Negara dikejut dengan kematian Timbalan Menteri Pelajaran, YB. Dato’ Razali Ismail yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu pada petang Jumaat lalu kerana serangan sakit jantung ketika bermain badminton di Institut Aminuddin Baki (IAB),Genting Hingland. YB bukanlah orang asing kepada saya. Beliau mudah mesra dan amah berhemah. Malah saya pernah memberitahunya bahawa suaranya mirip seperti suara Ghazali Sumantri, pelakon filem seangkatan arwah Tan Sri P.Ramlee. Takziah buat seluruh keluarga allahyarham dan sesungguhnya seluruh rakyat mendoakan mudahan rohnya akan berada disisi orang-orang yang beriman.
Sesungguhnya pemergian Datuk Razali seumpama hilangnya sebutir mutiara yang tidak ternilai harganya kepada negara dan juga UMNO. Apa yang diungkapkan oleh Menteri Pelajaran bahawa pemergian timbalannya itu merupakan satu kehilangan besar buat beliau dan juga Kementerian Pelajaran serta negara ada benarnya. Luahan perasaan dan kebenaran tersebut juga keluar di bibiri Perdana Menteri yang menyatakan bahawa pemergian Allahyarham adalah satu kerugian kepada UMNO dan Kementerian Pelajaran kerana Allayarham adalah seorang yang berbakat dan telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam tugasannya.
Oleh kerana pengalaman dan kearifan Allahyarham dalam dasar-dasar Kementerian Pelajaran, Perdana Menteri mendakwa beliau sememangnya menaruh harapan satu hari beliau akan menjadi Menteri Pelajaran(Utusan Malaysia, 29 Nov. 2008).
Jika kita lihat cara beliau membentangkan hujahnya dalam Parlimen, ramai yakin apa yang keluar dari mulut Pak Lah dan Datuk Hishamuddin memang tak boleh disangkal. Jika dibandingkan dengan menteri-menteri atau timbalan menteri yang selalu berhujah di Parlimen, tidak salah jika Allahyarham lah yang paling berkaliber dalam membentangkan hujahnya. Sehinggakan pihak pembangkang sukar untuk mencari kesilapan beliau.
Sukar untuk dipercayai bahawa berita kehilangan sebutir mutiara ini bukan saja menjadi bualan mulut dikalangan penyokong UMNO bahkan juga penyokong pembangkang. Boleh dikatakan mereka juga memuji sikap Allahyarham dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.
Walau bagaimanapun yang pergi tetap pergi, walau hebat mana kita puji tiada gunanya lagi. Sebaiknya marilah kita sama-sama bersedekah Alfatih kepada Allahyarham, mudahan rohnya aman dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman, amin.
Nun jauh di sana mungkin sudah ada yang berkira-kira, mana la tahu tuah ayam nampak di kaki tuah manusia siapa yang tahu. Mungkin semalam ada yang dah bermimpi untuk menjadi timbalan menteri tapi lebih baik sekiranya buat masa ini berangan atau intai-intai peluang kiranya ada rezeki untuk bertanding sebagai MP (Ahli Parlimen). Tapi mampukah yang akan mengganti dapat memberi yang terbaik dari yang sudah pergi?
Dengan Tsunami yang masih melanda dalam UMNO mampukah UMNO menarik kembali sokongan rakyat setelah media hari ini heboh mengaitkan UMNO dengan kancah rasuah politk? Sesungguhnya pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu ini adalah bakal dijadikan sebagai kayu ukur sokongan rakyat ke atas UMNO. Sekurang-kurangnya pelan peralihan kuasa kepada Najib yang telah dipersetujui semua ahli UMNO bakal diuji. Rakyat di akar umbilah bakal jadi penentu samada UMNO masih di hati atau Pakatan Rakyat dapat melebarkan lagi jurang popularitinya.
Seperti apa apa yang telah diungkapkan oleh Ketua Penerangan UMNO, jentera UMNO sentiasa bersiap sedia dalam apa jua situasai yang melanda. Tetapi timbul persoalan, sejaumana bersedianya para penyokong UMNO untuk bersatu menghadapi suasana pilihanraya kecil kali ini? Dengan kemelut gejala rasuah yang melanda dalam parti, perbalahan dalam perebutan kuasa antara ketua-ketua dalam parti dan lain-lain masalah dalaman UMNO mampukah sokongan rakyat kekal pada UMNO.
Jika di buat tafsiran secara kasar, UMNO bakal merentasi laluan sukar berdasarkan PUR 12 pada Mac lalu. Sekadar majoriti 600 undi UMNO tidak boleh mendabik dada sebaliknya hendaklah berkerja keras dalam memastikan Parlimen Kuala Terengganu tidak jatuh pada tangan pembangkang. Sehubungan itu UMNO perlulah merangka pelan dan strategi yang berkesan dan meninggalkan segala perbalahan. Jika sikap pentingkan diri pangkat dan kedudukan tidak dihakis keluar, bala yang datang mampu menggugat masa depan, jadi berilah tumpuan dalam kukuhkan parti dan bukannya mencari populariti.
Cakap-cakap di WCT pula mula kedengaran, masing-masing melontarkan pelbagai cerita dan teori mengenai pilihan raya kecil akan datang. Cuma yang pasti, jika tersalah strategi padah menanti dan pasti ada yang tergigit jari. Dari cakap-cakap tersebut muncul lah pelbagai strategi dan kekadang mungkin boleh menguris hati. Tapi sebagai sebuah negara demokrasi sekadar pandangan dan teguran kenalah kita hayati.
Dari cakap-cakap kedai kopi, ada yang menyatakan jika UMNO ingin mendapatkaan kejayaan yang paling utama kenalah semua penyokongnya bersatu hati. Rasuah wang dalam parti hendaklah dihapuskan sama sekali, barulah rakyat yakin sepenuh hati. Pelan dan pandangan Muhyiddin Yassin perlu dihalusi. Ada benarnya jika ingin hapuskan rasuah dalam parti berilah peluang kepada hampir 100,000 pemimpin cawangan dalam parti memilih pemimpin mereka dan bukannya terhad kepada 2,500 saja seperti amalan sebelum ini.
Dalam pada itu ada cakap-cakap mengatakan supaya UMNO tidak menurunkan Khairy ke padang membantu pilihan raya kecil nanti. Mereka mendakwa, antara punca kekalahan UMNO dalam PUR 12 yang lalu adalah datangnya dari Khairy. Mereka mendakwa akar umbi sudah lama menasihati tetapi kerana degil hilanglah UMNO 5 negeri. Puncak kepada teori ini apabila ada mendakwa Penggerakan Wanita telah mengadakan satu post mortem selepas PUR yang lalu dan hasilnya diserahkan kepada Perdana Menteri. Khairy lah dikatakan punca UMNO hilang 5 negeri lantas Rafidah Ketua Penggerakan Wanita UMNO digugurkan dalam senarai Menteri Kabinet. Benar atau tidak hanya tuhan yang esa saja mengetahui dan empunya badan saja yang mengerti. Namun, sebagai sebuah keluarga dalam parti, perkara ini harus diperhalusi takut namanya (Khairy) akan dijadikan modal untuk pembangkang meraih simpati.
Najib yang bakal menjadi Perdana Menteri hendaklah turun ke padang mengetuai jentera parti. Sudah pasti isu-isu seperti altantuya, pembelian helikopter, pembelian kapal selam, pembentangan bajet 2009 dan sebagainya akan dijadikan senjata buat pembangkang untuk mempertahankan diri menghukum UMNO supaya rakyat lari. Tapi Najib hendaklah berani, tampil kehadapan menjelaskan situasi tunjukan aura kepimpinan diri. Hakikatnya pembangkang sudah dibayangi ketakutan kerana rakyat tahu menilai apa yang terjadi di Selangor, Perak dan Pulau Pinang hanyalah perjuangan peribadi pembangkang yang tidak memberi sebarang erti kepada rakyat.
Begitu juga dengan Menteri Besar Terengganu yang perlu kerja lebih keras untuk mempertahankan kerusi dan kalau boleh meningkat majoriti undi. Yang merisaukan ahli-ahli UMNO peringkat akar umbi, takutnya MB ‘keras kepala’ menggunakan kuasanya dan kena ikut apa yang dia hajati. Apa yang berlaku sebelum ini adalah bukti jika tidak ditanggani akan menambahkan lagi duka dihati. Ini kerana ada cakap-cakap mengatakan beberapa tindakan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Menteri Besar tidak digemari oleh segelintir rakyat. Yang paling ditakuti calon yang bakal di pilih nanti, jika tersilap pilih akan muncul 2 atau 3 puak yang tidak puas hati.
Jika ini terjadi muncullah kem-kem berhaluan kiri, yang tidak dipilih takutnya akan merangka strategi supaya calon yang dipilih mengigit jari. Jadi UMNO kenalah belajar dari Permatang Pauh supaya pisang tidak berbuah dua kali. Buat masa ini usahlah berlagak sombong dan bongkak diri sebaliknya tumpukan usaha pulihkan keakraban dan hala tuju parti.
Sudah pasti pelbagai isu akan lontarkan namun, UMNO perlulah berhati-hati dan janganlah berkempen memburukan peribadi. Senjata utama pembangkang adalah Anwar Ibrahim, dialah bakal berkampung di Kuala Terengganu untuk meraih simpati. Isu liwatnya adalah senjata utama dalam kempen pilihan raya kecil nanti. Apa jua pun terserah pada UMNO dalam merangka strateginya dalam memastikan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu kekal milik UMNO.
Apa yang menarik perhatian saya minggu ini ialah ucapan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Wan Azizah semasa kongres keadilan di Shah Alam. Harakahdaily 29 Nov. 2008 melaporkan seperti berikut:
“Sebaliknya, bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu mengkritik pelan penggantian kuasa perdana menteri kepada timbalannya yang dianggap "sebuah pentadbiran yang mirip kepada regim lama" yang menyebabkan "kemusnahan dahsyat" kebanyakan insitusi pentadbiran dalam negara”
Kenapa beliau mengkritik pelan perlalihan kuasa UMNO? Tidakkah apa yang beliau buat dalam PKR lebih dahsyat berbanding pelan peralihan kuasa antara Pak Lah dan Najib? Sebaliknya keretakkan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat pada hari ini adalah hasil dari peralihan kuasa Azizah kepada suaminya Anwar sehinggakan PAS dipinggirkan.
Akok@Baulu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment