Monday 19 January 2009

KALI KE-2 BUKAN BERMAKNA LEMAH TAPI KALI KE-2 SIKAP TETAP SAMA

Pilihan raya kecil Kuala Terengganu telah berlalu dan sekali lagi Parlimen Kuala Terengganu beralih tangan berpindah pada Pas setelah dua penggal di bawah BN setelah BN merampas dari Pas pada 2004. Sekalung tahniah buat SPR dan PDRM yang telah berhempas pulas siang dan malam sejak hari penamaan calon hingga keputusan diumumkan.

Ada pihak semasa berkempen melahirkan rasa kurang senang dan sesetengahnya melemparkan pelbagai fitnah dan hasutan terhadap polis kerana kehadiran begitu ramai anggota polis semasa pilihan raya baru-baru ini. Tapi dengan kehadiran anggota polis yang ramai itulah dikatakan ada pihak ‘frust’ kerana polis berjaya menggagalkan cubaan pihak tertentu untuk menjadikan pilihan raya kecil Kuala Terengganu ‘sejijik’ pilihan raya kecil Permatang Pauh yang lalu.

Media seluruh negara melaporkan bahawa pilhan raya kecil Kuala Terengganu adalah yang paling bersih dan terbaik kerana tiada berlakunya insiden-insiden memalukan antara BN dan Pas berbanding pilihan raya Permatang Pauh yang penuh dengan ‘kejijikan’ insiden-insiden oleh pihak tertentu. Nampaknya tiada ‘hantu’ juga seperti yang didakwa oleh Pas dan PR setiap kali adanya pilihan raya.

Yang menang menarik nafas lega, yang kalah pula perlu menilai kelemahan yang ada. Pelbagai faktor kekalahan BN kepada PAS diperkatakan ramai baik di media dan cakap-cakap kedai kopi. Ada mendakwa kerana sikap calon BN yang sombong dan tidak mesra, perpecahan dalaman UMNO, isu hudud yang di bawa oleh Pas, mood rakyat hasil umpan Anwar Ibrahim berhubung peralihan Kerajaan, angin perubahan pengundi cina dan beberapa lagi isu tempatan lain.

Paling utama, masalah dalam UMNO, sudah berulang kali para veteran dan otai UMNO serta para penganalisa politik menekankan bahawa UMNO perlu perubahan. Nampaknya yang orang UMNO nampak hanya perubahan dalam peralihan pucuk pimpinan, sedangkan pergolakan dalaman parti langsung tidak dipedulikan. Orang UMNO memang susah nak faham atau buat tak faham? mereka masih lagi asyik berebut pangkat, mengaut wang untuk kumpul kekayaan, tikam belakang dan sebagainya. Dengan kata lain orang-orang UMNO masih lupa diri dan tidak cuba memahami ‘signal’ rakyat yang semakin membimbangkan BN.

Dengan kata lain UMNO masih tidak bersatu dan hanya mengharapkan jentera Kerajaan berkerja untuk mereka terutamanya dalam pilihan raya berbanding Pas dan PR yang berkerja keras sebelum hari penamaan calon lagi untuk menyakinkan rakyat.

Dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu juga dikatakan wujud beberapa ‘team’ dan akibatnya ‘team’ orang lama tidak keluar mengundi dan kalau keluar mengundi mereka akan pangkah calon pembangkang. Sebab itulah ada pihak mendakwa sehari sebelum pilihan raya, ‘team’ orang lama kebanyakkan sudah keluar dari Kuala Terengganu kerana kononnya mereka mendakwa penat lelah mereka tidak dihargai dan diperkecilkan.
Boleh dikatakan dimana-mana UMNO bermasalah, baik di Terengganu antara ‘team Mat Deris’ dengan ‘team Mat Said’. Rakyat setempat tahu masalah yang bergolak antara dua ‘team’ ini tapi lain pula yang diampu oleh media. Rakyat sekarang sudah pandai menilai, mereka membaca semua media baik yang Kerajaan mahupun pembangkang. Dari situ mereka akan menilai sesuatu berita dengan apa yang mereka dengar sendiri dengan telinga mereka.

Jadi yang pentingnya orang UMNO sendiri kena berubah perangai jika nak memenangi hati rakyat. Macam mana nak jadi pemimpin kalau kita sombong dan bermasam muka, mentang-mentang kaya dan berada, semua itu rakyat tidak mahu yang mereka mahu ialah personaliti yang sebaliknya. Pulak tu timbul cerita yang arwah sebelum ini di anak tirikan dalam UMNO. Bukan orang Pas yang bercerita tapi rakan-rakan rapat arwah dan orang-orang UMNO sendiri yang menjaja cerita di seluruh Kuala Terengganu, jadi macam mana rakyat nak percaya?

Tapi yang paling memihak kepada pembangkang dalam saat memenangi hati rakyat di Kuala Terangganu dikatakan berpunca dari pengumuman projek pembinaan LCCT di Labu oleh Sime Darby. Tak tahu macam mana isu LCCT di labu ini boleh diumumkan saat menjelangnya pilihan raya di Kuala Terengganu. Pembangkang guna sepenuhnya isu ini untuk menghukum BN kerana dakwa mereka ia satu projek yang membazir. Dihujah lagi dengan jumlah kapal terbang yang mendarat di LCCT dan KLIA di Sepang, serta lapangan terbang Subang yang diabaikan, ia cukup menyiksakan perjuangan BN.

BN tidak mampu melawan hujah-hujah pembangkang mengenai pembinaan LCCT di Labu kerana mereka lebih lena dengan isu hudud dan pengundi hantu yang merupakan perangkap Pas buat UMNO.

Sampai bila orang-orang UMNO ingin berubah perangai? Adakah perubahan hanya akan berlaku selepas Najib mengambil allih Kerajaan? Atau hanya selepas tamatnya pemilihan UMNO Mac nanti? Tapi pentingnya jika perangai dan sikap orang UMNO tidak berubah dan tidak mengendahkan teguran, nasihat dan tunjuk ajar dari veteran dan otai UMNO, kemungkinan UMNO akan terus dipinggirkan oleh rakyat.

Contoh perangai ‘buruk’ orang UMNO cukup mudah, kita lihat bagaimana Kelantan sudah hampir 20 tahun masih ditangan Pas. Apa pemimpin UMNO di Kelantan buat? Ramai tahu sikap pemimpin UMNO Kelantan terkenal dengan ‘cah keting’(tikam belakang) untuk mendapat kedudukan dalam parti. Tapi yang paling teruk dalam kepimpinan UMNO Kelantan hari ini dikatakan mereka sanggup kalah di tangan PAS. Sebabnya sekarang ini semua Ketua Bahagian ‘control’ peruntukan yang mencurah-mencurah dari Kerajaan Pusat untuk melaksanakan projek-projek UMNO. Sebab itulah Annuar Musa bermati-matian tidak melepaskan jawatan Ketua Perhubungan Negeri.

Kalau BN menang di Kelantan, segala peruntuk akan turun kepada Kerajaan Negeri, Ketua Bahagian tidak akan merasai apa yang mereka menikmati ‘anugerah tak terhingga’ dari Kerajaan Pusat yang mereka nikmati sekarang ini. Jadi bagi mereka, mereka sanggup tengok UMNO kalah asalkan kantung mereka penuh.

Itu antara sikap-sikap yang ada dalam UMNO dan ia diketahui umum kerana mereka yang kecewa dalam UMNO akan hebahkan kepada orang sekelilingnya. Jadi jika dalam UMNO tidak diubah dan orang UMNO sendiri tidak mahu berubah, jadi mereka terpaksalah membayar dengan nilai yang tinggi.


Akok@Baulu

No comments: