Tuesday 22 April 2008

CEUPACS BERPERANGAI SEPERTI ANAK KECIL

CEUPACS atau Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam nampaknya kini semakin berperangai seperti anak-anak kecil. Ini kerana mereka terus menyuarakan pelbagai rengekan-rengekan dan meminta-minta pelbagai tuntutan daripada kerajaaan.

Malah keadaan ini menjadi lebih teruk lagi apabila baru-baru ini telah mengugut kerajaan untuk memenuhi tuntutan mereka apabila menyatakan yang mereka akan memulaukan sambutan hari pekerja yang di adakan kerajaan jika tuntutan mereka ini tidak dipenuhi.

Baru-baru ini selepas bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Presidennya Omar Osman dengan bangganya menyatakan yang Perdana Menteri telah bersetuju dengan lima daripada enam tuntutan yang telah mereka kemukakan. Ini termasuklah menaikkan umur pesaraan daripada 56 ke 60 tahun, pengubahan kaedah peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), serta elaun kritikal dan imbuhan tetap perumahan. Bagaimanapun kerajaan menolak permintaan imbuhan RM2,000 kepada 1.2 juta kakitangan awam.

Hasilnya, mereka kemudiannya telah menarik balik ugutan untuk pemulauan tersebut.

Namun demikian Perdana Menteri kemudiannya menyatakan yang beliau bersetuju untuk melihat cadangan itu dan bukannya telahpun bersetuju kepada tahap umur 60 tahun untuk pesaraan.

Apa sebenarnya yang hendak dilakukan oleh Omar? Apakah beliau ini mahu menjadi juara dalam hal ini? Apakah Presdien Ceupacs ini yang juga merupakan seorang kakitangan kerajaan ini tidak mempunyai kerja-kerja lain yang perlu dilakukan selain meminta-meminta malah mengugut pentadbiran tempat beliau bekerja?

Tidak lama dahulu hasil permintaan yang dikemukakan oleh Ceupacs yang juga merengek-rengek telah meluluskan kenaikkan gaji kakitangan kerajaan sehingga 45 peratus, dan merupakan satu kenaikkan yang sebegitu tinggi dan memberikan impak yang cukup besar kepada kerajaan. Malah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan pernah menyatakan yang beliau malu untuk membawa permintaan imbuhan Ceupacs itu kepada Perdana Menteri, kerana kenaikkan itu baru sahaja di berikan oleh kerajaan.

Apakah Omar dan anggota Ceupacs ini tidak tahu malu, sedangkan KSN sendiri berasa malu? Apakah ini benar-benar permintaan majoriti kakitangan awam ataupun hanyalah rengekan jawatankuasa Cuepacs yang hanya mahu menjadi juara atau mahu menonjulkan diri mereka.

Saya sendiri berasa malu, atas apa yang cuba dilakukan oleh Cuepacs ini. Siapa yang tidak mahu imbuhan atau wang lebih. Semua orang mahu.

Tetapi rengetan-rengetan yang berterusan dan merajuk atau mengugut apabila permintaan tidak dipenuhi, adalah suatu tindakan yang memalukan.

Saya merasakan tentunya kerajaan mempunyai sebab untuk tidak memberikan imbuhan tersebut. Lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang kerajaan menghadapi tentangan yang hebat dalam politik, tentunya mahu memenangi hati rakyat dan terutamanya kakitangan kerajaan dengan memberikan imbuhan tersebut.

Semua kakitangan awam terutamanya Omar, perlu memuhasabah diri dan melihat diri kita, sejauh manakah kita telapun memberikan perkhidmatan kepada kerajaan yang menjadi tempat kita mencari rezeki. Dahulu katanya apabila gaji naik, mutu perkhidmatan awam juga akan naik dan mencapai satu tahap yang lebih baik.

Tetapi adakah perkara ini berlaku? Malah adalah tahap kerja-kerja kita telahpun mencapai tahap ataupun lebih baik daripada ketika gaji kita belum naik dahulu ataupun lebih rendah lagi? Ataupun semangat kerja itu hanya berlaku dalam tempoh sebulan sahaja selepas kenaikan itu diberikan.

Bagaimana dengan deliverys system yang mahu dilaksanakan oleh kerajaan? Adakah kakitangan awam telah berjaya mencapai ataupun melakukan apa yang dikehendaki oleh pentadbiran? Adakah kita telah memberikan perkhidmatan terbaik, atau perangai malas dan lembab seperti dahulu masih berterusan.

Saya merasakan sudah tiba masanya untuk Cuepacs lebih menumpukan kepada usaha penambahbaikan mutu perkhidmatan berbanding dengan apa yang boleh didapati. Fikirkanlah apa yang boleh kita berikan berbanding dengan apa yang boleh kita perolehi.

Jika kakitangan perkhidmatan awam tidak mampu untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik, bagaimana kerajaan mampu untuk terus kekal maju dan mengembalikan kelebihan itu kepada kakitangan nya.

Jika kepimpinan Cuepacs merasakan kerajaan tidak adil, bagaimana jika mereka ini pergi bekerja dengan pihak swasta yang mungkin mampu memberikan yang lebih baik kepada mereka.

Atau mungkin Cuepacs perlu di ambil alih kepimpinan mereka kepada golongan yang lebih muda, yang mahu membawa perubahan kepada perkhidmatan awam.

No comments: