Sunday, 25 October 2009

EGM PAS ADA MOTIF TERSEMBUNYI

Kenyataan Nik Aziz meminta supaya Pas mengadakan EGM bagi membincangkan masalah dalaman yang melibatkan beberapa pemimpin yang tidak berdisiplin dan pro-UMNO mendapat liputan luas media. Bahkan pemimpin-pemimpin UMNO juga dilihat berlumba-lumba melontarkan pandangan dan tidak terlepas menyatakan Pas diambang perpecahan.

Adakah benar Pas sedang mengalami krisis dalaman sehinggakan wujudnya perpecahan seperti dilontarkan? Itulah yang menjadi persoalan dan pertanyaan beberapa rakan ketika bertemu dihujung minggu yang menjadi topik perbualan. Sebab seperti semua sedia maklum Nik Aziz memang mempunyai akal panjang dan strategi politiknya yang terancang terutama menyerang UMNO. Ditambah lagi hari ini ikatan ‘persahabatan’ Nik Aziz/Anwar Ibrahim sangat akrab dalam usahanya menumbang UMNO.

Ramai juga mengatakan isu EGM yang ditimbulkan Nik Aziz ini hanyalah strategi politik PR untuk mencari kelemahan UMNO. Kerana Nik Aziz tahu, pemimpin-pemimpin UMNO sudah pasti akan mencari media untuk menyerang Pas dan akan melontarkan pelbagai pandangan dan membuat kenyataan berhubung isu yang melanda ini. Apabila kenyataan-kenyataan oleh pemimpin UMNO tersasar dari isu sebenar, disitulah keuntungan yang mereka perolehi, iaitu simpati penyokong dan rakyat apabila Nik Aziz diserang.

Jika dilihat akan trend dan strategi PR, sememangnya mereka akan menggunakan Nik Aziz untuk melantarkan isu-isu ‘hangat’ kerana mereka sedar pengaruh Nik Aziz dan personaliti beliau. Sebabnya penyokong Pas dan juga mereka atas pagar ramai yang ‘taksub’ kepada Nik Aziz. Serangan terhadap Nik Aziz jika tersilap langkah akan meraih simpati rakyat terhadap Pas/PR.

Ataupun mungkin juga ia hanya untuk menutup kelemahan Pas/PR setelah mereka kalah di Bagan Pinang dan juga persepsi masyarakat bukan Islam terhadap Pas sejak akhir-akhir ini berhubung kekecohan yang berlaku di Selangor. Kedua-dua isu ini memberi impak dan kesan yang besar ke atas pengaruh Pas/PR dalam mana-mana pilihan raya yang bakal menjelma kerana jika ia berlarutan rakyat akan hilang keyakinan.

Pas/PR juga semakin gelisah kerana penyatuan dan pemaufakatan BN semakin terserlah bukan saja kerana gagasan 1Malaysia semakin popular, slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dilaksanakan tetapi keakraban dan kemaufakatan MCA terjalin sudah.

Namun jangan terpedaya dengan strategi politik Nik Aziz kerana dibelakangnya Anwar lah yang menyusun strateginya. Ada juga menyatakan isu EGM Pas ini ada kaitan dengan strategi dan langkah tersusun Pas menjelangnya sidang Dun Perak yang akan berlangsung tidak lama lagi. Mereka mengalihkan cerita supaya BN terlepas akan strategi yang mereka rancang dan akan digunakan di Perak nanti.


Akok@Baulu

No comments: