HARAP-HARAP sejuta penyokong hadir di Perhimpunan Protes Sejuta Rakyat,Protes Sampai Turun di Stadium Kelana Jaya, Petaling Jaya, petang Ahad lalu, tetapi menjelang malam kira-kira 15,000 saja muncul.
Penyokong, pengampu dan kononnya pengikut setia Parti Keadilan Rakyat (PKR) pun lemas agaknya berpanas di tengah stadium Kelana Jaya, Selangor itu. Seperti dijangka Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang lain menyalahkan sekatan jalan raya polis hingga matlamat mereka tinggal impian saja.
Sebenarnya ketika bergelut dengan himpitan hidup akibat kenaikan harga barangan keperluan harian seperti beras, ayam dan sayuran selain minyak kereta, laungan dan kelantangan Anwar mencerca dan cuba mengganyang kerajaan saja tidak cukup bagi mengubati kesempitan rakyat jelata.
Hakikatnya, antara 1993 hingga 1998, Anwar tidak perlu menjelajah ke seluruh pelusuk negara seperti dijanjikannya hari ini. Dulu media arus perdana baik akhbar mahupun elektronik memberi pendedahan dan liputan seluas-luasnya kepada apa saja dilakukan Anwar.
Ketika itu, beliaulah pejuang rakyat miskin, kononnya pencetus idea kebangkitan Islam hingga terbinanya Universiti Islam Antarabangsa, Muzium Islam. Pada masa itu, Anwar disanjung, dipuja dengan hidup penuh glamour maklumlah Timbalan Perdana Menteri.
Liputan akhbar dan media elektronik hari ini dengan dulu ibarat langit dengan bumi. Dulu dengan edaran akhbar arus perdana mencapai hampir setengah juta setiap hari, ucapan Anwar yang sentiasa di Muka 1 tentunya dibaca hampir tiga juta pembaca akhbar dan berjuta lagi penonton tv.
Sebaliknya liputan hampir semua media pada 7 Julai sebelum Anwar berucap tidaklah lain daripada aksi penyanyi kugiran underground, Carburetor Dung, menonggeng sambil cuba melondehkan seluarnya. Mungkin perbuatan jijik untuk si jijik agaknya.
Pada awal 90-an, siapa sangka Anwar sebenarnya sudah siapkan agenda menonjolkan dirinya sebagai de facto pemimpin No 1 negara.
Dalam sekelip mata saja, Anwar sudah menempatkan konco-konconya memegang jawatan penting di pejabat-pejabat media arus perdana ketika itu.
Di pejabat sebuah akhbar , dalam lagak seperti polis Nazi, Gestapo, konco Anwar yang memanggil beliau sebagai syeikhul terus mengumpulkan ahli-ahli Angkatan Belia Islam (Abim) dan rakan sekerja khusus yang menyertai usrah saja untuk dinaikkan pangkat.
Sesiapa saja yang sememangnya senior di Jabatan Pengarang tetapi dicap sebagai bukan ahli usrah atau tidak mungkin menyokong Anwar, terajang dari jawatan mereka dan digantikan dengan orang Anwar.
Sejak itu, berita Anwar baik ucapan merasmikan sekolah, mesyuarat, projek perumahan murah bagi rakyat dipaparkan dengan gambar sama ada di muka satu atau berita bergambar di muka 3.
Ini diputuskan oleh Ketua Pengarang atau lebih tepat lagi orang Anwar walaupun sebenarnya berita itu tidak layak di muka depan atau hanya berita kecil saja.
Segalanya indah belaka mengenai Anwar sehingga beliau dianggap pejuang Melayu, pejuang setinggan yang merancang pembinaan rumah pangsa.
Inilah sebabnya apabila Anwar ditangkap pada 2 September 1998 atas tuduhan salahguna kuasa dan salahlaku seks, rata-rata ramai tidak percaya.Kini pun beliau menggambarkan dirinya sekali lagi menjadi mangsa komplot menidakkan haknya menjadi PM.
Hari ini, sebagai penasihat dan ditonjolkan sebagai juara pembangkang memanglah mudah bagi Anwar mengecam dasar kerajaan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kecam saja tanpa mengemukakan cara mengatasi masalah rakyat dibelenggu kesan kenaikan harga minyak mentah dunia.
Hari ini, hai Anwar hidupmu ibarat kata pepatah Melayu: Ayam jantan kokok berderai-derai, tahi tersangkut di gelenggar. - TOK NUJUM
--
No comments:
Post a Comment