Saturday, 24 April 2010

PKR Jaja Kempen Murahan


Oleh: Muhamad Irfan

Nampaknya Parti Pakatan Rakyat (PKR) berjaya memperdaya penyokongnya dengan menggunakan banner Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Kuala Kubu Bharu malam esok. Ironinya, PKR sendiri sedia maklum Perdana Menteri tidak akan melayan kempen murahan tersebut malah melalui hebahan media di bilik gerakan PKR, tapak yang dikatakan berlangsung debat tersebut akan diisi oleh Anwar, Zahid Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.


PKR mendakwa telah menghantar surat jemputan ke Pejabat Perdana Menteri dan bersedia untuk menanti kemunculan Perdana Menteri bagi menjawab semua tuduhan Anwar terhadap kerajaan dan Datuk Seri Najib berhubung isu APCO. Sedangkan mereka sendiri tahu bahawa Perdana Menteri akan menyertai P. Kalamanathan di Majlis Grand Finale 1Malaysia di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung pada masa yang sama.


Daripada segi strateginya dan perancangannya, nampak PKR berjaya. Boleh dikatakan ke semua penceramah yang hadir di pentas PKR di Stadium Kuala Kubu Bharu di sini malam tadi, menyebut isu serupa – mencabar Perdana Menteri untuk hadir dan menjawab segala dakwaan tersebut.


Kerana awal-awal lagi mereka sudah tahu akan jawapannya, mereka mendakwa daripada segi moralnya, mereka sudah menang kerana mereka tahu Perdana Menteri sememangnya tidak akan hadir. Bagi menguatkan hujah, mereka menuduh pula Datuk Seri Najib takut untuk berdepan dengan Anwar. Jika pemimpin sudah berkata begitu, penyokong apatah lagi, tentunya menerima bulat-bulat.


Tapi yang terperdaya dan terpesona dengan pembohongan pemimpin-pemimpin PKR ini rasanya bukanlah di kalangan pengundi tempatan. Sebahagian besar yang memenuhi grandstand stadium terdiri daripada petugas PAS dan PKR dari luar. Khabarnya bilangan mereka sudah ditambah kepada 5,000 orang menjelang pengundian Ahad ini berbanding 3,000 orang sebelum ini.


Yang peliknya, mereka langsung tidak menyentuh tentang isu gagasan 1 Malaysia. Mungkin mereka sedar agak sukar untuk mematahkan dasar yang sudah mula diterima baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. Buktinya, setiap kali kunjungan Perdana Menteri di Hulu Selangor sambutan yang diberikan cukup luar biasa. Laungan 1 Malaysia cukup sinonim dengan beliau.


Kehadiran beliau di pekan Hulu Yam Baru petang semalam diberikan sambutan luar biasa oleh pengundi Cina apabila hampir 500 orang menunggu. Walaupun hanya singgah di sebuah restoran atas ikhsan pemiliknya, beliau sempat menyampaikan mesej kepada pengundi Cina agar bersedia untuk bersama-sama Barisan nasional (BN) untuk melakukan perubahan di Selangor.


Seperti kata beliau, perubahan di negeri Selangor harus bermula di Hulu Selangor dan beliau melahirkan keyakinan bahawa pengundi Cina akan terus bersama menyokong kerajaan. Pengundi Cina membentuk majoriti di Hulu Yam Bharu dengan 1,197 orang dan usaha untuk menarik semula sokongan pengundi Cina ketika ini menjadi keutamaan memandangkan ketika pilihan raya umum lalu, PKR berjaya mendapatkan sokongan 63 peratus undi Cina.


Walaupun sukar untuk menentukan dengan jelas kecenderungan pengundi Cina ketika ini berbanding pengundi Melayu dan India yang sudah mula memihak kepada BN, harapan untuk menyaksikan pengundi Cina kembali menyokong BN tetap ada berdasarkan kepada penerimaan mereka terhadap perubahan demi perubahan yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.





No comments: