Showing posts with label 16 September. Show all posts
Showing posts with label 16 September. Show all posts

Monday, 12 April 2010

KATAK OH KATAK MARILAH MELOMPAT


September 16 2008 adalah detik bagaimana Anwar Ibrahim mencetuskan idea apabila menyatakan akan berlakunya peralihan kuasa Kerajaan BN kepada PR. Beliau juga mendakwa hampir separuh ahli Parlimen dan Adun BN/UMNO akan melompat kepada PR dan beliaulah yang bertungkus-lumus menjaja dan memujuk, melobi serta cuba merasuah ahli BN/UMNO supaya masuk PR. Nafsu besar Anwar dicanang disemerata dan sepelusuk negara sehinggalah beliau mengarahkan beberapa pemimpin kanannya mengekori rombongan ahli Parlimen BN/UMNO sehingga ke luar negara pada satu masa. Namun hasilnya tiada, sebaliknya puluhan ribu ringgit wang rakyat yang mereka pungut pada setiap sesi ceramah dihabiskan begitu saja.

Semuanya dilakukan hanya kerana mengejar cita-cita dan memenuhi nafsu besar Anwar untuk ke Putrajaya. Bagi Anwar dan rakan-rakannya dalam PR, tindakan membeli dan melobi supaya ahli Parlimen BN/UMNO melompat parti adalah usaha murni. Kini, walaupun 16 September akan kembali buat kali ketiga akhirnya apa yang Anwar lakukan untuk mengheret ahli BN/UMNO masuk PR terkena batang hidungnya sendiri. Kali ini anak didiknya sendiri boleh dikatakan setiap hari melompat keluar parti dan berduyun-duyun lagi akan turut menyusuri.

Apabila apa yang dikatakan sebelum ini terkena batang hidung sendiri, mulalah mereka meracau seperti manusia yang lupa diri. Jika dahulunya haram mereka kata halal, hari ini yang halal pula mereka haramkan sebabnya hanya untuk menghalalkan apa yang telah diperkatakan oleh mereka tempoh hari. Seperti dakwaan Dewan Pemuda Pas yang memutuskan bahawa ahli Parlimen Pembangkang yang keluar parti dan menjadi ahli Parlimen bebas haram, sebaliknya jika ahli Parlimen BN/UMNO bertindak sebaliknya adalah halal.

Nampaknya segala halal dan haram di dunia ini ditentukan oleh parti Pas, haram jika orang lain buat tapi semuanya halal jika Pas dan rakan-rakannya buat termasuk Dap. Haram bagi orang BN menerima tajaan untuk menunaikan haji kerana ia adalah rasuah tetapi halal bagi Nik Aziz ditaja oleh syarikat yang telah mendapat habuan kontrak kerajaan negeri. Hanya kerana kepentingan parti dan politik sempit, halal dan haram dijadikan madah untuk menarik sokongan. Sedangkan apabila ada bukan Islam menghina Islam dan mempersendakan Islam mereka mempertahankan. Begitu juga dengan masalah sosial rakan seperjuangan mereka yang mengamalkan seks sebelum perkahwinan, dipertahan dan dijulang kerana itu hak individu dalam keseronok kehidupan.

Jika inilah madah perjuangan, agama Islam yang dilaungkan hanyalah omongan semata-mata untuk menarik sokongan. Istiqomah perjuangan juga sudah hilang pertimbangan kerana dahulunya halal sekarang haram dan begitulah sebaliknya. Tidak salah kita berkawan kerana semuanya makhluk Tuhan, tetapi apabila agama Islam sanggup digadai dan ditelanjangkan hanya kerana laparkan pangkat dan kedudukan maka wajiblah beramai-ramai berhijrah mencari kebenaran.


Katak oh katak mengapa kau melompat
Baik aku berhijrah sebelum terlambat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Bagaimana aku tak melompat takut nanti kena liwat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Bagaimana aku tak melompat mereka semua cakap lebih baik dari Malaikat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Depa semua berlagak macam hebat tapi lebih hina dari anjing kurap,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Aku rela dikerat demi untuk mempertahankan agama dari dihina oleh geng peliwat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Tunggulah nanti ramai lagi yang akan melompat.


Akok@Baulu

Wednesday, 17 September 2008

ANWAR GAGAL TUBUH KERAJAAN

SEORANG pelanggan cafe sambil minum kopitiam membaca akhbar Harakah terbaru. Salepas dia membayar harga kopinya di tinggalkannya akhbar tersebut untuk tatapan orang lain. Apa yang menarik adalah tajuk utama akhbar tersebut.

GAGAL pada 16 September bukan bererti bohong, kata akhbar Pas, Harakah.

Jadi apa ertinya semua kenyataan, pengumuman dan laungan sebuah kerajaan baru pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ditubuhkan Selasa semalam.

Kini sudah terbukti 916 diuar-uarkan DSAI dan semua pemimpin Pakatan Rakyat hanyalah omong kosong, tipu helah, putarbelit, lidah biawak, jari lurus kelengking berkait malah pembohongan besar dekad ini agaknya.

Tiga pemimpin pembangkang kononnya menjejakkan kaki ke Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya untuk menyerahkan surat pengambilalihan tampuk pemerintahan daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Surat itu sebenarnya berisi tuntutan Anwar meminta kerajaan tidak menahan anggota parlimen yang melompat ke Pakatan Rakyat di bawah ISA dan keadaan negara didakwa DSAI sebagai tidak stabil.

Dakwaan Anwar surat itu meminta diadakan pertemuan dengan PM jelas satu lagi episod tipu muslihat ‘Sang Anwar’ (kata Pak Lah) atau lebih tepat lagi ‘musang’.
Penyokong Parti Keadilan Rakyat,Pas dan DAP yang termakan bulat-bulat dakwaan DSAI di Kelana Jaya malam kelmarin sekali lagi ‘kena goreng hidup-hidup’.

Tentunya kira-kira 15,000 penyokong pembangkang dan kumpulan yang taksub dengan putarbelit Anwar menantikan pengumuman senarai Ahli Parlimen yang keluar daripada Barisan Nasional menyertai PR, 2 petang semalam. Mereka semuanya masih tidak rasa diperdaya. Kasihan.

Boleh dikira Anwar sungguh bernasib baik kerana Raja Petra Kamaruddin dan Teresa Kok ditahan di bawah ISA, lantas perhimpunan dianjurkan kelmarin untuk mengutuk penahanan itu sambil merayakan kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia.

Jika mengikut jadual peralihan dalam mimpi ‘Sang Anwar’ 916 adalah tarikh keramat dia mengangkat sumpah menjadi PM. Malah sebuah syarikat televisyen Australia sudah pun menyiapkan dokumentari mengenai “Mr Unstoppable” , “Malaysia’s come back kid’. Hebat sungguh.

Wahai Anwar gerakan kamu sudah terencat, tergenjut. Dalam dokumentari difilemkan di Permatang Pauh, Ogos lalu, sambil menumbuk-numbuk angin, Anwar bertempik selepas dua minggu pertama September 2008, dia pasti akan berada dalam bilik di JPM.

Malah rakan rapatnya, Raja Petra dengan lega memberitahu akhbar, terlantik saja Anwar maka beliau akan dibebaskan daripada tahanan ISA. Tetapi jika Anwar lingkup, maka beliau juga akan terlingkup sama.

Lim Kit Siang yang bermimpi akan menyusun tapak di Putrajaya bersama-sama Anwar agaknya terkejut melihat 15,000 penyokong pembangkang di Kelana Jaya lantas mengisytiharkan “kini jika bukan lagi 916, boleh jadi 1016, 1216…”

Pemimpin Pas beserta ustaz dan pak lebai yang sanggup bergaduh dengan sesiapa saja yang menentang projek ternakan babi RM100 juta Pakatan Rakyat di kampung-kampung Melayu di Sepang sedarlah kamu juga sudah tertipu.

Hai Anwar, benarlah kata peribahasa – Hajat hati nak peluk gunung apakan daya tangan tak sampai. Kalau kail panjang sejengkal jangan lautan nak diduga.

Friday, 5 September 2008

APABILA MANUSIA ‘GILA MEROYAN’

Osman@Mansor sekali lagi menyuasai ruang bicara warta citra cafe. Ramai juga pelanggan lain yang terpegun dengan hujahnya. Kebenciannya kepada perosak bangsa bernama Anwar Ibrahim begitu meluap.

Kita kekadang perlu sedar dan buka mata jika kita sudah tidak mendapat tempat di mana-mana. Namun ada juga sesetengah orang tidak mempedulikan itu semua dan sanggup menutup mata dan memekak telinga kerana mereka tahu yang melihat dan mendengar apa yang mereka kata sebenarnya buta dan pekak pada hakikatnya.

Ada juga sesetengah orang cuba menggoda, memikat dengan pelbagai cara sehinggakan maruah diri, maruah keluarga, agama dan bangsa digadai hanya kerana tamak haloba untuk menjadi ketua. Apabila godaan dan cubaan memikat tidak di layan, mulalah mencari tempat untuk melepaskan geram dan melalak seperti orang ’gila meroyan’.

Sesudah menang di Permatang Pauh Anwar Ibrahim mula menunjuk belangnya. Hari pertama mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, beliau telah menunjukkan taringnya apabila bertindak keluar Dewan Rakyat kerana tidak bersetuju dengan cadangan Akta DNA untuk di bawa ke bacaan kali kedua.

Untuk menyakinkan penyokong mereka, kononnya 16 September beliau bakal menerajui pentadbiran baru Kerajaan Malaysia, beliau mula cuba memikat pihak Istana. Maka timbullah khabar angin yang mendakwa bahawa Anwar Ibrahim cuba menagih simpati Yang Di Pertuan Agong dan cuba untuk menghadap Banginda. Namun beliau tidak di layan sehingga menimbulkan kemarahan Baginda.
Persoalannya Apakah tujuan beliau mahu berjumpa dengan Yang Di Pertuan Agong? Kenapa Yang Di Pertuan Agong tidak berkenan untuk berjumpa dengan beliau? Kalaulah dia manusia yang sebangsa dan seagama dengan Yang Di Pertuan Agong sudah pasti Baginda tidak akan menolak hasrat beliau tersebut.

Namun, walaupun namanya sebagai orang Melayu dan beragama islam, tetapi sedikit sebanyak tindakan Anwar Ibrahim dalam beberapa perkara kebelakangan ini tidak diperkenan oleh Yang Di Pertuan Agong. Mana tidaknya hanya beliau dan rakan-rakannya sanggup menggadai dan cuba menghapus hak keistimewaan orang-orang Melayu apabila lantang menegakkan benang yang basah untuk membuka kouta 10% kepada pelajar-pelajar bukan Bumiputra memasuki UiTM.

Hari ini sekali lagi beliau dengan lantang bersuara setelah tidak dilayan oleh Istana. Seperti orang ’gila meroyan’ beliau meraung bak singa kelaparan, apabila mengulangi kenyataan Ketua Menteri P. Pinang bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sejak 1970an lagi apabila bertaktha pada 16 September nanti. Bukan itu saja, beliau juga berjanji untuk menghapuskan pemberian AP kepada pihak-pihak tertentu (News Straits Times Singapore:online:3/9/2008).


Belum lagi berkuasa sudah nampak kerakusan mereka menghapuskan hak-hak bangsa sendiri demi mengejar cita-cita. Beliau seumpama ’kerbau dicucuk hidung’ menuruti saja kehendak pihak tertentu.

Di Perak dan Selangor terbukti apabila membiarkan mereka berkuasa rakyat sebangsa dan seagama dengannya hidup merana. Kerajaan Perak menghadiahkan 400 hektar tanah begitu saja, sedang bangsa sendiri merana menagih simpati ehsan untuk hidup sempurna. 30% peruntukan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) diarahkan secara senyap-senyap untuk diagihkan kepada agama-agama lain dan segala program untuk pembangunan dan mengimarahkan Masjid di bekukan.

Siapakah yang mendapat keuntungan apabila semua perkara di atas dilaksanakan? Adakah ini hadiah kepada penyokong-penyokong mereka yang sebangsa dan seagama dengannya? Adakah penyokong-penyokong sebangsa dan seagama dengan beliau mendapat faedah dengan perlaksanaan dan pemberian kepada ’mereka’ yang bukan sebangsa dan seagama?

Persoalannya adakah Anwar Ibrahim dan pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat berfikir dengan waras sebelum membuat cadangan dan keputusan untuk menyerahkan semua perkara di atas?

Persoalan juga, adakah penyokong-penyokong Anwar dan pemimpin Melayu dalam Pakatan Rakyat berfikir akan kesan masa depan anak cucu dan bangsa mereka?

Rupanya prihatin Anwar Ibrahim dan Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan MB Selangor dan Perak bukan kepada penyokong sebangsa dan seagama dengan mereka, tetapi kepada ’mereka’ yang kononnya penyumbang besar akan kemenangan Pakatan Rakyat menawan 5 buah negeri. Sebab itulah apabila penduduknya di Kapar diserang bencana alam, Menteri Besar Selangor diam membiarkan mereka merintih sengsara.

Walaupun tidak berkuasa di negeri-negeri yang ditawan oleh ’mereka’, dengan majoriti barisan Exco dari kalangan ’mereka’ sekurang-kurangnya ’keldai’ tunggangan ’mereka’ telah melaksanakan tugas seperti yang dipinta.

Inilah natijahnya jika kuasa di tangan mereka, tidak kira sesama bangsa dan sesama agama, maruah negara digadai semata-mata untuk berkuasa. 16 September bakal menjelang tiba, sehingga kini belum ada tanda-tanda akan ada peralihan kuasa. Sebelum ini Sabah dan Sarawak di canang akan menderhaka dan melutut setia kepada mereka, hari ini Terengganu pula menjadi mangsa. Mereka tanpa segan silu mempersenda kesetiaan Ahli Parlimen dari ketiga-tiga negeri kepada rakyat di seluruh negara.

Kononnya 16 September di cadang untuk dijadikan cuti umum pada negeri ditadbir mereka, politik tidak sihat dan mampu menggugat kestabilan negara menjadi gula-gula kepada penyokong mereka.

Jika benarlah Anwar Ibrahim mempunyai bilangan anggota Parlimen BN dari Sabah, Sarawak dan Terengganu yang dicanangkan akan berpaling tadah, kenapa beliau perlu tunggu sehingga 16 September? Jika benar sudah cukup korumnya, beliau boleh menubuhkan Kerajaan baru bila-bila masa dari sekarang?

"Biarlah beliau ’gila meroyan’ seorang diri" tegasnya. "Biarlah dia melalak melolong menagih simpati, sehingga Istana menolak beliau ketepi. Jika Anwar Ibrahim masih berterusan bermain politik dengan mengapi-apikan kemarahan masyarakat Melayu, api kemarahan mampu menggugat kestabilan negara dan hanya rakyat yang mampu mengubahnya" ujarnya lagi. Tepukan bergemuruh di seluruh meja warta citra cafe mengiayakan kata-katanya.