Saturday 24 April 2010

PKR Jaja Kempen Murahan


Oleh: Muhamad Irfan

Nampaknya Parti Pakatan Rakyat (PKR) berjaya memperdaya penyokongnya dengan menggunakan banner Debat Perdana antara Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Stadium Kuala Kubu Bharu malam esok. Ironinya, PKR sendiri sedia maklum Perdana Menteri tidak akan melayan kempen murahan tersebut malah melalui hebahan media di bilik gerakan PKR, tapak yang dikatakan berlangsung debat tersebut akan diisi oleh Anwar, Zahid Ibrahim dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat.


PKR mendakwa telah menghantar surat jemputan ke Pejabat Perdana Menteri dan bersedia untuk menanti kemunculan Perdana Menteri bagi menjawab semua tuduhan Anwar terhadap kerajaan dan Datuk Seri Najib berhubung isu APCO. Sedangkan mereka sendiri tahu bahawa Perdana Menteri akan menyertai P. Kalamanathan di Majlis Grand Finale 1Malaysia di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung pada masa yang sama.


Daripada segi strateginya dan perancangannya, nampak PKR berjaya. Boleh dikatakan ke semua penceramah yang hadir di pentas PKR di Stadium Kuala Kubu Bharu di sini malam tadi, menyebut isu serupa – mencabar Perdana Menteri untuk hadir dan menjawab segala dakwaan tersebut.


Kerana awal-awal lagi mereka sudah tahu akan jawapannya, mereka mendakwa daripada segi moralnya, mereka sudah menang kerana mereka tahu Perdana Menteri sememangnya tidak akan hadir. Bagi menguatkan hujah, mereka menuduh pula Datuk Seri Najib takut untuk berdepan dengan Anwar. Jika pemimpin sudah berkata begitu, penyokong apatah lagi, tentunya menerima bulat-bulat.


Tapi yang terperdaya dan terpesona dengan pembohongan pemimpin-pemimpin PKR ini rasanya bukanlah di kalangan pengundi tempatan. Sebahagian besar yang memenuhi grandstand stadium terdiri daripada petugas PAS dan PKR dari luar. Khabarnya bilangan mereka sudah ditambah kepada 5,000 orang menjelang pengundian Ahad ini berbanding 3,000 orang sebelum ini.


Yang peliknya, mereka langsung tidak menyentuh tentang isu gagasan 1 Malaysia. Mungkin mereka sedar agak sukar untuk mematahkan dasar yang sudah mula diterima baik oleh rakyat pelbagai kaum di negara ini. Buktinya, setiap kali kunjungan Perdana Menteri di Hulu Selangor sambutan yang diberikan cukup luar biasa. Laungan 1 Malaysia cukup sinonim dengan beliau.


Kehadiran beliau di pekan Hulu Yam Baru petang semalam diberikan sambutan luar biasa oleh pengundi Cina apabila hampir 500 orang menunggu. Walaupun hanya singgah di sebuah restoran atas ikhsan pemiliknya, beliau sempat menyampaikan mesej kepada pengundi Cina agar bersedia untuk bersama-sama Barisan nasional (BN) untuk melakukan perubahan di Selangor.


Seperti kata beliau, perubahan di negeri Selangor harus bermula di Hulu Selangor dan beliau melahirkan keyakinan bahawa pengundi Cina akan terus bersama menyokong kerajaan. Pengundi Cina membentuk majoriti di Hulu Yam Bharu dengan 1,197 orang dan usaha untuk menarik semula sokongan pengundi Cina ketika ini menjadi keutamaan memandangkan ketika pilihan raya umum lalu, PKR berjaya mendapatkan sokongan 63 peratus undi Cina.


Walaupun sukar untuk menentukan dengan jelas kecenderungan pengundi Cina ketika ini berbanding pengundi Melayu dan India yang sudah mula memihak kepada BN, harapan untuk menyaksikan pengundi Cina kembali menyokong BN tetap ada berdasarkan kepada penerimaan mereka terhadap perubahan demi perubahan yang cuba dibawa oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.





Wednesday 21 April 2010

Taste of own medicine? - hal Zaid, bukti sikap hipokrit PR

By Tun Faisal

Poster yang disebarkan bagi memfitnah dan menyerang peribadi Pak Lah

Hari ini, Pakatan Pembangkang (PR) merasa terhimpit kerana mereka tidak lagi bebas untuk menipu dan berbohong seperti dahulu. Taktik-taktik kotor yang pernah mereka gunakan untuk menyerang peribadi pemimpin Barisan Nasional (BN) melalui internet hari ini telah digunakan kembali terhadap mereka.

Tiba-tiba sahaja, pembangkang mengutuk serangan peribadi. Sedangkan sebelum ini, mereka merupakan pelopor serangan peribadi yang mengotorkan politik dalam negara ini. Siapa tidak ingat apabila pemimpin Pas, Mat Sabu menyerang Anwar Ibrahim secara peribadi dengan menggelarnya al-Juburi. Masih ramai yang belum lupa serangan peribadi terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, melalui pelbagai penipuan dan gelaran seperti MahaFiraun dan sebagainya.

Ramai yang tidak lupa dengan serangan peribadi terhadap calon Permatang Pasir, Rohaizat Othman sehingga menggugat rumah tangganya. Begitu juga dengan serangan peribadi terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datin Seri Rosmah Mansor yang bertali arus sehingga sekarang (klik).

Paling saya tidak lupa gambar-gambar Tun Abdullah Badawi yang disebarkan, kononnya gambar beliau memeluk Michelle Yeoh dan minum arak (klik).

Tiba-tiba saja, apabila menyedari calonnya mempunyai banyak masalah, PR bersikap double standard dan menyerang para blogger yang mempersoalkan kewajaran Zaid Ibrahim untuk dipilih sebagai wakil rakyat. Tiba-tiba saja mereka lupa tentang kebebasan bersuara dan kebebasan untuk menyampaikan maklumat yang diperjuangkan selama ini.

Antara yang hendak dikongsikan oleh para blogger adalah;

  1. Zaid adalah seorang peminum arak. Biarpun ada yang mempersoalkan sama ada gambar itu superimposed atau tidak, tidak ada mana-mana pihak yang berani menafikan bahawa Zaid seorang peminum arak. Sila lihat di sini untuk gambar Ziad dalam satu majlis (klik) dan artikel dari Jocelyn Tan (klik).
  2. Zaid adalah seorang penjudi kuda (klik).
  3. Pegangan agama Zaid adalah tipis sehingga mencadangkan loteri untuk sukan (klik) sehingga menyebabkan Pas memusuhinya
  4. Pandangan Zaid tentang murtad tidak selari dengan pandangan ulama (klik)
  5. Zaid menolak hudud (klik)

Salahkah pengundi diberi maklumat yang tepat mengenai Zaid? Sedangkan dalam kes Tun Dr Mahathir, Pak Lah, Datuk Seri Najib dan Datin Seri Rosmah maklumat yang salah dan fitnah yang disebarkan untuk menyerang peribadi mereka.

Memberi maklumat yang tepat nampaknya salah bagi PR, tetapi apabila mereka menyerang peribadi pemimpin kerajaan, jika ia fitnah pun, tidak menjadi kesalahan. Ini cerminan sikap hipokrit dan
double standard PR - Penipu Rakyat!

Bagaimana pula tuduhan Mustafa Ali bahawa
"Semua perdana menteri Malaysia - kecuali Tun Abdullah Ahmad Badawi - terlibat dengan pengambilan minuman beralkohol." Adakah ajaran Islam, untuk meyerang peribadi orang yang telah meninggal dunia, sedangkan mereka tidak boleh mempertahankan diri mereka? Tiada yang lebih menjijikkan selain dari perbuatan pemimpin parti yang kononnya Islam ini.

Tuesday 20 April 2010

ZAID IBRAHIM: “CERITA LAMA, ZAMAN MUDA-MUDA”

PR mendapat tamparan hebat dalam PRK di Hulu Selangor apabila calon mereka Zaid Ibrahim berhadapan dengan krisis ‘keperibadian dan moral’ sebagai seorang pemimpin. Di beberapa tempat sekitar Hulu Selangor, para pengundi mula bercakap-cakap berhubung moral bakal pemimpin yang akan mereka undi. Mereka juga mempersoalkan bagaimana seorang pemimpin seperti Zaid yang beragama Islam dan rendah moralnya dan beliau sendiri telah mengaku arak adalah minuman kegemaranya sewaktu muda di calonkan untuk bertanding mewakili mereka.

Seorang pemimpin yang mewakili rakyat seharusnya mempunyai nilai moral tinggi kerana pemimpin akan menjadi contoh dan tauladan untuk diikuti oleh rakyat terutama golongan muda. Siapakah harus dipersalahkan jika masalah sosial terus berlaku pada golongan muda? Golongan muda ini sudah pasti akan menuding jari kepada pemimpin mereka. Alasannya cukup mudah, jika pemimpin mereka boleh buat jadi salahkah mereka buat perkara yang sama?

Itulah yang cuba dielak berlaku dalam negara, pemimpin yang dipilih harus mempunyai latar belakang dan moral yang tinggi budi perkertinya. Bukannya pemimpin yang hanya pandai berkata-kata dan mempunyai wang segunung tingginya dan bukan juga pemimpin yang mempunyai moral lebih rendah dari golongan jahil era zaman jahiliah. Lagi jahil ialah apabila adanya pemimpin yang memperjuangkan Islam menobatkan manusia sedemikian rupa untuk menjadi saf kepimpinan bagi menerajui masa depan bangsa dan agama terutama golongan muda.

Ayat 90, surah al-Maidah.
Firman Allah bermaksud: “Wahai orang yang beriman sesungguhnya arak, judi, berhala dan bertenung nasib adalah perbuatan keji dan termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat kejayaan."

Ayat di atas jelas dan terang maksudnya, tapi di mana letaknya iman dan perjuangan para pemimpin Pas yang memperjuangkan Islam? Adakah ini contoh perjuangan Pas untuk mewujudkan sebuah negara Islam? Memartabatkan pemimpin yang rendah moralnya untuk memimpin rakyat ke jalan yang benar? Maka jelaslah bahawa negara Islam yang diperjuangkan oleh Pas hanyalah kepentingan politik saja kerana hari ini yang haram telah menjadi halal hanya kerana mengejar cita-cita politik. Apa yang berlaku dalam Pas inilah yang sebenarnya dikatakan lebih jahil dari zaman jahiliah.

Saturday 17 April 2010

ZAID IBRAHIM ‘DIKUDAKAN’ OLEH ANWAR


PR telah mengumumkan bahawa calon yang bertanding bagi PRK Hulu Selangor ialah Zaid Ibrahim sebagai taruhan untuk mempertahankan PR. Jika dilihat, sebenarnya PR bukan ketandusan calon yang berkebolehan dan berwibawa seperti nama-nama yang disebut oleh media sebelum ini, tetapi dalam PRK kali ini beberapa sudut pandangan boleh diperkatakan dengan perancangan PR kali ini.

Semua orang tahu siapa Zaid Ibrahim, bukan anak jati Hulu Selangor, pernah menjadi ahli Parlimen dan satu masa pernah berada dalam barisan Kabinet semasa Pak Lah. Zaid juga adalah antara pengusaha kaya dalam ‘law firm’ sehingga beberapa firma guamannya ditubuhkan di luar negara. Zaid juga adalah seorang yang kehidupannya penuh dengan kebaratan dan ada yang menyatakan hidupnya lebih kebaratan dari orang-orang ‘putih’ sendiri. Minuman syaitan adalah biasa bagi beliau dan cubalah tanya kawan-kawan atau cubalah jenguk kerumahnya sama ada di Kelantan atau di KL, minuman syaitan adalah sajian istimewa.

Adakah pemimpin Pas terutama dari Kelantan tidak tahu akan perangai Zaid Ibrahim? Mereka tahu tapi demi politik mereka hanya berdiam diri dan menyokong pemimpin seperti ini yang lebih jahil perangainya dari golongan jahiliah. Kerana Zaid lah yang menyaman negeri Kelantan kerana ingin melaksanakan hukum hudud pada ketika itu.

Apa yang ingin dikatakan disini ialah faktor sebenar kenapa Zaid menjadi calon di PRK Hulu Selangor. Pertamanya kerana Zaid diketahui ramai memang bercita-cita menjadi Menteri Kehakiman jadi inilah peluang dan langkah pertama dalam PR untuk cita-cita tersebut. Dengan keghairahan untuk mengejar cita-cita tersebut, beliau sanggup lakukan apa saja termasuklah melabur wangnya sendiri untuk PRK kali ini. Inilah senjata yang digunakan oleh Anwar untuk menyelamatkan dana PR dari melimpah keluar yang mereka kumpulkan untuk PRU akan datang.

Anwar tidak akan membazirkan wang PR begitu saja hanya untuk menaikkan nama Zaid, sebaliknya Anwar menggunakan kekayaan zaid untuk meneruskan sisa perjuangan mempertahankan Hulu Selangor. Dengan kata lain sebenarnya Zaid ‘diperbodohkan’ oleh Anwar dan pemimpin tertinggi PR lain tapi Zaid tidak sedar dan seronok dengan ‘kepercayaan’ dan ‘keyakinan’ yang diberikan oleh Anwar kepada beliau untuk bertanding.

Seterusnya ia juga mungkin strategi PR, kerana mereka sedar untuk menang pada PRK ini amat sukar jadi Anwar sengaja meletakkan calon seperti Zaid. Dengan alasan jika kalahpun mereka tidak malu kerana pemimpin-pemimpin dan rakyat Malaysia sendiri tahu keperibadian Zaid yang menjadi calon mereka. Anwar cuba mengelak PKR terus merundum popularitinya jika mencalonkan pemimpin-pemimpin terhebat mereka sebaliknya mereka hanya mengumpan Zaid untuk dipertaruhkan sebagai ‘keldai’ pertaruhan.

Mengumpan Zaid bukannya untuk menarik sokongan kaum bukan Melayu tetapi sebenarnya Anwar sudah tahu angin perubahan rakyat terhadap BN dan beliau tidak berani mempertaruhkan pemimpin lain kerana takut reputasi PKR semakin teruk. Jadi Anwar menggunakan ‘sampah’ untuk menjadi calon dalam PRK Hulu Selangor kali ini.

Jika Zaid menang, adakah pembangunan yang ditagihkan oleh penduduk Hulu Selangor akan terbela? Adakah beliau akan memahami kehidupan penduduk Hulu Selangor? Semua ini hanya penduduk Hulu selangor sendiri saja yang tahu menilainya kerana yang penting bakal pemimpin yang mereka pilih nanti tidaklah ‘berdegung’ mabuk kerana minuman syaitan. Kerana sebagai orang Islam, pemimpin yang dipilih mestilah amalkan cara hidup Islam seperti sembahyang 5 waktu dan tidak minum minuman syaitan.


Akok@Baulu

Monday 12 April 2010

KATAK OH KATAK MARILAH MELOMPAT


September 16 2008 adalah detik bagaimana Anwar Ibrahim mencetuskan idea apabila menyatakan akan berlakunya peralihan kuasa Kerajaan BN kepada PR. Beliau juga mendakwa hampir separuh ahli Parlimen dan Adun BN/UMNO akan melompat kepada PR dan beliaulah yang bertungkus-lumus menjaja dan memujuk, melobi serta cuba merasuah ahli BN/UMNO supaya masuk PR. Nafsu besar Anwar dicanang disemerata dan sepelusuk negara sehinggalah beliau mengarahkan beberapa pemimpin kanannya mengekori rombongan ahli Parlimen BN/UMNO sehingga ke luar negara pada satu masa. Namun hasilnya tiada, sebaliknya puluhan ribu ringgit wang rakyat yang mereka pungut pada setiap sesi ceramah dihabiskan begitu saja.

Semuanya dilakukan hanya kerana mengejar cita-cita dan memenuhi nafsu besar Anwar untuk ke Putrajaya. Bagi Anwar dan rakan-rakannya dalam PR, tindakan membeli dan melobi supaya ahli Parlimen BN/UMNO melompat parti adalah usaha murni. Kini, walaupun 16 September akan kembali buat kali ketiga akhirnya apa yang Anwar lakukan untuk mengheret ahli BN/UMNO masuk PR terkena batang hidungnya sendiri. Kali ini anak didiknya sendiri boleh dikatakan setiap hari melompat keluar parti dan berduyun-duyun lagi akan turut menyusuri.

Apabila apa yang dikatakan sebelum ini terkena batang hidung sendiri, mulalah mereka meracau seperti manusia yang lupa diri. Jika dahulunya haram mereka kata halal, hari ini yang halal pula mereka haramkan sebabnya hanya untuk menghalalkan apa yang telah diperkatakan oleh mereka tempoh hari. Seperti dakwaan Dewan Pemuda Pas yang memutuskan bahawa ahli Parlimen Pembangkang yang keluar parti dan menjadi ahli Parlimen bebas haram, sebaliknya jika ahli Parlimen BN/UMNO bertindak sebaliknya adalah halal.

Nampaknya segala halal dan haram di dunia ini ditentukan oleh parti Pas, haram jika orang lain buat tapi semuanya halal jika Pas dan rakan-rakannya buat termasuk Dap. Haram bagi orang BN menerima tajaan untuk menunaikan haji kerana ia adalah rasuah tetapi halal bagi Nik Aziz ditaja oleh syarikat yang telah mendapat habuan kontrak kerajaan negeri. Hanya kerana kepentingan parti dan politik sempit, halal dan haram dijadikan madah untuk menarik sokongan. Sedangkan apabila ada bukan Islam menghina Islam dan mempersendakan Islam mereka mempertahankan. Begitu juga dengan masalah sosial rakan seperjuangan mereka yang mengamalkan seks sebelum perkahwinan, dipertahan dan dijulang kerana itu hak individu dalam keseronok kehidupan.

Jika inilah madah perjuangan, agama Islam yang dilaungkan hanyalah omongan semata-mata untuk menarik sokongan. Istiqomah perjuangan juga sudah hilang pertimbangan kerana dahulunya halal sekarang haram dan begitulah sebaliknya. Tidak salah kita berkawan kerana semuanya makhluk Tuhan, tetapi apabila agama Islam sanggup digadai dan ditelanjangkan hanya kerana laparkan pangkat dan kedudukan maka wajiblah beramai-ramai berhijrah mencari kebenaran.


Katak oh katak mengapa kau melompat
Baik aku berhijrah sebelum terlambat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Bagaimana aku tak melompat takut nanti kena liwat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Bagaimana aku tak melompat mereka semua cakap lebih baik dari Malaikat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Depa semua berlagak macam hebat tapi lebih hina dari anjing kurap,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Aku rela dikerat demi untuk mempertahankan agama dari dihina oleh geng peliwat,

Katak oh katak kenapa kau melompat
Tunggulah nanti ramai lagi yang akan melompat.


Akok@Baulu

BILA ADA AKAL TAPI TAK PAKAI


Pemilihan calon BN dari MIC yang bakal diturunkan dalam PRK Hulu Selangor yang diumumkan oleh Najib tempoh hari masih ada pihak tidak puashati. Ada sumber-sumber dari Hulu Selangor menyatakan terdapat segelintir ketua bahagian dan ketua cawangan UMNO membantah keras calon dari MIC sebaliknya mereka lebih menaruh keyakinan bahawa calon Melayu mampu membawa kemenangan kepada BN.

Dengar khabarnya ada yang awal-awal lagi menyatakan akan memprotes atau boikot PRK Hulu Selangor. Alasan mereka adalah kerana majoriti pengundi di Hulu Selangor adalah orang Melayu iaitu sekitar 62%, Cina 23% dan India 15%. Itu asalan mereka hingga menyebabkan beberapa kem BN di Hulu Selangor dikatakan panas dan ada yang menyatakan akan boikot PRK nanti.

Inilah sikap orang-orang UMNO, bertindak mengikut perasaan dan mereka masih tidak sedar bahawa Selangor adalah negeri pembangkang. Sikap orang-orang UMNO lebih pentingkan diri dan langsung tidak menghayati semangat 1Malaysia yang dilaungkan oleh Najib. Najib semasa konvensyen BN di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, jelas telah memberi peringatan kepada semua ahli BN supaya mementingkan kerjasama dan kerja keras tidak kira siapa calon BN di Hulu Selangor. Najib juga telah jelaskan bahawa ahli BN jangan lagi dibuai mimpi dan buang sikap pentingkan diri, sebaliknya kerjasama hendaklah dijalin dalam memastikan kejayaan BN di Hulu Selangor dan juga pada PRU akan datang.

Tidak mustahil perasaan tidak puas hati dikalangan segelintir ahli UMNO adalah disebabkan wujudnya ‘serangan’ dalaman oleh ‘tentera’ PR yang cuba meracuni pemikiran pemimpin UMNO Hulu Selangor. Strategi mereka adalah untuk melaga-lagakan orang UMNO supaya berpecah dua. Jika ini berjaya maka senanglah mereka berkerja kerana tidak mustahil ahli UMNO yang kecewa akan memberi ‘bantuan’ kepada mereka seperti PRU 2008 yang lalu. Pada PRU 2008 lalu, inilah juga terjadi kepada UMNO Selangor sehinggakan mereka sanggup lepaskan pentadbiran kerajaan negeri kepada PR. Oleh kerana tidak puas hati dengan calon, mereka sanggup ‘menikam’ dari belakang, memboikot dan seterusnya membiarkan mereka ‘diperintah’ oleh PR.

Semua ahli BN perlu sedar dan buka mata, rakyat telah memberi peringatan bahawa mereka hanya memilih pemimpin yang benar-benar berkerja dan boleh menyelesaikan masalah mereka. Bukannya hanya menabur janji kosong dan tinggalkan mereka bila dah berjaya sebaliknya kembali menabur wang ringgit dan pelbagai projek hanya apabila sudah dekat pilihan raya. Serta bukan sebuah parti yang porak peranda dan kucar-kacir pentadbirannya kerana masing-masing ‘gilakan’ pangkat dan kuasa.

Cara Najib mendekati rakyat sepatutnya menjadi ikutan ahli BN barulah rakyat suka dan sokong kita. Janganlah biarkan si ketua berkerja untuk kita dan kita hanya menumpang tuah si ketua saja. Kita hendaklah seiring dan lebih kerap turun padang dari si ketua untuk mendekati rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. Rakyat bukannya inginkan wang ringgit sebaliknya cukup sekadar pemimpin selalu bertanya khabar mereka, boleh didekati rakyat dan mampu mendengar keluhan dan masalah dan seterusnya diselesaikan serta menyediakan kemudahan untuk mereka.

Jadi gunakanlah akal dan janganlah mengikut perasaan semata-mata. Kerana jika kita tidak menggunakan akal dengan sempurna maka kita akan terus berada di bawah ‘mereka’. Berilah peluang kepada MIC untuk meletakkan calonnya agar konsep 1Malaysia tersemai dikalangan rakyat kita. Bukan seperti parti PKR yang cakap tak serupa bikin kerana mereka telah menyatakan bahawa calon mereka adalah orang Melayu dan ini menunjukkan mereka bukanya parti untuk semua kaum tetapi parti untuk satu kaum saja.

Akok@Baulu

Friday 9 April 2010

MEB janji manfaat kepada semua kaum

Tiada rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan, semuanya mendapat peluang saksama untuk berjaya dan berkongsi kemakmuran – itu lah antara jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan Model Ekonomi Baru (MEB). Pelaksanaannya bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memiliki ekonomi maju dan berdaya saing dengan rakyat menikmati kualiti hidup serta berpendapatan tinggi hasil pertumbuhan yang inklusif dan mampan.

Menerusi MEB juga Kerajaan meletakkan sasaran untuk menjadikan Malaysia lebih kompetitif bukan sahaja di peringkat serantau tetapi juga di peringkat global untuk manfaat setiap rakyat sekali gus menyumbang kepada peningkatan pendapatan per kapita kepada AS$15,000 menjelang akhir dekad ini berbanding AS$7,000 ketika ini.

Untuk mencapai impian tersebut, sebanyak lapan inisiatif pembaharuan strategik telah digariskan oleh Kerajaan bagi merealisasikan program transformasi ekonomi Malaysia ke arah melonjakkan kualiti hidup semua kaum.
Lapan inisiatif tersebut adalah,
• Menyuburkan kembali sektor swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi
• Membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
• Mewujudkan ekonomi domestik yang berdaya saing
• Memperkukuh sektor awam
• Melaksanakan tindakan afirmatif yang telus dan mesra pasaran
• Membina infrastruktur berasaskan pengetahuan
• Meningkatkan sumber pertumbuhan
• Memastikan pertumbuhan mapan
Walaupun MEB cuba dipolitikkan oleh golongan tertentu kononnya ia bakal menghakis kepentingan bumiputera, jaminan tersebut dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri bahawa MEB menjanjikan manfaat kepada semua kaum tanpa menjejaskan atau mengetepikan kepentingan kaum Bumiputera. Malah beliau berkata, di bawah MEB, Kerajaan tidak boleh lagi bertolak ansur dengan amalan yang menyokong aktiviti ‘rent-seeking dan ‘patronage’ yang sudah sekian lama menjejaskan matlamat murni Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Apa yang cuba diisi melalui MEB adalah penyertaan menyeluruh di mana semua rakyat dapat menyumbang dan mengambil manfaat daripada pertumbuhan ekonomi di mana objektif asal DEB masih lagi relevan, cuma sudah tiba masanya untuk menilai semula pelaksanaan DEB dengan mengubah cara ia dilaksanakan.

Seperti yang pernah dinyatakan oleh bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia), Dato’ Salleh Majid yang pernah mengulas mengenai isu MEB ini dengan panjang lebar dalam kolumnya di akhbar Utusan Malaysia. Menurut beliau, salah satu kelemahan yang kerap dibangkitkan oleh pengkritik DEB adalah ia menguntungkan orang-orang tertentu – iaitu mereka yang mempunyai kaitan dan hubungan dengan pemimpin dan pentadbir atau tergolong dalam golongan yang mempunyai pengaruh atau boleh membawa pengaruh.

Jadi, DEB tidak sampai kepada sasaran yang diinginkan. Menurut beliau tidak hairan jika pengkritik mengatakan mereka yang bersungguh-sungguh mempertahankan DEB terdiri daripada mereka yang disebut ‘tukang tenggek’ yang bimbang peluang-peluang mereka mendapat projek secara mudah tanpa bekerja kuat akan musnah kalau DEB tidak diteruskan.
Mengapa Malaysia memerlukan MEB? Menurut Dato’ Salleh Majid, ketika ini Malaysia sudah ditinggalkan negara-negara jiran di Asia Tenggara. Pelaburan asing sudah berkurangan malah syarikat swasta negara ini juga tidak banyak melabur di negara ini dan mencari pelaburan di luar yang lebih menguntungkan. Kita masih terlekat dengan pendapatan pertengahan di mana negara-negara yang satu ketika dulu sama taraf dengan Malaysia seperti Korea Selatan, Hong Kong, Taiwan dan Singapura kini sudah terlalu jauh meninggalkan kita. Pendapatan per kapita hanya setakat AS$7,000 (RM23,000) sedangkan negara-negara yang sama taraf dengan kita satu masa dulu sudah meningkat dua hingga lima kali ganda daripada per kapita kita.

Banyak sebab mengapa pelabur asing berkurangan. Antaranya industri kita masih lagi bertumpu kepada industri bergaji rendah dan teknologi rendah yang kurang nilai tambahnya dalam produk keluaran. Bagi industri berteknologi tinggi, kita tidak memiliki tenaga kerja berkemahiran tinggi yang ramai memandangkan ramai di kalangan mereka ini meninggalkan negara untuk mendapat gaji dua atau tiga kali ganda dari apa yang ditawarkan di negara sendiri.

Selain itu kerenah birokrasi juga menyebabkan pelabur keberatan untuk datang melabur. Berbanding di negara lain untuk melakukan apa juga perniagaan atau pelaburan boleh dilakukan dalam masa beberapa jam tetapi di Malaysia ia mengambil masa berbulan-bulan.

Ini lah yang cuba diubah menerusi MEB- iaitu mengubah struktur ekonomi negara untuk meningkatkan tahap persaingan sekali gus meningkatkan pendapatan per kapita kepada AS$17,000 (RM56,000) menjelang 2020 seperti yang disasarkan sebelum ini iaitu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju yang berpendapatan tinggi.

Selain itu MEB juga berhasrat untuk menjadikan industri berasaskan pengetahuan diutamakan selain daripada tanah, buruh dan modal serta inovasi dan kreativiti menjadi fokus utama. Bagi memastikan ia berjaya dicapai, ia memerlukan sokongan banyak pihak termasuk institusi kewangan untuk melakukan reformasi masing-masing.

Seperti kata Dato’ Salleh Majid, pendapatan lebih tinggi tidak bermakna memberi gaji yang lebih semata-mata. Apa yang lebih penting adalah peningkatan dalam produktiviti memandangkan angka indeks produktiviti negara ketika ini masih rendah dan ia perlu dipertingkatkan lagi. Banyak yang perlu diberikan tumpuan terutama kepada aktiviti pembangunan dan penyelidikan (R&D) bagi membolehkan kita menjadi sebuah negara yang benar-benar maju.

Apa yang lebih penting, tanggungjawab menjayakan MEB tidak hanya bergantung semata-mata kepada Kerajaan tetapi juga sejauh mana kesanggupan rakyat melaksanakan perubahan dalam persekitaran ekonomi yang bergerak pantas.

Wednesday 7 April 2010

CALON MESTI BERJIWA RAKYAT


Sejak SPR mengumumkan 17 April 2010 bagi hari penamaan calon dan 25 April 2010 hari pengundian bagi pilihan raya kecil di Hulu Selangor masing-masing parti yang bertanding sibuk dan merangka pelbagai strategi dalam memastikan calon yang akan bertanding adalah benar-benar boleh membawa inspirasi parti dan paling utama berjiwa rakyat. Janganlah tersalah pilih seseorang calon yang hanya pandai berpidato, pandai menabur janji kosong dan hebat membohongi rakyat kerana pemimpin seperti ini akan terkena ‘sumpahan’ dan akibatnya boleh merobohkan kepercayaan rakyat pada parti.

Tidak dinafikan parti yang akan bertanding ‘pening kepala’ memikirkan calon yang sesuai. Kerana semua parti komponen dalam BN ataupun ‘keluarga’ dalam PR (Dap, PAS, PKR) sudah pasti akan cuba meletakan calon pilihan mereka di hadapan. Bagi BN, calon dari MIC dan UMNO masih menjadi tanda tanya siapa akan bertanding dan beberapa nama juga sudah menjadi sebutan sebagai calon. Walaupun MIC lebih awal menonjolkan calon mereka iaitu bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor selama 4 penggal berturut-turut iaitu G. Palanivel, sebelah UMNO juga dikatakan ada beberapa nama untuk diketengahkan menjadi calon. Namun semua ini terletak pada Najib dan dikatakan semasa menyaksikan perlumbaan F1 hujung lalu, nama calon sudah ditentukan dan akan diumumkan oleh Muhyiddin pada 15 April nanti.

Namun wujud desas-desus cakap-cakap kedai kopi menyatakan calon BN kekal dari MIC. Cakap-cakap ini berkumandang setelah Muhyiddin membayangkan bakal calon BN adalah dari MIC. Calon yang dimaksudkan dikatakan adalah muka baru dan orang muda iaitu P. Kamalanathan iaitu Ketua Penerangan MIC. Jika calon muda dan muka baru menjadi calon BN sekurang-kurang ia boleh memberi anjakan buat BN dalam memenuhi inspirasi rakyat. jika calon ‘lama’ dikekalkan maka senanglah pihak PR ‘membelasah’ BN dan memainkan isu-isu terutamanya peralihan kuasa dalam MIC.

PR dilihat masih merahsiakan calon mereka walaupun menyatakan bahawa dari 12 nama calon yang dikemukakan oleh sekutunya hanya 5 nama disenarai pendek. Namun ada desas-desus menyatakan bahawa PR akan meletakkan calon Melayu samada dari Pas atau PKR dan bukannya calon berbangsa India atau Cina. Mereka berpendapat 70% undi kaum Cina dalam gengaman mereka, 40% undi kaum India dan 50% undi kaum Melayu. Jadi untuk mendapatkan undi kaum Melayu sebanyak atau lebih 50% maka calon-calon yang bakal bertanding adalah calon kaum Melayu dan kemungkinan calon tersebut juga adalah Adun ataupun Adun yang memegang jawatan Exco dalam kerajaan negeri.

Antara nama yang menjadi sebut dan dilihat mampu menarik sokongan para pengundi terutama orang Melayu ialah Datuk Ismail Kamus yang juga pernah berlawan dengan G.Palanivel tapi kalah. Kekuatan Datuk Ismail Kamus boleh diambil kira kerana pengaruh beliau dikalangan masyarakat dan sokongan jentera kerajaan negeri mampu memberi kekuatan kepada beliau. Namun ada juga yang mencadangkan supaya Datuk Hassan Ali bertanding merebut kerusi Parlimen tersebut memandangkan pengaruh dan sokongan lebih baik dikalangan orang-orang Melayu dan jawatan Exco yang dipegang oleh beliau. Namun nama Hassan Ali dikatakan dibantah keras oleh golongan yang ‘tidak seteru’ dengannya. Mereka ini membantah dan dikatakan jika Hassan Ali menjadi calon, mereka akan memulaukan pilihan raya tersebut.

Dikatakan di peringkat akar umbi inginkan pemimpin dari Pas seperti Ismail Kamus dan Hassan Ali, tetapi pihak PKR pula dikatakan membantah keras kerana kerusi tersebut atau kouta mereka. Alasan untuk mengekalkan calon dari PKR adalah kerana usaha untuk menaikkan kembali imej Anwar di mata penyokong PKR dan rakyat akibat pendedahan dan pembongkaran pembohongan Anwar di telanjangkan oleh bekas pemimpin PKR sendiri.

Dengan kata lain PR juga akan ‘akur’ dengan suara sahabat utama mereka Dap untuk meletakan calon yang sesuai. Yang pasti calon mereka bukan dari Dap atau PKR yang berbangsa India dan Cina tetapi calonnya adalah dari kaum Melayu tetapi dicalonkan atas restu dari Dap untuk memecahkan undi Melayu.

Bagi BN pula, kemenangan tipis PKR 198 undi pada PRU 2008, menguasai ketiga-tiga kerusi Dun dan peningkatan sokongan rakyat ke atas pentadbiran Najib tidak boleh dijadikan ukuran bahawa PRK Hulu Selangor akan memihak kepada BN. Kerana pemilihan calon juga adalah penentu kepada kemenangan sesebuah parti kerana pada PRU 2008 lalu jika diamati undi rosak lebih besar dari dari jumlah beza undi yang dimenangi oleh bekas calon PKR. Secara logiknya undi rosak itu menunjukkan bahawa pengundi mungkin inginkan sesuatu pembaharuan dalam BN. Jadi jika BN tersalah pilih calon Tsunami 2008 akan terus melanda sebaliknya jika pemimpin yang dipilih adalah berjiwa rakyat sudah pasti BN akan menambah kerusinya di Parlimen.

Akok@Baulu