Saturday 6 December 2008

Penduduk hadapi masalah, pemimpin PR ‘hilang’


Seorang pelanggan tetap berasa cukup gembira apabila melihat WCT kembali ceria dengan pelanggan. Seperti biasa beliau meluahkan kekecewaanya kerajaan Pakatan Rakyat. Beliau berkata, pada hakikatnya Pakatan Rakyat (PR) – Parti Keadilan Rakyat, Pas dan DAP – memerintah Selangor, tetapi kuasa sebenarnya masih berada di tangan rakyat iaitu orang yang diperintah yang memangkah pada hari pilihan raya.

Betapa benarnya hakikat ini dirasai oleh seorang pemimpin masyarakat dilantik menjadi AJK Zon dalam kawasan undi Parlimen Gombak dimenangi oleh Mohamad Azmin Ali daripada PKR.

Mungkin pada sangkaan pemimpin akar umbi ini segala arahan pegawai, Adun serta Ahli Parlimen PKR akan dituruti dan dilaksanakan oleh petugas semua Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah yang digajikan kerajaan pembangkang.

Sedihnya pemimpin ini mendapati, kuasa mutlak masih terletak di tangan petugas yang selama ini berkhidmat dengan kerajaan BN-Umno dan kekal setia. Luahan kekecewaan pemimpin ini diemelkan kepada laman web Pas, Harakahdaily.com baru-baru ini.

Beliau mendedahkan betapa setelah lapan bulan pembangkang mencapai kemenangan dan hampir empat bulan menerajui majlis-majlis kerajaan tempatan melalui ahli Majlis wakil Pakatan rakyat yang dilantik, banyak isu melibatkan keselesaan rakyat tergantung di awang-awangan.

"Sedar atau tidak, penyokong bawahan Pakatan Rakyat melihat isu membabitkan perkara asas keselesaan rakyat semakin teruk. Tidak keterlaluan boleh dikatakan ahli-ahli Majlis dari Pakatan Rakyat sebenarnya dibuli oleh kakitangan majlis kerajaan tempatan daripada peringkat Yang Dipertua sehinggalah kepada peon biasa.

“Apa tidaknya, pada pandangan saya, pelantikan ke jawatan di majlis tempatan adalah atas dasar politik BN-Umno yang berkepentingan,” katanya.

Menurut beliau, pelbagai alasan diberikan oleh kakitangan majlis setiap kali sesuatu masalah berkaitan penduduk diajukan. Mereka memberi alasan seperti tidak duit, tiada keutamaan, segala permintaan mesti dibuat mengikut prosedur, apakah orang berkenaan memiliki lesen atau sesuatu yang dikehendaki perlu mengikut undang-undang.

“Masalahnya, semua alasan ini dipersetujui oleh ahli majlis dilantik oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang kita anggap sebagai terlalu ikhlas, telus dan berjiwa rakyat,” kata pemimpin itu.

Beliau mendakwa kegagalan ahli majlis pembangkang bertindak segera berikutan pelbagai alasan dianggap remeh diberikan petugas itu sering ditertawakan oleh kakitangan berkenaan.

Selain itu, pemimpin terlibat juga mendedahkan Pakatan Rakyat masih tidak dapat mengurus dan menguasai pengurusan pasar malam, penggunaan dan penyewaan Dewan Orang Ramai, selain gagal menggerakkan PBT untuk segera mengambil tindakan bagi mengatasi pelbagai masalah dan laporan dikemukakan dari peringkat akar umbi khususnya membabitkan pemimpin sama ada Pas, DAP atau Keadilan.

Kelemahan ini, dakwanya telah menyebabkan ramai penyokong tiga parti itu, kecewa lantas ada penyokong mula menurunkan bendera di perkarangan rumah kerana malu. Mereka hampa masalah penduduk sering dibangkitkan dalam mesyuarat demi mesyuarat tetapi masalah kecil seperti longkang tersumbat pun tidak mampu diselesaikan.

Kemelut itu menyebabkan pemimpin ini menuduh PBT berlagak seperti “BN Kedua”.
Di tengah-tengah kehampaan itu beliau menimbulkan persoalan mengapa Exco kerajaan Pakatan Rakyat menghilangkan diri atau tenggelam akibat glamour dimenangkan rakyat yang menolak BN.

Beliau mahu masalah kutipan sampah, longkang tersumbat, anjing liar, pembiakan nyamuk, pemaju engkar, kebersihan tidak dijaga, jalan raya berlubang-lubang, gerai haram, selain tempat cuci kereta tanpa lesen, diatasi segera.

Jika keadaan tidak berubah, beliau bimbang pengundi akan mula memperli dan mengejek kerajaan pembangkang.Harakahdaily menarik perhatian apa yang berlaku itu mungkin tidak hanya menjejaskan rakyat di Selangor malah boleh jadi di Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Itulah hakikat bagi yang berkuasa tak semudah melakukan perubahan dan melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kuasa. Semasa menjadi pembangkan, mudah saja bercakap tentang kelemahan kerajaan, namun hakikatnya bukan memudah untuk melaksanakan tanggungjawab.

Keluhan Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor, Dato Hassan Ali, akan sukarnya untuk menjadi pentadbir sebuah kerajaan dan sukarnya berkerjasama dengan PKR dan DAP seperti yang diluahkan oleh beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia hari ini merupakan hakikat sebena sebuah kerajaan negeri yang rapuh.

No comments: