HARI INI MEMERINTAH, ESOK TURUN HARGA MINYAK
Semenjak pilihanraya 8 Mac lalu, terdapat arus perubahan besar dalam sistem media dan ketelusan kerajaan dalam mendekati rakyat jelata. Meskipun berdepan dengan serangan dari pembangkang dan masyarakat dalam isu kenaikan harga minyak, barangan dan inflasi, kerajaan masih lagi membuka pentas yang luas untuk rakyat menyampaikan pendapat mereka. Jika anda perhatikan, sausana ini tidak dinikmati di era pemerintahan Tun Dr Mahathir di mana sebaran maklumat menjurus kepada komunikasi satu hala. Segala bentuk cadangan dan kritikan hanya akan terpapar dalam akhbar pembangkang.
Namun, kesedaran kerajaan dalam era teknologi moden menyaksikan pintu demokrasi media dibuka lebih luas untuk memberi peluang kepada pihak pembangkang menyampaikan buah fikiran mereka. Langkah ini dilihat memberi keterampilan dan definisi ketelusan terhadap media yang sering dimomokkan pro-kerajaan.
Terbaru, debat yang bakal berlangsung pada hari ini, 15 Julai di antara Menteri Penerangan Malaysia, Dato’ Shabery Cheek akan yang bertemu dengan Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR. Sebelum ini Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Elwal Pengguna, Dato’ Shahrir Samad berdebat bersama Salahuddin Ayub dalam perbahasan kenaikan harga minyak, pihak Kerajaan dengan yakin dan berani menghuraikan dan menjelaskan mengenai peranan pertonas di dalam membantu kerajaaan serta faktor-faktor kenaikan harga minyak dunia. Kerajaan kini dilihat lebih yakin untuk memberi hujah logik dan positifnya demi menentang pelan yang bakal dikemukakan oleh Anwar.
Pertemuan kali ini dilihat lebih menarik kerana Anwar memang terkenal sebagai pemidato yang hebat. Beliau mampu menghimpunkan ratusan ribu manusia menerusi slogan reformasinya 10 tahun lalu. Kembalinya beliau dalam politik Malaysia juga dilihat sebagai hero di kalangan rakyat, tambahan pula dalam keadaan harga petrol yang naik 40 peratus Jun lalu.
Namun hakikat bahawa bahanapi adalah masalah global adalah sesuatu yang tidak boleh diketepikan. Dalam situasi semasa, masalah dunia ini tidak mengecualikan mana-mana negara. Kenaikan harga akibat dari spekulasi pasaran masa hadapan Amerika Syarikat dan kurangnya tahap pengeluaran di kalangan negara sumber juga menjadi faktor dominan terhadap situasi yang terjadi hari ini.
Apakah yang anda harapkan dari sesi perbahasan ini? Pertamanya, ia mungkin mendedahkan data-data yang selama ini kita tidak tahu, ia juga mungkin dapat menjelaskan dengan lebih terperinci tentang angka dan nombor yang mungkin boleh dijadikan asas serta panduan logik bagi mereka yang selama ini dilemparkan dengan hujah yang sangat subjektif. Kita semua maklum bahawa bekalan petroleum negara akan kering dalam kurang 10 tahun lagi, jadi apakah rancangan jangka panjang Petronas dalam menyiapkan Malaysia menjadi sebuah negara pengimport sepenuhnya satu hari ini?
Rakyat mungkin ingin tahu bagaimana negara pengeluar bahanapi di Timur Tengah, atau setidak-tidaknya Brunei mampu menyerap kenaikan ini. Rakyat juga mungkin ingin tahu keuntungan syarikat Petronas sejak kenaikan mendadak harga petroleum sejak lima tahun kebelakangan ini. Bukan setakat angka-angka umum seperti kenaikan kos perkhidmatan 200 peratus, kos cari gali, itu dan ini. Ada baiknya Shabery bersedia dengan hujah-hujah berdasarkan fakta dan angka kerana ia akan kembali kepada akauntabiliti dan ketelusan syarikat milik negara dan milik rakyat Malaysia.
Anwar juga perlu berhati-hati dalam mendakwa bahawa ketika beliau menjadi Menteri Kewangan, harga minyak tidak dinaikkan. Eranya sudah berbeza. Masyarakat tidak melihat serta mengkaji kejatuhan saham di bursa saham utama, Air sirap 30 sen di zaman 90-an sudah tidak ada lagi kini. Zaman berubah dan kos semakin meningkat. Sumber Petroleum makin terhad dan suasana geo-politik dunia hari ini juga sangat berbeza. Beliau perlu bersedia dengan fakta terperinci dan kajian menyeluruh dengan negara bandingan yang hampir sama sifatnya dengan Malaysia. Jadi perbandingan epal dengan epal boleh dilakukan. Beliau perlu menafsirkan sebuah negara bandingan dengan pengeluaran bahanapi yang sama dengan Malaysia, jumlah penduduk dan juga tahap pembangunan industri automotif serta fakta yang berkaitan untuk dikemukakan
Debat ini juga haruslah positif dalam memberi kebaikan kepada semua, bukan kepada kerajaan dan pembangkang, tetapi kepada keseluruhan rakyat Malaysia amnya. Tiada siapa yang berkehendakkan kehidupan yang susah. Krisis ekonomi 10 tahun lalu masih segar dalam ingatan kita. Banyak yang bankrap, ekonomi merudum, kadar pengangguran meningkat dan sesi pemulihan yang perit untuk dihadapi sekali lagi.
Sesi perbahasan ini harus melihat kepada sebaran maklumat berguna kepada rakyat dan bukannya pentas meluahkan emosi dan perasaan. Baik di pihak Shabery atau Anwar, kedua-duanya harus sama-sama memberikan perincian berguna untuk dibincangkan pada peringkat berikutnya. Hujah bukan setakat siapa yang paling bagus, tetapi berkenaan dengan buah fikiran yang hendak disampaikan. Poin-poin yang positif, tak kira dari mana-mana pihak harus disenaraipendek dan dijadikan asas untuk penambahbaikan situasi yang berlaku sekarang ini.
Sesi perbahasan ini akan disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen NTV9, Astro Awani dan BERNAMA TV. Debat ini juga akan disiarkan oleh TV3 pada jam 11 malam. Sudah tentunya audiennya akan mencecah bilangan jutaan orang. Rakyat akan menilai setiap tutur hujah yang disampaikan. Rakyat juga tidak ingin melihat siapa kalah dan siapa yang menang. Apa yang paling penting, mengetahui fakta dan hakikat sebenar terhadap dunia semasa. Buat seketika, ketepikan prinsip politik masing-masing, sampaikan apa yang dirasakan benar dan betul, berhujahlah secara positif dan matang untuk kebaikan negara.
No comments:
Post a Comment