Friday, 3 July 2009
CAKAP TAK SERUPA BIKIN
Penduduk dan para pengundi di Manek Urai menyambut baik calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat untuk meneruskan agenda pembangunan dan memajukan kawasan Manek Urai berbanding dengan kawasan-kawasan lain di Kelantan. Kerana sejak Dun Manek Urai jatuh ditangan Pas, tidak banyak perubahan yang dilakukan kerana pemimpin-pemimpin Pas lebih tumpukan pada program ceramah berbanding membantu masyarakat dalam kesusahan.
Sebab itulah apabila nama Tuan Aziz di umumkan, rata-rata penduduk di Manek Urai walaupun dari parti Pas menyambut baik pencalonan beliau. Keperibadian dan pengalaman beliau memang diketahui oleh penduduk Manek Urai. Tapi, jentera UMNO tidak perlu leka dan hanyut dengan cerita-cerita angin sebegini, sebaliknya perlu bekerja keras untuk memastikan calon BN berjaya seperti yang diharapkan.
Paling penting bagi pilihanraya kali ini ialah jentera BN perlu meneruskan agenda Perdana Menteri iaitu turun padang dan menerangkan agenda pembangunan negara serta menyelesaikan masalah penduduk. Kemesraan dan rasa tanggungjawab untuk mendengar dan menyelesaikan maslah perlu diberi keutamaan. Seperkara lagi ialah jentera BN kena jaga tingkah laku, budi bahasa dan kata-kata terutamanya Puteri UMNO yang sentiasa mendapat perhatian dan dijadikan bahan cerita oleh pembangkang.
Perkara yang paling utama ialah dari segi pemakaian, Puteri UMNO perlu peka bahawa Manek Urai adalah kawasan luar bandar dan rata-rata penduduk kampung di Manek Urai masih menitikberatkan adat ketimuran. Pakaian-pakaian yang menjolok mata dan nampak ‘ranggi’ tak usahlah dipakai dan tidak perlulah menonjolkan kemewahan dan keayuan semasa berkempen. Kerana sikap penduduk di kawasan Manek Urai masih tebal dengan amalan kekampungan.
Bukan saja Puteri, tapi kepada Pemuda UMNO, janganlah turun dengan ‘gah’ dan jagalah tingkah laku supaya tidak dipulau dan dicemuh oleh penduduk kampung di Manek Urai. Kita perlu ingat, semangat persaudaraan dan kejiranan di Manek Urai masih tebal dan sedikit kesilapan apabila tersalah pakai pakaian yang menjolok dan menyakitkan mata dan tingkah laku yang disenangi oleh penduduk kampung, maka cerita itu akan dihebohkan dan dijadikan senjata untuk menyekat kejayaan BN memenangi pilihanraya di Manek Urai.
Seperkara lagi selain jentera BN kena kerja keras dan menjaga tertib dan kesopanan semasa berkempen, BN janganlah terlalu menyerahkan tugas berkempen dan merangka strategi atau apa saja kepada badan atau agensi Kerajaan. Jangalan jentera BN hanya sekadar turun padang minum-minum, makan-makan, arah itu arah ini dan akhirnya yang kena laksana agensi dan jabatan Kerajaan. Sebelum orang bercakap dan dijadikan cerita, patutlah ia dihentikan.
Penduduk Manek Urai dan Kelantan terutamanya sentiasa mengintai perkara ini dan walaupun sesuatu isu itu kecil pada pandangan jentera BN, tapi tidak bagi penduduk di Manek Urai. Janganlah terlalu menyerahkan tugasan yang sepatutnya dilaksanakan oleh jentera parti kemudian mengarahkan agensi dan jabatan Kerajaan melaksanakannya. Kerana pembangkang sudah pasti akan menggunakan segala kesilapan dan keegoan yang ada pada BN untuk memenangi pilihanraya di Manek urai.
Ini adalah kerana, menurut sumber dari Pas sendiri, penduduk mula bercakap-cakap akan permasalahan dalaman Pas terutamanya yang melibatkan Nik Aziz dan Haji Hadi. Bukan setakat permasalahan Nik Aziz dengan Haji Hadi, mereka juga meragui kesepakatan Pas dengan PKR dan Dap berbanding hasrat Haji Hadi untuk duduk semeja berunding dengan BN.
Menurut penduduk Manek Urai, mereka keliru dengan pendirian dan sikap sesetengah pemimpin Pas yang mendakwa UMNO memisahkan Islam dan tidak memperjuangkan Islam. Hakikatnya penduduk Manek Urai sedar bahawa Islam telah sekian lama diperjuangkan oleh UMNO sejak sebelum Merdeka dan sehingglah hari ini. Berbanding dengan Pas, yang satu ketika dahulu memperjuangkan Hudud tapi hari ini perjuangan Hukum Hudud telah lenyap dan begitu juga dengan pendirian mereka berhubung dengan negara Islam yang hilang tanpa berita.
Pas sanggup melepaskan atau melupakan apa yang mereka perjuangkan selama ini iaitu Hudud dan negara Islam kerana pada hari ini mereka sudah berkawan rapat dan berpakat dengan Dap dan PKR. Segelintir pemimpin Pas kini tidak lagi lantang bercakap pasal Hudud dan negara Islam kerana mereka terpaksa menjaga hati dan perasaan pemimpin dan penyokong Dap dan PKR dan bukannya menjaga hati dan perasaan umat Islam yang mahukan perpaduan.
Disnilah penduduk Manek Urai nampak akan pendirian seglintir pemimpin Pas yang telah didominasikan oleh pemikiran Dap dan PKR sehingga mereka sanggup menelan kembali ‘ludah’ mereka kepada UMNO apabila berkawan dengan Dap. Jika sebelum ini Pas mengkafirkan UMNO kerana berkawan dengan MCA dan MIC, tapi hari ini apa Pas bukan saja berkawan tapi berpeluk-peluk lagi dengan pemimpin Dap.
Jadi jelas dan kita perlu sedar bahawa pendirian Pas dalam perjuangan mereka tidak tetap dan sentiasa berubah berbanding dengan UMNO yang tetap pendiriannya dari sejak penubuhan hinggalah ke hari ini dari segi perjuangan memartabatkan Islam, menjaga kepentingan dan kestabilan seluruh rakyat Malaysia dan membangunkan negara. Jagalah tingkahlaku dan adab sopan lah semasa berkempen.
Akok@Baulu
Labels:
MANEK URAI,
Nik Aziz,
tuan aziz
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment