Friday 18 April 2008

Bangsa Melayu atau Kaum Melayu?

Kelmarin darah saya menyirap. Marah ada, kesal pun ada. Perkara ini sepatutnya tidak berlaku terutamanya dalam Akhbar Utusan Melayu yang sejak dari penubuhannya memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu. Yang mengeluarkan kata-kata adalah Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr Ahmad Puad Zarkhasi.
Beliau menyebut akan keperluan mencari titik persamaan satukan kaum Melayu. Beliau mengulas mengenai langkah Gabungan Penulis Nasional (Gapena) ingin menganjurkan Kongres Permuafakatan Melayu tanpa melibatkan parti politik di sini. Inilah ironinya, dalam memperkatakan perluan menyatukan orang Melayu, secara tidak sedar utusan dan Ahmad Puad Zarkhasi merendahkan taraf orang Melayu sekadar kaum sahaja dan bukannya bangsa.
Sama ada sengaja atau tidak sengaja dilakukan oleh Utusan Melayu atau Dr Puad Zarkhasi saya tak pasti. Yang pasti kaum Melayu disebut dua kali dalam laporan tersebut. Bunyinya remeh,. Sebenarnya implikasinya amat besar. Antara kaum dengan bangsa membawa makna agak jauh berbeza. Laporan Utusan Melayu merujuk bangsa Melayu sebagai kaum Melayu. Bangsa Melayu telah diturun taraf menjadi kaum Melayu dan disama tarafkan seperti kaum-kaum lain dinegara ini. Tanah Melayu yang kini Malaysia adalah tanah asal bagi bangsa Melayu. Membezakan antara kaum dan bangsa adalah citra budaya bangsa. Citra budaya bangsa Melayu hanyalah di tanah tumpah darah Melayu yang kini digelar Malaysia. Citra budaya pendatang adalah dinegara asal mereka. Sebab itu kita tidak panggil bangsa cina Malaysia atau bangsa india Malaysia. Mereka hanya bertaraf kaum di negara ini. Tetapi orang Melayu adalah bangsa dinegaranya sendiri kerana citra budaya bangsa Melayu tidak ada ditempat lain kecuali di Tanah Melayu dan Nusantara.
Seharusnya kita sebagai bangsa Melayu hendaklah berhati-hati menggunakan istilah-istilah ini kerana jangan kita sendiri yang memperlekehkan bangsa kita dan menurun tarafkannya sama seperti kaum-kaum lain di negara ini.
Bacalah petikan dari Utusan Malaysia kelmarin.
-----------------------------------------
Cari titik persamaan satukan Melayu

JOHOR BAHRU 17 April - Kongres Permuafakatan Melayu yang akan diadakan di sini pada 2 dan 3 Mei ini diyakini dapat membincangkan isu dan permasalahan kaum berkenaan dalam skop yang lebih luas tanpa dikongkong oleh ideologi politik.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kongres itu bagaimanapun perlu mencari titik persamaan yang boleh menyatupadukan kaum Melayu.

"Sekiranya kongres itu hendak mengetepikan ideologi politik ia adalah sesuatu yang wajar kerana kita perlu akui bahawa parti politik hanya alat untuk memastikan kepentingan Melayu terus terbela," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai langkah Gabungan Penulis Nasional (Gapena) ingin menganjurkan Kongres Permuafakatan Melayu tanpa melibatkan parti politik di sini.
Kelmarin, Ketua Satu Gapena, Tan Sri Prof. Emeritus Dr. Ismail Hussein berkata, kongres itu tidak akan melibatkan ahli politik kerana masalah yang dihadapi oleh orang Melayu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah masalah rakyat.

Mohd. Puad berkata, beliau secara peribadi menyokong kongres itu kerana ia sebagai langkah untuk memastikan kuasa dominan Melayu tidak menjadi lemah dan terus kekal di negara ini.
Menurutnya, lebih banyak tajuk berkaitan Melayu yang boleh dibincangkan secara meluas dan terbuka tanpa dibayangi oleh pendirian politik pada kongres tersebut.

"Tetapi bukan mudah untuk mencari keseragaman berkaitan idea dan sebagainya, namun kongres itu amat perlu dan penting untuk orang Melayu," jelasnya.

2 comments:

Anonymous said...

Sebagai penelaah budaya, terima kasih atas penjelasan makna antara kaum dan bangsa. Mungkin dapat dikatakan makna yang sama bagi kaum ialah puak.

Anonymous said...

Jadi, kaum-kaum lain yang asalnya kaum pendatang tidak perlulah meluaskan hegemoni mereka sebagai satu bangsa Cina atau India di negara ini. Kerana pendudukan mereka di sini hanyalah bertaraf kaum, dan tidak perlulah mereka beria-ia nak memartabatkan ciri-ciri bangsa asal mereka di sini. Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.