Wednesday, 7 April 2010

CALON MESTI BERJIWA RAKYAT


Sejak SPR mengumumkan 17 April 2010 bagi hari penamaan calon dan 25 April 2010 hari pengundian bagi pilihan raya kecil di Hulu Selangor masing-masing parti yang bertanding sibuk dan merangka pelbagai strategi dalam memastikan calon yang akan bertanding adalah benar-benar boleh membawa inspirasi parti dan paling utama berjiwa rakyat. Janganlah tersalah pilih seseorang calon yang hanya pandai berpidato, pandai menabur janji kosong dan hebat membohongi rakyat kerana pemimpin seperti ini akan terkena ‘sumpahan’ dan akibatnya boleh merobohkan kepercayaan rakyat pada parti.

Tidak dinafikan parti yang akan bertanding ‘pening kepala’ memikirkan calon yang sesuai. Kerana semua parti komponen dalam BN ataupun ‘keluarga’ dalam PR (Dap, PAS, PKR) sudah pasti akan cuba meletakan calon pilihan mereka di hadapan. Bagi BN, calon dari MIC dan UMNO masih menjadi tanda tanya siapa akan bertanding dan beberapa nama juga sudah menjadi sebutan sebagai calon. Walaupun MIC lebih awal menonjolkan calon mereka iaitu bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor selama 4 penggal berturut-turut iaitu G. Palanivel, sebelah UMNO juga dikatakan ada beberapa nama untuk diketengahkan menjadi calon. Namun semua ini terletak pada Najib dan dikatakan semasa menyaksikan perlumbaan F1 hujung lalu, nama calon sudah ditentukan dan akan diumumkan oleh Muhyiddin pada 15 April nanti.

Namun wujud desas-desus cakap-cakap kedai kopi menyatakan calon BN kekal dari MIC. Cakap-cakap ini berkumandang setelah Muhyiddin membayangkan bakal calon BN adalah dari MIC. Calon yang dimaksudkan dikatakan adalah muka baru dan orang muda iaitu P. Kamalanathan iaitu Ketua Penerangan MIC. Jika calon muda dan muka baru menjadi calon BN sekurang-kurang ia boleh memberi anjakan buat BN dalam memenuhi inspirasi rakyat. jika calon ‘lama’ dikekalkan maka senanglah pihak PR ‘membelasah’ BN dan memainkan isu-isu terutamanya peralihan kuasa dalam MIC.

PR dilihat masih merahsiakan calon mereka walaupun menyatakan bahawa dari 12 nama calon yang dikemukakan oleh sekutunya hanya 5 nama disenarai pendek. Namun ada desas-desus menyatakan bahawa PR akan meletakkan calon Melayu samada dari Pas atau PKR dan bukannya calon berbangsa India atau Cina. Mereka berpendapat 70% undi kaum Cina dalam gengaman mereka, 40% undi kaum India dan 50% undi kaum Melayu. Jadi untuk mendapatkan undi kaum Melayu sebanyak atau lebih 50% maka calon-calon yang bakal bertanding adalah calon kaum Melayu dan kemungkinan calon tersebut juga adalah Adun ataupun Adun yang memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

Antara nama yang menjadi sebut dan dilihat mampu menarik sokongan para pengundi terutama orang Melayu ialah Datuk Ismail Kamus yang juga pernah berlawan dengan G.Palanivel tapi kalah. Kekuatan Datuk Ismail Kamus boleh diambil kira kerana pengaruh beliau dikalangan masyarakat dan sokongan jentera kerajaan negeri mampu memberi kekuatan kepada beliau. Namun ada juga yang mencadangkan supaya Datuk Hassan Ali bertanding merebut kerusi Parlimen tersebut memandangkan pengaruh dan sokongan lebih baik dikalangan orang-orang Melayu dan jawatan Exco yang dipegang oleh beliau. Namun nama Hassan Ali dikatakan dibantah keras oleh golongan yang ‘tidak seteru’ dengannya. Mereka ini membantah dan dikatakan jika Hassan Ali menjadi calon, mereka akan memulaukan pilihan raya tersebut.

Dikatakan di peringkat akar umbi inginkan pemimpin dari Pas seperti Ismail Kamus dan Hassan Ali, tetapi pihak PKR pula dikatakan membantah keras kerana kerusi tersebut atau kouta mereka. Alasan untuk mengekalkan calon dari PKR adalah kerana usaha untuk menaikkan kembali imej Anwar di mata penyokong PKR dan rakyat akibat pendedahan dan pembongkaran pembohongan Anwar di telanjangkan oleh bekas pemimpin PKR sendiri.

Dengan kata lain PR juga akan ‘akur’ dengan suara sahabat utama mereka Dap untuk meletakan calon yang sesuai. Yang pasti calon mereka bukan dari Dap atau PKR yang berbangsa India dan Cina tetapi calonnya adalah dari kaum Melayu tetapi dicalonkan atas restu dari Dap untuk memecahkan undi Melayu.

Bagi BN pula, kemenangan tipis PKR 198 undi pada PRU 2008, menguasai ketiga-tiga kerusi Dun dan peningkatan sokongan rakyat ke atas pentadbiran Najib tidak boleh dijadikan ukuran bahawa PRK Hulu Selangor akan memihak kepada BN. Kerana pemilihan calon juga adalah penentu kepada kemenangan sesebuah parti kerana pada PRU 2008 lalu jika diamati undi rosak lebih besar dari dari jumlah beza undi yang dimenangi oleh bekas calon PKR. Secara logiknya undi rosak itu menunjukkan bahawa pengundi mungkin inginkan sesuatu pembaharuan dalam BN. Jadi jika BN tersalah pilih calon Tsunami 2008 akan terus melanda sebaliknya jika pemimpin yang dipilih adalah berjiwa rakyat sudah pasti BN akan menambah kerusinya di Parlimen.

Akok@Baulu

No comments: