Pilihan raya kecil Kuala Terengganu semakin dekat namun kelihatan parti-parti yang bertanding masih belum memulakan ‘gear’ yang optimum dalam kempen mereka. Namun, tidak dapat dinafikan para pemimpin-pemimpin tertinggi parti yang bertanding telah pun turun padang untuk menghangatkan lagi suasana kempen.
Pelbagai cerita dihebahkan dan ditabur sebagai umpan untuk memancing undi rakyat Kuala Terengganu. Namun yang paling menarik isu yang memeningkan dan menggelirukan rakyat Kuala Terengganu bahkan seluruh rakyat Malaysia iaitu isu berkenaan Hukum Hudud/Qisas dan pangkah PAS dapat pahala pangkah UMNO dapat dosa.
Sebenarnya PAS sudah lama berjuang untuk mendirikan sebuah negara Islam dan melaksanakan Hukum Hudud/Qisas di Malaysia. Walaupun sehingga kini hampir 20 tahun memerintah Kelantan, Hudu/Qisas tidak nampak bayang. Mereka juga turut mendakwa semua orang UMNO adalah ‘kafir’ kerana berkerjasama dengan MCA dan MIC dan sebab itulah PAS menyatakan pangkah UMNO dapat dosa manakala pangkah PAS dapat pahala. Sebaliknya semasa PUR ke 12 lalu nada perjuangan mereka berbeza kerana mereka mula berkawan dengan DAP dan PKR dan dikatakan terpaksa akur dengan satu perjanjian dasar yang mereka telah tandatangani pada Ogos 2008 berhubung dasar perjuangan PAS sebelum ini.
Sebab itulah mereka tidak memperjuangkan isu Hukum Hudu/Qisas dan tidak lagi mengkafirkan orang-orang UMNO namun menjelang pilihan raya kecil Kuala Terengganu sekali lagi kedua-dua isu ini dibangkitkan.
Rakyat semakin keliru dengan kenyataan dan perjuangan PAS ini. Sebelum ini Husam Musa bangga memuji langkah yang dibuat oleh Ketua Menteri P.Pinang yang dakwanya meniru kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz dalam pentadbirannya yang hanya melaungkan slogan ‘amal makruh nahi mungkar’. Sedangkan pemimpin DAP itu tersendiri menolak hasrat PAS untuk melaksanakan Hukum Hudud/Qisas dan sebuah negara Islam ala PAS.
Sebagai orang Islam kita sudah pasti kenal Khalifah Umar Abdul Aziz dan tindakan menyamakan dengan langkah pemimpin DAP dengan Khalifah Islam itu sungguh memalukan umat Islam. Kerana kita ketahui pemimpin ulung Islam itu adalah pemimpin adil, warak, beriman dan bertakwa berbanding dengan Ketua Menteri P.Pinang yang terang dan jelas menentang pelaksanaan hukum Allah dan apatah lagi beriman dan bertakwa kepada Allah? Tidakkah tindakan Husam Musa ini seperti menghina dan menjatuhkan maruah Khalifah ulung Islam dan Islam itu sendiri?
Kenyataan pemimpin PAS mengenai isu Hukum Hudud/Qisas tidak konsisten. Contohnya Husam Musa semasa berdebat dengan Timbalan Ketua Pemuda UMNO di Kelantan penghujung 2008 dengan nada keras menyatakan Hukum Hudud/Qisas akan dilaksanakan oleh PAS setelah di asak oleh Timbalan Ketua Pemuda UMNO itu. Namun tidak sampai 36 jam, Husam Musa menukar kenyataan beliau yang perlaksanaan Hukum Hudud itu hanya akan dilaksanakan jika mendapat persetujuan DAP dan PKR.
Ramai yang tertanya-tanya kenapa PAS perlu mendapat izin dari DAP dan PKR untuk melaksanakan Hukum Hudud/Qisas? Perlukah PAS mendapat perkenan DAP untuk melaksanakan hukum Allah? Pelik tapi benar, itulah PAS.
Presiden PAS juga cuba menyakinkan para pengundi di Kuala Terengganu dan rakyat seluruh negara bahawa para pemimpin DAP sudah faham akan Hukum Hudud/Qisas dan tiada sebarang masalah jika hukum tersebut dilaksanakan. Sebaliknya hari ini, Karpal Singh sekali lagi menyangkal dakwaan Haji Hadi yang tersimpang jauh dari kebenaran. Beliau juga mendakwa PAS sehingga kini belum pernah menjelaskan isu pelaksanaan Hukum Hudud kepada DAP. (Utusan Malaysia:11 Januari 2009).
Adakah Haji Hadi bercakap bohong? Tidakah berdosa jika seseorang itu bercakap bohong? Bagaimana dengan Haji Hadi? Atau mungkin bagi beliau tidak berdosa bercakap bohong kerana beliau merupakan pemimpin tertinggi PAS yang mendokong perjuangan Islam? Pelik tapi benar, itulah pemimpin PAS.
Jadi jelas bahawa isu Hukum Hudud/Qisas ini hanyalah umpan PAS untuk memancing undi dikala setiap kali adanya pilihan raya terutama di kawasan ramai penggundi Melayu. Jadi inilah yang digambarkan oleh Rasullalah S.A.W golongan yang menjual agama kerana dunia, pangkat dan kuasa.
Ramai juga bertanya jika benar PAS ingin melaksanakan Hukum Hudud/Qisas kenapa mereka tidak membawa usul ke sidang Dewan Rakyat. Hampir 22 orang ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat dan sudah cukup untuk PAS membawa usul tersebut di sokong oleh ahli Parlimen PKR yang beragama Islam. Sama ada diterima atau tidak oleh Parlimen, PAS perlu mengemukakan dulu ke Dewan Rakyat barulah kita tahu akan kesungguhan PAS dalam isu ini.
Berhubung dengan dosa dan pahala, adakah tidak berdosa para Exco-exco PAS membisu dan tidak membantah operasi kilang-kilang arak di Selangor yang sebelum ini dihentam teruk oleh PAS semasa pentabdiran Kerajaan BN? Begitu juga dengan ladang ternakan babi di Sepang yang sebelum PUR 12 PAS menyamakan Selangor di bawah Kerajaan BN sebagai negeri ‘babi’ tapi apa pemimpin PAS Selangor buat sekarang?
Begitu juga dengan politik wang, rasuah dan sebagainya. PAS cuba menunjukkan yang mereka ini ‘maksum’ tidak pernah terlibat dengan gejala rasuah dan politk wang dan sebagainya. Bagaimana dengan proses ‘beli undi’ yang dijalankan oleh PAS apabila adanya pilihan raya?
Nampaknya tindakan PAS setelah berkawan dengan DAP dan PKR telah mengelirukan penyokongnya dan juga rakyat beragama Islam. Sebab itulah dalam PAS sendiri wujud dua puak, puak PAS tulen dan puak endorgan. Tapi untuk mencapai cita-cita dalam politik mereka sanggup melakukan apa saja asalkan mereka memperolehi kuasa dan pangkat.
Masa muda remaja masih ingat bagaimana PAS menuduh UMNO kafir kerana bersetongkol dengan MCA dan MIC dalam BN sehingga menyebabkan orang Islam berpecah. Berlakunya solat dua imam, nikah tidak sah, kafir mengkafir dan pulau memulau dikalangan orang-orang Islam akibat dari tindakan PAS. Namun hari ini PAS sendiri telah bersetongkol dengan DAP dan ternyata sikap PAS sudah berbeza. Benarlah kata orang tua-tua, jangan kita mengata, mengumpat, atau memfitnah orang lain kerana kata-kata tersebut akan memakan diri sendiri seperti apa yang sedang dialami oleh PAS pada hari ini
Akok@Baulu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment