Wednesday 19 August 2009

MARUAH ISLAM DAN KEPENTINGAN POLITIK




Sejak akhir-akhir ini pelbagai isu dan cerita politik dalam negara hangat diperdebatkan dan diperkatakan sehinggakan ia amat meloyakan. Masing-masing cuba menunjukkan kehebatan dan kebaikkan dan tidak lupa juga yang cuba menolak dan menafikan segala kejahatan dan kelaknatan yang telah dilakukan. Bukan setakat hak keistimewaan ketuanan dipertikaikan bahkan sensitiviti dan hal berkaitan agama juga disentuh dan dipersendakan. Tapi paling menyedihkan dan terguris perasaan apabila terdapat kenyataan-kenyataan membela mereka yang menghina Islam.

Disini penulis ingin berkongsi pengalaman berhubung situasi politik yang semakin membimbangkan kerana ada pihak sudah berani dan tanpa segan silu menyentap kesucian Islam. Tapi sedihnya apabila Islam secara terangan dihina dan diperlekehkan sedemikian rupa, tiada pihak yang berani tampil menegakkannya. Sebaliknya pula ada pihak sanggup mengadaikan Islam membenarkan Islam dihina dan dicerca hanya kerana menjaga hati kawan dalam satu pasukan.

Malam minggu diambil kesempatan oleh sesetengah pihak berjumpa dan berkumpul bersama rakan taulan sama ada untuk berbincang pasal perniagaan atau bersembang mengeratkan perhubungan tali persaudaraan. Penulis juga telah mempunyai appoinment dengan rakan-rakan di sebuah kopitiam pilihan penduduk sekitar Bangi, Selangor yang sudah kami tentukan. Boleh dikatakan ramai pengunjung berada kedai tersebut dari pelbagai peringkat umur ketika kaki penulis melangkah masuk.

Sedang menunggu rakan-rakan sebelah meja terdapat sekumpulan pengunjung begitu tekun mendengar rakan mereka mengutarakan cerita. Penulis mencuri dengar perbualan mereka dan ada terdengar disebut nama Nik Aziz, Islam, umat Islam, Dap dan sebagainya. apa yang mereka sembangkan itu menarik minat penulis dan telinga makin dipasang.

Salah seorang dari mereka menyatakan bahawa jangan kita terlalu taksub kepada pemimpin-pemimpin agama kerana ada kalanya ungkapan mereka itu tidak lebih dari kenyataan yang bersifat politik semata-mata untuk menarik undi dan sokongan politik semata-mata. Dipersoalnya kenapa pemimpin agama seperti Nik Aziz terlalu berlembut dengan kaum bukan Islam yang sekarang ini begitu berani menghina kesucian agama kita.
Bukankah sebelum ini pemimpin-pemimpin Pas pernah buat bantahan dan mengecam beberapa tindakan pihak negara luar yang menghina Islam. Seperti Salman Rushdie, penghinaan terhadap Islam dalam penulisan akhbar Denmark, keganasan zionis di Palestine dan sebagainya? Kenapa Pas dalam soal Dap tidak pula bertegas sebaliknya mempertahankan kenyataan pemimpin Dap dengan alasan mereka bukan Islam dan tidak memahami Islam secara mendalam?
Bolehkah kita terima bahawa pemimpin Dap tidak memahami Islam secara mendalam? Sudah berapa lama mereka ini hidup dan membesar di dalam negara? Tidakkah mereka lahir Islam itu sudah bertapak di bumi Malaysia dan menjadi agama rasmi bagi Malaysia? Adakah pemimpin Dap seperti Ronnie Liu dan Jeef Oii semasa disekolah rendah dan menengah tidak diajar untuk menghormati agama orang lain? Adalah mustahil kedua-dua pemimpin Dap ini tidak tahu mengenai sensitiviti orang-orang Islam, sedangkan mereka begitu faham apabila melarang dengan tegas rakan mereka Pas menubuhkan sebuah negara Islam.
Rakannya pula menyampuk, mengapa susah sangat nak menegur Nik Aziz? Nik Aziz bukan kali ini saja mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan umat Islam tetapi sebelum ini pada 24 Januari 1999 kenyataan beliau "Sesiapa yang nak tolong kerajaan islam, kami sebagai pemimpin islam, mesti terima sama ada DAP, MCA atau MIC. Kalau nak tolong kenapa kita nak tolak. Jika DAP ikhlas nak tolong PAS, saya terima. Usahkan DAP, syaitan pun saya terima."
Tak salah kalau kita menegur seorang pemimpin tapi penyokong Pas hanya diam seribu bahasa dan tidak berani berkata-kata. Sedangkan Umar r.a. ketika dihunuskan pedang oleh seorang wanita yang berkata jika engkau tidak berlaku adil, aku akan menegurmu dgn pedang ini. Sudah semestinya dan tiada salahnya untuk menegur Nik Aziz, dia tidak maksum pun dan belum tentu dimana tempatnya di alam akhirat kelak. Yang bukan Islam selamba hina Islam dan caci Islam kita tidak menentang. Tapi kalau kita lihat jika pasal babi dan arak pemimpin Dap ini sanggup dan rela meninggalkan persahabatan dengan Islam dan bangun bersuara menentang amalan dan peraturan Islam. Tapi orang Islam bukannya hendak bersatu sebaliknya lebih sibuk nak tunjuk siapa lebih Islam sehinggakan sesama Islam sibuk mencerca dan menghina sesama Islam dan akhirnya siapa yang untung? Bukankah Dap juga yang untung? Itulah luahan seorang dari rakan kumpulan tersebut.
Jawab kawannya pula, jadi tak payah la nak ungkit siapa baik dan buruk, siapa Islam dan siapa kurang Islam kerana yang pasti pemimpin Dap tentu gembira kerana mereka dapat laga-lagakan umat Islam. Kenapa umat Islam begitu senang dan mudah mengikut rentak tari Dap? Adakah kerana mereka ini berjuang bukan kerana jalan Allah yang sebenarnya atau hanya kerana pangkat dan kuasa? Kenapa pemimpin yang menggelarkan diri mereka perjuangkan Islam sanggup dan lebih rela bersekongkol dengan Dap yang terangan menolak Islam?
Kawannya pula menyampuk, yang salah tetap salah dan tidak kira siapa yang menghina Islam, dari parti mana, walau setinggi mana jawatannya. Penghinaan terhadap Islam perlu dihentikan oleh semua pihak dan Islam perlu dipertahankan oleh semua umat Islam tak kira dari parti politik mana pun. Jangan kita diperbodohkan oleh pemimpin Dap yang sememang ingin mewujudkan sausana tidak tenteram dalam negara dengan melaga-lagakan umat dari dua parti yang berbeza. Sepatutnya umat Islam perlu hantar mesej jelas bahawa umat Islam berperang dalam hal politik tapi bila datang hal kesucian Islam, tidak kira dari parti mana umat Islam akan bersatu bergabung mempertahankan Islam.
Kesimpulan dari perbualan itu tadi dapatlah penulis simpulkan supaya kita letakkan kepentingan politik kita ketepi sebaliknya bersama bersatu suara dan hati mempertahankan kesucian Islam yang kita cintai. Bukannya masa untuk mencari siapa lebih Islam dan bukanya masa untuk mencari cacat cela saudara Islam yang lain, bukannya masa untuk menghina saudara Islam yang lain tapi bersatulah kerana Allah mempertahankan kesucian Islam yang semakin diperkotak katikkan.


Akok@Baulu
















2 comments:

Anonymous said...

itulah tanda dunia sudah sampai pada hayatnya. Yang berjuang Islam mula terpesong dan bersetongkol dgn bukan Islam yang mereka tentang.

Sunan Muria said...

ISLAM sudah tidak dihati mereka tetapi sebagai tungangan untuk capai cita-cita politik semata-mata.