Monday, 12 April 2010

BILA ADA AKAL TAPI TAK PAKAI


Pemilihan calon BN dari MIC yang bakal diturunkan dalam PRK Hulu Selangor yang diumumkan oleh Najib tempoh hari masih ada pihak tidak puashati. Ada sumber-sumber dari Hulu Selangor menyatakan terdapat segelintir ketua bahagian dan ketua cawangan UMNO membantah keras calon dari MIC sebaliknya mereka lebih menaruh keyakinan bahawa calon Melayu mampu membawa kemenangan kepada BN.

Dengar khabarnya ada yang awal-awal lagi menyatakan akan memprotes atau boikot PRK Hulu Selangor. Alasan mereka adalah kerana majoriti pengundi di Hulu Selangor adalah orang Melayu iaitu sekitar 62%, Cina 23% dan India 15%. Itu asalan mereka hingga menyebabkan beberapa kem BN di Hulu Selangor dikatakan panas dan ada yang menyatakan akan boikot PRK nanti.

Inilah sikap orang-orang UMNO, bertindak mengikut perasaan dan mereka masih tidak sedar bahawa Selangor adalah negeri pembangkang. Sikap orang-orang UMNO lebih pentingkan diri dan langsung tidak menghayati semangat 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib. Najib semasa konvensyen BN di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, jelas telah memberi peringatan kepada semua ahli BN supaya mementingkan kerjasama dan kerja keras tidak kira siapa calon BN di Hulu Selangor. Najib juga telah jelaskan bahawa ahli BN jangan lagi dibuai mimpi dan buang sikap pentingkan diri, sebaliknya kerjasama hendaklah dijalin dalam memastikan kejayaan BN di Hulu Selangor dan juga pada PRU akan datang.

Tidak mustahil perasaan tidak puas hati dikalangan segelintir ahli UMNO adalah disebabkan wujudnya ‘serangan’ dalaman oleh ‘tentera’ PR yang cuba meracuni pemikiran pemimpin UMNO Hulu Selangor. Strategi mereka adalah untuk melaga-lagakan orang UMNO supaya berpecah dua. Jika ini berjaya maka senanglah mereka berkerja kerana tidak mustahil ahli UMNO yang kecewa akan memberi ‘bantuan’ kepada mereka seperti PRU 2008 yang lalu. Pada PRU 2008 lalu, inilah juga terjadi kepada UMNO Selangor sehinggakan mereka sanggup lepaskan pentadbiran kerajaan negeri kepada PR. Oleh kerana tidak puas hati dengan calon, mereka sanggup ‘menikam’ dari belakang, memboikot dan seterusnya membiarkan mereka ‘diperintah’ oleh PR.

Semua ahli BN perlu sedar dan buka mata, rakyat telah memberi peringatan bahawa mereka hanya memilih pemimpin yang benar-benar berkerja dan boleh menyelesaikan masalah mereka. Bukannya hanya menabur janji kosong dan tinggalkan mereka bila dah berjaya sebaliknya kembali menabur wang ringgit dan pelbagai projek hanya apabila sudah dekat pilihan raya. Serta bukan sebuah parti yang porak peranda dan kucar-kacir pentadbirannya kerana masing-masing ‘gilakan’ pangkat dan kuasa.

Cara Najib mendekati rakyat sepatutnya menjadi ikutan ahli BN barulah rakyat suka dan sokong kita. Janganlah biarkan si ketua berkerja untuk kita dan kita hanya menumpang tuah si ketua saja. Kita hendaklah seiring dan lebih kerap turun padang dari si ketua untuk mendekati rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. Rakyat bukannya inginkan wang ringgit sebaliknya cukup sekadar pemimpin selalu bertanya khabar mereka, boleh didekati rakyat dan mampu mendengar keluhan dan masalah dan seterusnya diselesaikan serta menyediakan kemudahan untuk mereka.

Jadi gunakanlah akal dan janganlah mengikut perasaan semata-mata. Kerana jika kita tidak menggunakan akal dengan sempurna maka kita akan terus berada di bawah ‘mereka’. Berilah peluang kepada MIC untuk meletakkan calonnya agar konsep 1Malaysia tersemai dikalangan rakyat kita. Bukan seperti parti PKR yang cakap tak serupa bikin kerana mereka telah menyatakan bahawa calon mereka adalah orang Melayu dan ini menunjukkan mereka bukanya parti untuk semua kaum tetapi parti untuk satu kaum saja.

Akok@Baulu

No comments: