Saturday, 11 April 2009

WARKAH BUAT KABINET RAKYAT

Maka terbentuklah Kabinet baru di bawah Perdana Menteri Malaysia ke-6 dengan slogan ‘Kabinet Rakyat’ dengan aspirasi ‘‘Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan”. Sudah pasti rakyat akan melihat akan kekuatan, kesungguhan dan keikhlasan para barisan Kabinet Najib dalam menerajui pembangunan Negara.

Selaras dengan hasrat Najib dengan meletakkan KPI (Key Perfomance Indeks) sebagai petunjuk prestasi bagi menilai kerjaya yang dilaksanakan oleh barisan Kabinet beliau ia merupakan satu langkah yang harus diambil serius oleh barisan Kabinetnya. Namun, sejauhmana hala tuju dan kekuatan barisan Kabinet haruslah diberi tempoh sekurang-kurangnya 6 bulan pertama untuk melihat perancangan, strategi dan hala tuju untuk mengeluarkan Malaysia dari gelora krisis ekonomi global dan seterusnya untuk menarik kembali sokongan rakyat kepada BN.

Adakah perubahan yang cuba di buat oleh Najib dalam perlantikan baru Kabinetnya mampu untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada BN atau sebaliknya. Jika para Kabinet Najib pandai membawa diri dan memujuk hati rakyat, tidak mustahil rakyat akan kembali. Tetapi jika para pemimpin barisan Kabinet Najib masih bersikap angkuh, sombong, bongkak dan tidak mesra rakyat, sudah pasti Najib akan menerima hukuman yang sama seperti Tun Abdullah.

Jika dilihat barisan Kabinet yang dilantik oleh Najib adalah usaha beliau untuk tidak dibayangi oleh amalan rasuah dan politik wang dalam pentadbirannya. Semasa perhimpunan agung UMNO lalu, beliau juga telah mencadangkan pada masa akan datang pemilihan pucuk pemimpin tertinggi UMNO akan dilakukan oleh semua ahli UMNO dan bukan hanya oleh para perwakilan lagi. Apa yang Najib nyatakan ini boleh diterjemahkan dengan perlantikan Datuk Mukriz sebagai Timbalan Menteri MITI.

Dari tinjauan yang dibuat sejurus Najib mengumumkan barisan Kabinetnya, rata-rata ahli-ahli UMNO menyambut baik perlantikan Datuk Mukriz dalam barisan Kabinet Najib. Apa yang dijelaskan oleh ‘grass root’ UMNO ini, perlantikan Mukhriz boleh diibaratkan sebagai ‘ubat’ yang mengubati luka para ahli UMNO di PWTC baru-baru ini. Mereka juga berkata, walaupun Mukhriz gagal berebut Ketua Pemuda, tetapi ahli-ahli UMNO diseluruh Negara memilih beliau dan terbukti Najib mendengar suara rakyat.

Pembangunan adalah penting untuk Negara dan juga penting untuk memikat hati rakyat. Namun, harus diingat, jika hebat mana barisan Kabiner Najib dapat membawa pembangunan pada Negara tapi jika barisan Kabinetnya tidak ‘mesra rakyat’ sudah pasti hukuman seterusnya bakal melanda. Tindakan Najib turun padang secara mengejut di Brickfileds, Pantai Dalam dan Petaling Street sehari selepas menjawat jawatan Perdana Menteri harus diambil ikhtibar oleh barisan Kabinetnya. Rakyat hendaklah didekati, disapa, ditanya masalah yang dihadapi dan sekurang-kurangnya mendengar apa yang mereka luahkan.

Jika para barisan pemimpin Kabinet Najib mengambil pendekatan sedemikian rupa, tidak mustahil apa yang dialami hari ini dapat diatasi. Namun perlu juga diingat, jikapun turun padang mendekati rakyat, janganlah pula dengan paluan kompang, karpet kemewahan dan membazir wang rakyat. Kerana setiap apa yang dilakukan oleh Kerajaan akan dinilai oleh rakyat. Rakyat perlu didekati tapi jangan pula didekati dengan angkuh dan sombong bagai lagak sang Menteri Kayangan.

Jatuh bangun sesebuah Kerajaan bukan hanya bergantung pada nakhoda dan timbalannya, tetapi juga pada penghuni didalamnya yang sama-sama mengemudi kapal yang dinaikinya. Bak kata orang tua-tua ‘kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’ dan jika adanya para penghuni didalamnya tidak memahami kehendak ketua dan cuba membayangi ketuanya, sudah pasti peluang ini akan diambil oleh mereka yang ‘setia’ menunggunya.


Barisan Kabinet Najib harus bersatu hati, teguhkan peribadi dan berdiri sama tinggi agar hala tuju yang ingin dicapai akan menjadi realiti. Rakyat adalah hakim dalam menentukan berapa lama barisan Kabinet ini akan bertahan kerana ia bergantung pada wawasan dan perjuangan yang dibawa serta ‘mesra rakyat’ oleh para barisan Kabinet Najib.

Belum sehari Najib mengumumkan barisan Kabinetnya, pembangkang sudah memulakan rentak permainan mereka dengan melontarkan pelbagai dakyah dan kata-kata sinis kepada barisan Kabinet baru Najib. Dengan kata lain, pembangkang sudah memulakan ‘perang gerak saraf’ mereka terhadap rakyat supaya rakyat tidak yakin akan barisan Kabinet Najib. Sudah pasti mereka cuba meracuni fikiran rakyat supaya rakyat tidak yakin dengan barisan Kabinet Najib dan mereka akan memainkan isu ini sehingga rakyat percaya akan kata-kata mereka.

Apapun yang dilakukan oleh pembangkang, UMNO dan rakan-rakan dalam BN harus juga memulakan langkah untuk menyakinkan rakyat akan barisan Kabinet Najib. Rakan-rakan dalam BN haruslah bergerak sehati dan senada untuk menyakinkan kembali rakyat kepada Kerajaan. MCA, Gerakan dan MIC perlu bergerak pantas kerana 5 pilhanraya kecil yang telah berlangsung jelas menunjukkan peratusan pengundi Cina dan India memihak kepada pembangkang.


Akok@Baulu

No comments: