Wednesday 20 January 2010

PENDIRIAN PEMIMPIN PAS MENGELIRUKAN UMAT ISLAM


Isu pengunaan khalimah ‘Allah’ masih menjadi debatan orang ramai tetapi tidak keterlaluan jika dikatakan rakyat semakin dikelirukan oleh kenyataan-kenyataan sesetengah pihak yang bersetuju penggunaan khalimah ‘Allah’ oleh the Herald Weekly dalam akhbar mereka. Rakyat sedar akan kenyataan yang dikeluarkan pemimpin-pemimpin tertentu itu lebih kepada bermotifkan politik untuk meraih sokongan bukan Islam, tetapi ia dilihat kenyataan itu boleh meruntuhkan maruah agama Islam dan mengelirukan umat Islam terutamanya yang setia ‘membabi buta’.

Sebenarnya isu ini mula tercetus seawal tahun 2009 dan senyap seketika hinggalah penghujung tahun 2009 mula diperkatakan semula apabila keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan memihak kepada akhbar the Herald Weekly. Namun, mendapat bantahan dan kemuncaknya apabila umat Islam mengadakan demontrasi dan berlaku perbuatan-perbuatan merosakan rumah ibadat yang boleh menggugat perpaduan.

Secara konsisten umat Islam dan beberapa pemimpin politik dari pembangkang membantah penggunaan khalimah ‘Allah’ namun secara konsisten juga beberapa pemimpin politik dari pembangkang menyokong keputusan mahkamah membenarkan pengunaan khalimah ‘Allah’ oleh agama lain selain Islam.

Seperti pernah didedahkan sebelum ini, antara pemimpin politik pembangkang yang lantang menentang pengunaan khalimah ‘Allah’ ialah Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu. Dalam sidang Dewan Rakyat awal tahun 2009, Ahli Parlimen Kulim Bandar Bharu telah menjelaskan akan kekeliruan yang boleh terjadi jika khalimah ‘Allah’ ini dibenarkan digunakan oleh bukan Islam terutamanya Kristian dan niat sebenar serta tujuan penggunaan khalimah ‘Allah’ ini boleh menghancurkan Islam.

“Saya tidak mahu berhujah atau berbahas dari sudut teologinya, apa yang saya hendak
bangkitkan ialah kenyataan oleh Lawrence Andrew editor akhbar The Herald ini yang menyatakan bahawa nama Allah juga adalah nama tuhan bagi Kristian di dalam bahasa Melayu. Saya merujuk, saya mengajak saudara Lawrence Andrew dan lain-lain supaya merujuk contohnya ensiklopedia Britannica di muka surat 276 volume 1 di mana perkataan Allah ditafsir dengan kenyataan dengan izin Tuan Yang di-Pertua “Allah the one and only God in the religion of Islam. Allah is the pivot of the Muslim faith”. Di dalam Collins English Dictionary muka surat 37, “Allah - Islam the principle Muslim name for God the one supreme being”. Di dalam Ensiklopedia Hutchinson muka surat 27 “Allah - Islamic name for God. The Quranic concept of Allah littress on his uniqueness and his roll as the omniscience authority of human”.

“Jadi kalau kita tengok daripada tafsiran-tafsiran ini, jelas menunjukkan bahawa perkataan Allah merujuk kepada ketuhanan Islam. Terutamanya dalam konteks negara kita Malaysia ini. Jadi saya tidak faham apabila Lawrence Andrew editor akhbar The Herald menyatakan bahawa nama tuhan bagi Kristian dalam bahasa Melayu ialah Allah. Soalan yang saya ingin kemukakan, adakah nama tuhan ini berbeza mengikut bahasa atau mengikut bangsa.

Contohnya mengapa di dalam kitab Bible versi bahasa Inggeris tidak ada wujud pun perkataan Allah. Mengapa dalam Bible versi Perancis, tidak adapun nama Allah? Kenapa dalam Bible versi bahasa Tamil tidak ada nama Allah? Kenapa di Malaysia bahasa Melayu hendak digunakan perkataan Allah? Adakah nama tuhan itu berbeza mengikut bangsa atau mengikut bahasa sedangkan konsep kepada ketuhanan itu mestilah konsisten. Sama ada bahasa Perancis, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Melayu dan lain-lain bahasa.” (Kenyataan Ahli Parlimen Kulm Bandar Baru, dalam sesi pergulungan Titah Diraja:26 Feb.2009)

Kenapa dan apakah matlamat atau tujuan sebenar beberapa pemimpin Pas seperti Nik Aziz dan Ahli Parlimen Shah Alam mempertahankan pengunaan khalimah ‘Allah’ oleh bukan Islam? Bukankah tindakan kedua-dua pemimpin Islam ini boleh mengelirukan kerana seperti kita sedia maklum dan kita semua tahu siapa musuh Islam yang nyata?

“Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan. Mengulas lanjut mengenai penggunaannya kepada orang bukan Islam katanya, dalam al-Quran sendiri ada menceritakan bahawa orang bukan Islam telah menggunakan perkataan Allah sejak zaman Nabi Muhammad lagi” (Utusan Malaysia:1 Mac 2009)

Itu kenyataan awal Nik Aziz berhubung isu khalimah ‘Allah’ namun ia diulang oleh Nik Aziz setelah Mahkamah Rayuan menerima permohonan Kementerian Dalam Negeri supaya Gereja Khatolik yang menerbitkan akhbar the Herald Weekly diarahkan menangguhkan penggunaan khalimah ‘Allah’. sebaliknya Nik Aziz juga mendakwa dan menuduh UMNO adalah dalang yang mencipta isu khalimah ‘Allah’ untuk membangkitkan sentimet perkauman.

Menurut ahli Parlimen Kulim Bandar Baru lagi dalam hujahnya semasa sidang Dewan Rakyat lalu, “Dalam bahasa Melayu God bermakna Tuhan. Allah adalah satu konsep ketuhanan yang unik bagi orang Islam terutamanya bangsa Melayu di Malaysia yang dikaitkan dengan tuhan yang satu seperti yang saya sebut yang ditafsirkan oleh ensiklopedia dan dictionary yang dirujuk sebentar tadi(kenyataan di atas)”

“Contoh yang saya bawa Tuan Yang di-Pertua, kita menemui risalah-risalah seperti ini.
Risalah yang dikeluarkan oleh beberapa kumpulan missionary. Yang ini kita jumpa di
Sekolah Kebangsaan Taman Kosas Ampang. Hampir 100% pelajarnya Melayu diberikan kepada pelajar-pelajar itu komik seperti ini bertajuk ‘Jalan Kepada Allah’ yang di dalamnya menceritakan satu konsep yang sangat berbeza mengikut fahaman Islam di sini iaitu konsep bahawa Allah mempunyai anak. Begitu juga kita menjumpai risalah yang disebarkan di sekitar Kuala Lumpur pada setiap malam minggu seperti di Dataran Merdeka. Ini diperolehi di Dataran Merdeka disebarkan oleh sekumpulan missionary.

Mereka mengeluarkan satu buku yang diberikan secara percuma dengan tajuk Al-Kitab. Kalau kita tengok dari segi nama, kita akan keliru sebab tidak disebutkan apa-apa pun di sini. Apabila kita buka baru kita perasan bahawa Al-Kitab ini rupanya nama baru Bible dalam bahasa Melayu yang penuh dengan perkataan-perkataan Melayu yang boleh mengelirukan kita. Ini termasuk yang kita temui komik disebarkan dalam dua tahun lepas dan sampai sekarang masih disebarkan di setiap rumah, disumbatkan di peti-peti surat dengan tajuk kisah paling menarik yang pernah diceritakan.

Yang diceritakan di sini dalam bahasa Melayu yang menyatakan bahawa saya baca
sedikit untuk kita lihat kesan dia.

“Allah memakai 40 orang budi, mereka menulis 66 kitab selama 1500 tahun. Semua cucuk satu dengan lainnya. Allah yang dapat membuat buku seperti ini. Allah kan tidak mengarang buku ya ayah? Allah itu seperti apa ayah? Allah mengasihi dan menolong kita. Kalau kita minta tolong daripadanyakita kudus, kita tidak dapat melihat dia tetapi dia melihat dan mengetahui semuanya. Dia dapat melakukan apa sahaja. Ayah akan ceritakan kisahnya.”

Kemudian diceritakan kisah tentang Allah yang berakhir dengan Allah menghantar anaknya untuk menyelamatkan manusia. Jadi risalah-risalah seperti ini yang kita khuatir. Kita tidak ada masalah, saya tidak ada masalah dengan mereka mahu menggunakan bahasa Melayu, mahu menyebarkan risalah bahasa Melayu, tetapi menggunakan perkataan Allah itu sendiri. Dalam konteks seperti ini, bukan sahaja sangat mengelirukan, boleh menyebabkan berlaku perasaan tidak puas hati”. (Kenyataan Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, dalam sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat : 26 Feb.2009)

Rasanya kenyataan ahli Parlimen Kulim Bandar Baru ini jelas dan sangat berbeza dengan kenyataan dan pendirian Nik Aziz dan Ahli Parlimen Shah Alam. Jadi apa yang di nyatakan oleh Ketua Pengarah JAKIM sebelum ini adalah tepat, maka Nik Aziz dan Ahli Parllimen Shah Alam perlu mengemukakan bukti dengan apa yang mereka nyatakan. Supaya umat Islam tidak keliru dan dikelirukan oleh politik sempit mereka semata-mata hanya untuk meraih sokongan bukan Islam dan untuk terus berkuasa.
“Wan Mohamad berkata, sekiranya penganut agama lain mengiktiraf dan berikrar bahawa tuhan mereka adalah Allah yang Maha Esa seperti yang diakui oleh orang Islam, maka beliau orang pertama yang paling gembira.
‘‘Allah adalah Tuhan yang tidak mempunyai anak atau diperanakkan, jika ini yang diterima, maka ia adalah satu kejayaan dalam dakwah kita.
‘‘Tetapi kalau dimaksudkan Allah itu adalah Tuhan yang mempunyai anak dan diperanakkan, yang mempunyai tangan dan kaki dengan sifat-sifat tertentu, maka itu bukan Allah, inilah jawapan Jakim,” jelas beliau.
Beliau menyatakan, pada peringkat awal jika perkataan Allah dibenarkan untuk digunakan oleh agama lain, ia akan mengelirukan banyak pihak. (Utusan Malaysia: 2 Mac 2009)
Sebelum ini JAKIM telah memberi penjelasan tapi hari ini Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pula tampil memberi penjelasan agar umat Islam tidak terpesong dengan dakwaan Ahli Parlimen Shah Alam berhubung isu ini.
SHAH ALAM 16 Jan. - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kesal dengan tindakan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang membuat tuduhan tidak berasas apabila mengaitkan jabatan itu dengan sebarang agenda atau parti politik tertentu.
Pengarahnya, Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, Ahli Parlimen Shah Alam itu seharusnya faham bahawa keputusan tersebut dibuat berasaskan penyelidikan dan kajian oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Malah, katanya, larangan pengunaan kalimah tersebut telah pun termaktub dalam enakmen agama Islam negeri yang sewajarnya dipatuhi oleh semua pihak termasuk Khalid sendiri.
''Saya tak faham kenapa beliau mengaitkan JAIS, MAIS dan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor dengan agenda politik sedangkan tindakan kita berasaskan fakta yang jelas iaitu al-Quran, sunnah serta pandangan para ulama.
''Larangan ini telah difatwakan dalam undang-undang agama Islam negeri.
''Soalnya, siapa yang sebenarnya cuba mempolitikkan perkara ini. Sebagai seorang Ahli Parlimen, beliau harus faham perkara ini dan tidak membuat tuduhan yang melulu sedangkan beliau sepatutnya memberikan contoh yang baik kepada rakyat," ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini. (Utusan Malaysia 17 Januari 2010)
Apakah yang akan berlaku jika perkara yang nyatakan oleh Ketua Pengarah JAKIM ini berlaku? Jika satu hari nanti disiar dalam akhbar The Herald Weekly yang menyatakan bahawa Allah yakni Jesus bagi kepercayaan agama Kristian di lahirkan oleh ibunya yang bernama Mariam, digambarkan pula Allah itu dengan rupa paras dan disalib? Adakah Nik Aziz dan ahli Parlimen Shah Alam akan menjelaskan apa yang mereka nyatakan sebelum ini? Atau hanya akan mencuci tangan dengan menyatakan seperti berikut;
“Akan tetapi masalah yang utama ialah bahawa umat Islam tidak diberikan kefahaman yang benar-benar kukuh berhubung dengan Islam itu sendiri…” (Kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam, dalam sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat : 26 Feb.2009)
Sementara itu, Khalid terus secara terang-terangan mengkritik keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang melarang kalimah Allah digunakan orang bukan Islam.
Menurut beliau, kenyataannya sebelum ini tidak boleh dianggap sebagai kritikan kerana ia sebenarnya hanya bertujuan meminta penjelasan daripada MAIS dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kenapa larangan itu dilaksanakan.
''Saya tidak mempertikaikan, saya hanya mohon penjelasan. Puak-puak UMNO ini, dia tidak ada hujah untuk memberi penjelasan, jadi dia beri amaran keras dan ugutan.
''Kalau hendak kita akur kepada fatwa yang dikeluarkan, maka kemukakan dalilnya. Jangan sekadar beritahu fatwa sudah buat, maka kita kena dengar dan taat.
''Ini bukan budaya yang diajar oleh Islam kepada umatnya. Segala pegangan, kita kena yakin betul," katanya ketika menyampaikan ceramah umum isu-isu semasa di Saujana Utama, Sungai Buloh dekat sini malam tadi. (Utusan Malaysia 17 Januari 2010)

Adakah benar umat Islam di negara ini tidak diberikan kefahaman yang benar-benar kukuh berhubung Islam? Atau sebenarnya dan hakikatnya ia adalah politik Pas yang sempit hingga umat Islam semakin keliru dalam agama sendiri? Jika sebelum ini politik Pas lebih memperjuangkan Islam yang luhur tapi sekarang ini sejak berkawan dengan Anwar Ibrahim dan berjuang bersama Dap, semua itu sudah dilupakan. Sebaliknya agama dipermainkan hanya semata-mata menjaga hati rakan agar tidak terguris berdasarkan tindak tanduk para pemimpin Pas sejak kebelakangan ini. yang jelas JAIS juga telah mengadakan sesi penerangan ke seluruh negeri Selangor melalui ceramah, seminar termasuklah dalam sesi khutbah Jumaat.

Jika ke surau atau masjid umat Islam mula meluahkan rasa tidak puas hati dengan perkara seperti ini, mereka juga mula mempersoalkan kenapa ada pemimpin beragama Islam sanggup berjuang mempertahankan kehendak bukan Islam? Bukankah tindakan pemimpin-pemimpin ini hanya boleh mengelirukan umat Islam?


Akok@Baulu


1 comment:

nOtCinDeReLLa said...

terima kasih kerana mengemukakan definisi kalimah ALLAH dari beberapa rujukan. dengan itu, sangat jelas penggunaan kalimah ALLAH merujuk kepada Tuhan umat Islam. golongan itu bermaksud menngelirukan umat Islam dan memesongkan akidah kita. Nauzubillah. semoga ALLAH menetapkan hati kita kepada-Nya. Aminn..