Tuesday, 8 April 2008

Muhyiddin Lebih Menyerlah


Sebelum Tsunami Politik pilihan raya ke 12,Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi terlihat dalam barisan masa depan calon Perdana Menteri Malaysia,tetapi perkembangan politik yang panas dan pantas yang berlaku selepas tsunami telah menampakkan suatu senario baru politik yang menyerlahkan Muhyiddin lebih dari Dato Sri Najib ketika orang Melayu berada dalam perasaan kehilangan dan mencari-cari tempat pergantungan baru.

Muhyiddin bersuara senada dengan suara hati orang Melayu yang marahkan menteri baru di Jabatan Perdana Menteri Zahid Ibrahim yang mahukan kerajaan dan Mahathir meminta maaf terhadap bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas kerana penyingkirannya. Zahid mahukan penubuhan suruhanjaya kehakiman untuk menyiasat penyingkiran itu di dalam suatu keadaan politik Melayu yang tidak menentu. Beliau mencurahkan garam ke atas luka.

Sebenarnya Zahid telah pun ditegur dalam mesyuarat kabinet kerana membuat kenyataan itu sebelum mesyuarat kabinet tetapi teguran itu tidak dipedulikannya. Menteri berpengalaman dan kebanyakan orang Melayu menganggapnya sebagai seorang yang “Arrogant Vilifying upstart” yang tidak berhati Melayu,tidak sedar menjadi menteri tanpa pilihan rakyat dan mementingkan populariti di kalangan elit dan bukan Melayu.

Bila dalam keadaan ini,Muhyiddin dilihat menjadi suara berani bila berkata “imej dan maruah kerajaan akan terjejas sekiranya seseorang menteri terus terusan membuat kenyataan peribadi berhubung perkara penting seperti itu tetapi kemudiannya kabinet tidak bersetuju yang akhirnya menyebabkan rakyat menuduh kerajaan berpatah balik”

Kenyataan Zahid itu sebenarnya lebih menambah kekeruhan dalam keadaan orang Melayu berada dalam krisis keyakinan dan menyebabkan timbulnya prasangka seolah -olah PM Abdullah Badawi yang mahukan kenyataan itu dibuat olehnya kerana dia dilantik dengan ihsan Perdana Menteri.

Kenyataan Muhyiddin yang tepat mengena hati rakyat telah diikuti dengan suatu lagi suara beraninya mahukan undi bonus dihapuskan dan pandangannya bahawa faktor kepimpinanlah menyebabkan Umno kalah teruk dalam pilihan raya lalu.

Kewibawaannya yang lebih menyerlah dalam krisis telah menukar fikiran bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang dulu mahukan Najib sebagai Perdana Menteri tetapi mengisytiharkan bahawa sekarang beliau membuat percaturan terbuka.

Sekalipun dinafikan oleh Muhyiddin tetapi khabar angin yang timbul tentang pakatannya dengan
Tengku Razaleigh untuk mencetuskan suatu barisan kepimpinan baru dalam Umno timbul adalah kerana beliau dilihat sebagai orang yang boleh diharapkan ketika orang Melayu berada dalam suatu pencarian untuk kembali kepada nasionalisme dan keperibadian yang dihormati.

Maka itu Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak boleh di padamkan dari senarai bakal Presiden UMNO dan akan pergi lebih jauh dari itu.

No comments: