Tuesday, 8 April 2008

Suara Berani Dari Johor

Sekalipun Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Johor Datuk Ghani tidak bersuara di dalam krisis keyakinan Melayu paling runcing sekarang ini tetapi langkah perhitungan politik untuk menyelamatkan nasib bangsa Melayu menampakkan kesepakatan pendekatan dan keberanian di kalangan pemimpin UMNO Johor di peringkat nasional. Mereka bercakap dan bertindak dalam kesopanan untuk membawa perubahan dalam pucuk kepimpinan UMNO Malaysia.

Selain dari Muhyiddin yang menampakkan pendirian yang jelas dan fokus,Ketua Penerangan UMNO Johor Puad Zakarshi juga menampakkan kelantangannya di forum anjuran portal Internet di Petaling Jaya minggu lalu dengan mencabar bahagian bahagian Umno untuk mempunyai keberanian bagi memilih pemimpin yang layak.

Katanya,”Jangan jadikan kuota sebagai alasan. Soalnya berani atau tidak untuk kita menuruti kehendak jiwa berani rakyat”(utusan Malaysia 2 April).

Ketua Pemuda UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn yang menyedari hakikat bahawa naibnya Khairy Jamaluddin tidak lagi dihormati dan ditakuti dalam mesyuarat jawatankuasa Pemuda UMNO baru baru ini yang mempertahankan Mukhriz daripada menghadapi tindakan menderhaka,telah mengisytiharkan untuk tidak mempertahankan lagi kedudukannya sebagai Ketua Pemuda dan katanya bukan hak tradisi untuk naib pergerakan ketua pemuda UMNO(Khair) menandingi jawatan itu.

Lebih menarik Hishammuddin membuat kenyataan itu sehari selepas Pemuda UMNO Johor tidak senang dengan pendirian tidak tegas Mukhriz kerana sama ada beliau akan bertanding atau tidak sebagai Ketua Pemuda UMNO bergantung kepada keputusan sama ada Hishamuddin hendak kekal atau tidak dengan jawatannya itu. Pemuda UMNO Johor berkata kepentingan bangsa memerlukan pendirian yang tegas dan pasti.

Ini adalah cabaran kepada pendirian Mukhriz dan jika kerana desakan Mukhriz mengambil keputusan mencabar Hishammudin maka itu akan lebih menjejaskan imej Hishammuddin sendiri dan juga masa depannya yang mendorongkannya membuat kenyataan serta merta untuk melepaskan Ketua Pemuda dan menegaskan perlunya ahli UMNO membuat keputusan berani dan jujur untuk memilih siapa paling layak menerajui parti keramat UMNO.

Seperti Sabah dan Sarawak,UMNO Johor dilihat mempunyai kekuatan politik sekalipun sedikit tercedera dan tentunya orang Melayu yang menyedari hakikat bahawa UMNO di lahirkan di Johor tetapi tidak pernah menerajui kepimpinan UMNO mahu mengembalikan keyakinan orang Melayu kepada UMNO dengan mengambil keberkatan tangan yang pernah melahirkannya.

Apa pun pada peringkat ini percaturan politik yang bersopan santun hendaklah diamalkan dan ini tentunya nasihat Usman Awang Sasterawan Negara dari Johor dalam sajaknya Melayu Johor dijadikan panduan oleh orang Johor.

Antara lain kata Usman:

Anak Johor
Luka di Tanjung Putri
Parutnya di Parit Raja
Muka biar berseri
Mulut biar berbahasa.

Berkelahilah Cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dalam senyum
Marahnya dalam tertawa
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Melayu Johor saudaraku yang dikasihi
dalam kekeruhan ini carilah perdamaian
sifat terpuji setiap insan
Bermuafakat supaya berkat
Bersaudara dunia akhirat
Berikhtiar dengan tabah
Kepada Allah berserah.

No comments: