Tuesday, 10 November 2009

MANUSIA TAMAK HALOBA RAKYAT SENGSARA

Isu royalti minyak Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Kelantan mendapat perhatian dan reaksi masyarakat Kelantan. Perdana Menteri dalam sidang Parlimen telah memberi jaminan bahawa royalti minyak itu akan di berikan kepada Kelantan pada 2010, namun pemimpin-pemimpin Pas menolak dengan memberi pelbagai alasan.

Alasan mereka, pemberian Kerajaan Persekutuan bukan royalti tetapi sebaliknya wang ehsan. Tindakan pemimpin Kelantan menolak pemberian wang ehsan ini seumpama manusia tamak haloba tanpa memikirkan nasib rakyat dan pembangunan negeri. Sedangkan persetujuan Kerajaan Pusat untuk memberikan wang ehsan adalah kerana kepentingan rakyat dan pembangunan negeri Kelantan.

Pemimpin-pemimpin Pas pasti menentang pemberian wang ehsan kerana mereka inginkan royalti. Apa yang di perjuangkan oleh pemimpin Pas sebenarnya bukanlah untuk kepentingan rakyat Kelantan sebaliknya kepentingan peribadi dan politik semata-mata. Sedangkan hari ini mereka bersenang lenang dengan kedudukan dan wang gaji yang mereka perolehi sebagai wakil rakyat dan menjawat jawatan Exco dan sebagainya. Sebaliknya rakyat Kelantan masih bergelumang dengan kesusahan dan ketinggalan dari arus pembangunan.

Itupun belum lagi di kira ‘pendapatan’ yang mereka perolehi dari kelulusan projek-projek seperti pembalakan dan tebus guna tanah di Kampung Sireh, Kota Bharu contohnya bagi pembesaran tapak Tesco. Boleh dikatakan tanah penduduk Kampung Sireh Bawah Lembah sedang ‘dirisik’ oleh pihak pemaju dengan bantuan kerajaan negeri untuk ‘merampas’ tanah penduduk untuk pembesaran tapak Tesco.

Nasib rakyat Kelantan hampir 20 tahun langsung tidak mereka pedulikan terutama berkenaan kebajikan dan pembangunan. Rata-rata rakyat Kelantan masih berada di bawah paras kesusahan dan sebab itulah ramai anak muda keluar mendapatkan pekerjaan di luar Kelantan. Hakikatnya Pemimpin Pas hanya pandai bermain politik tetapi langsung tidak memperdulikan nasib rakyat. Mereka menyajikan rakyat dengan penampilan ‘warak’ dan pendekatan Islamik. Inilah modal mereka sehinggakan berjaya mengkaburi mata rakyat Kelantan sepanjang 19 tahun.

Tapi dalam tuntutan royalti ini pula, sekali lagi pemimpin Pas bermain politik apabila menolak pemberian Kerajaan Pusat dalam bentuk wang ehsan. Husam Musa berkata ‘Kerajaan Pas Kelantan menolak pembayaran wang ehsan kerana menganggapnya tidak mematuhi perjanjian yang ditandatangani mengikut Akta Pembangunan Petroleum 1974’. Husam juga dengan nada keras ‘Hanya ada satu pilihan, bayar royalti atau tak payah bayar’. (Berita Harian Online 5/11/09)

Walau bagaimanapun Nik Aziz sebaliknya, walaupun terkilan tetapi beliau tetap bersyukur dengan pemberian wang ehsan oleh Kerajaan Pusat. Nampak perbezaan pendapat dalam kepimpinan Pas dalam isu pemberian wang ehsan. Tapi yang jelas, mereka mula menjadikan isu pemberian wang ehsan ini menjadi semakin rumit hanya kerana kepentingan politik dan bukannya kepentingan rakyat yang mereka utamakan seperti Kerajaan Pusat.

Janganlah hanya kerana pemberian wang ehsan dan bukannya royalti kepimpinan Pas sanggup menggadaikan masa depan rakyat Kelantan. Sedangkan hasrat Kerajaan Pusat adalah murni untuk membantu rakyat Kelantan supaya bangkit selari dengan arus pembangunan. Janganlah hanya kerana politik dan tamak haloba kita sanggup melihat rakyat Kelantan terus sengsara dan ketinggalan dari arus kemajuan serta peluang perniagaan.

Pemberian wang ehsan Kerajaan Pusat kepada rakyat Kelantan bertepatan dengan Konsep 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’. Ia patut diteruskan walaupun ada pihak cuba mempertikai dan memperlekehkan kerana apa yang penting bagi Kerajaan Pusat ialah pembangunan dan kebajikan rakyat perlu menjadi keutamaan.



Akok@Baulu

No comments: