penerangan dan sebagainya untuk UMNO. Jadi tepatlah apa yang diteka selama ini, dengan penjelasan dan pendedahan Ahmad Maslan bahawa jentera penerangan UMNO hanya akan bergerak secara bermusim iaitu masa pilihanraya sahaja dan waktu lainnya akan diambil alih oleh agensi Kerajaan lain seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Berita Harian:16 Mei 2009)

Hakikatnya jentera UMNO dilihat ‘acuh tak acuh’ serta tidak mengambil ikhtibar dan pengajaran dari apa yang dilaksanakan oleh pembangkang. Jentera penerangan pembangkang setiap hari memainkan peranan mereka menjelaskan isu-isu semasa. Tapi dalam UMNO sebaliknya, jentera penerangan UMNO lena diulik mimpi indah dan segala penerangan dan penjelasan mengenai isu-isu berbangkit diserah bulat-bulat kepada jentera agensi Kerajaan. Tapi bila tiba musim pilihanraya kecil atau umum mereka akan ambil peranan kerana ‘durian runtuh’ akan turun pada saat tersebut.

Kenyataan Najib, ketika baru mengambil alih pentadbiran Kerajaan kepada Kabinetnya supaya bangun dan bukannya masih dalam bulan madu di awan biru sepatutnya direnungi juga oleh semua ahli UMNO. Disebalik seruannya kepada para Menteri Kabinetnya, Najib sebenarnya menyeru semua ahli UMNO supaya tidak lagi berada di awan biru sebaliknya hendaklah berkerja keras dan memenangi hati rakyat dan bukannya ‘berlagak’ pada mata rakyat.

Sepatuntya dalam gelanggang politik ahli UMNO perlu sedar bahawa kuasa hanyalah sementara tetapi rakyat adalah buat selama-lamanya. Tapi adakah apa yang Najib buat dengan turun padang diambil pendekatan oleh ahli UMNO lain? Jika ia difahami oleh UMNO nescaya rakyat akan kembali pada UMNO, tapi jika UMNO masih di buai mimpi indah di awan biru maka semakin jauhlah UMNO ditinggalkan rakyat.


Akok@Baulu

No comments: