Monday, 8 June 2009

KERAJAAN PERPADUAN : Antara Realiti dan Impian

Hasrat Kerajaan pimpinan Najib untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan, iaitu gabungan antara BN dan PR nampaknya tidak menampakkan bayangan akan wujudnya persefahaman untuk kearah tersebut. Gagasan untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan nampaknya menerima pelbagai pandangan dan tidak ketinggalan kritikan sinis oleh PR. Terdapat beberapa dakwaan dengan nada sindiran dilontarkan oleh pemimpin PR berhubung hasrat murni untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bagi menyelesaikan masalah negara.

Bagi BN hasrat murni yang diilhamkan itu boleh direalisasikan bila-bila masa saja tapi bagi Pas, ia perlu diperinci. Tapi lebih menyedihkan apabila ada segilintir pihak dalam Pas secara terangan menentang hasrat menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Dalam satu kenyataan yang di buat oleh Husam Musa, beliau mendakwa pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipertahankan oleh Presiden Pas tidak menguntungkan Pas. Kerana beliau mendakwa tidak mahu Pas menjadi ‘kuda tunggangan’ UMNO. (Utusan Malaysia 6 Jun 2009)

Katanya lagi, beliau khuatir jika pembahagian kerusi di antara Pas dan UMNO kemungkinan akan wujud ketidakadilan. Belum pun kedua-dua parti duduk berbincang, sudah ada kata-kata atau cubaan yang memperkecilkan hasrat murni tersebut. Jika beliau mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak menguntungkan Pas kerana Pas akan menjadi ‘kuda tunggangan’, cubalah beliau fikirkan adakah Pas di Perak dan Selangor tidak ‘ditunggang’? tapi lebih elok dikatakan telah ‘dikeldaikan’ oleh DAP.

Apa yang Pas perolehi hasil dari penat lelah dan pengorbanan pemimpin Pas dan ahli-ahlinya di atas kejayaan PR di Perak dan Selangor? Walaupun beberapa pemimpin Pas ditempatkan dalam Exco, sejauhmana suara mereka didengar dalam memperjuang dan memberi keuntungan pada penyokong Pas. Negeri Selangor semasa di bawah BN di gelar oleh pemimpin Pas sebagai ‘Darul Babi’ dan ‘negeri pengeluar arak’ namun sehingga kini suara perjuangan Pas untuk merealisasikan hasratnya untuk mengeluarkan Selangor dari seperti yang dinyatakan tidak ‘dilayan’. Jadi ia seumpama senjata makan tuan.

Begitu juga di Perak, walaupun diberikan jawatan sebagai Menteri Besar tapi ia tidak memberi keuntungan buat penyokong PAS. Sebaliknya penyokong DAP mendapat durian runtuh apabila mendapat pemilikan tanah sehingga 999 tahun hasil dari kebijaksanaan mantan MB Perak dari PAS. Mungkin Husam bangga dengan apa yang telah di buat oleh Pas Perak, sebab itulah dia rasa lebih senang untuk bekerjasama dengan Dap dan PKR. Husam sebenarnya mempunyai agenda tertentu, kerana belum apa-apa beliau sudah memikirkan tentang pembahagian kerusi jika Kerajaan Perpaduan dibentuk kelak.

Kenapa beliau kemaruk dengan pembahagian kerusi? Keputusan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Pas juga jelas menunjukkan ahli Pas menolak beliau untuk diangkat menjadi Timbalan Presiden. Mungkin ahli-ahli Pas sedar kerana perjuangan Husam dilihat kearah yang bertentangan dengan golongan veteran yang inginkan pakatan perpaduan.

Pendirian Husam turut mendapat syak wasangka dan lebih menyedihkan apabila seorang perwakilan dari Kelantan mengeluarkan kenyataan yang tidak mencerminkan ciri-ciri kepimpinan ulamak dalam Pas. Petikan dalam Harakahonline, 6 Jun 2009 menyebut “Perwakilan Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah mengingatkan pimpinan PAS agar tidak menjalinkan hubungan dengan Umno kerana dengan berbuat demikian ia boleh membuatkan orang Melayu terus sesat kerana bagi Umno, politik suku dan agama suku dan ia bukan satu ajaran Nabi Muhammad s.a.w.”

Inilah akibatnya jika seseorang bercakap dahulu sebelum berfikir atau berfikir menggunakan ‘kepala lutut’. Kenapa seseorang yang kononnya memperjuangkan agama Islam sanggup menyatakan sedemikian. Inikah ajaran yang sentiasa diajar oleh pemimpin-pemimpin Pas? Jika inilah ajarannnya, Paslah yang sebenarnya telah menyesatkan orang Melayu. Kerana bagi perjuangan Pas sekarang, berpelukan dan bercium pipi dengan pemimpin Dap sudah dihalalkan berbanding sebelum ini. Bagi Pas juga, Dap tidak akan menyesatkan penyokong Pas kerana ahli-ahli Dap sudah pandai membaca ayat-ayat suci Al-quran dan sudah sanggup pakai baju Pas dalam apa jua program.

Apa yang dibuat oleh Dap pada hari ini sudah cukup menyakinkan Pas akan ‘kesucian’ hati Dap untuk mendalami Islam dan sebab itulah Ketua Menteri P. Pinang akan memeluk Islam tapi bila bapanya meninggal dunia. Jadi hari ini, semua pemimpin dan penyokong Pas menanti dengan penuh harapan dan dengan perasaan bangga di atas hasrat murni Ketua Menteri P.Pinang tersebut.

Oleh kerana perjuangan Dap dan PKR yang arahnya adalah arah kebenaran, maka bertekadlah pemimpin dan penyokong Pas mempertahankan dan memperjuangkan pemberian tanah 999 tahun buat ahli Dap, mengekalkan Selangor menjadi negeri ‘Darul babi’ dan ‘negeri pengeluar arak’, isu Elizabeth dan sebagainya. Inilah yang mungkin dimaksudkan oleh Husam dan Dato’ Wan, keuntungan bekerjasama dengan Dap dan PKR serta perjuangan Pas yang disuluh oleh Dap mengeluarkan orang Melayu dari kesesatan.

Jika benar Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Najib dan adanya keyakinan dari Presiden Pas untuk merealisasikan hasrat ini, ia akan menguntungkan semua pihak khasnya negara. Cuma jika seseorang itu mempunyai agenda atau niat tertentu sudah tentu sukar bagi mereka untuk menerima cadangan ini. Kerana mereka-mereka ini takut akan kehilangan kuasa dan pengaruhnya dalam parti.


Akok@Baulu

Friday, 5 June 2009

PAS TIDAK PERLU LAGI BERSATU DENGAN UMNO.




Oleh Munsyhi Abdullah

Pas berada di persimpangan jalan dalam menentukan identitinya. Sebarang perubahan yang drastik dalam pucuk kepimpinannya akan membawa parti ini kepada kecairan identi asalnya yang akan memberi kesan kepada masa depannya,samada baik ataupun buruk..

Dalam hal ini kita dapat melihat terdapat golongan yang menyedari hakikat ini dan cuba mengimbangi antara pihak yang radikal yang mahukan kepada perubahan segera dan juga golongan ulama yang bimbangkan Pas akan kehilangan pengaruh akar umbinya.

Dalam hal ini ramai pemerhati politik yang nampak bahawa Naib Presiden Pas Husam melihat kepentingannya merapatkan diri dengan Anwar Ibrahim bagi membawa perubahan cepat kepada Pas untuk membolehkan PAS menggantikan UMNO sebagai kuasa Melayu.

Beliau mengimbangi popularitinya di kalangan ulama dengan mendapat sokongan moral dari Murshidul Am Pas Nik Aziz yang pandai bermain politik untuk mengekalkan pengaruh dan kedudukannya terhormat dan tertinggi dalam parti sehingga keakhir hayatnya.

Bagaimana pun toleransi Nik Aziz terhadap cabaran kepada fahaman Islamnya yang jumud dan sempit telah mencairkan identi Pas di kalangan masyarakat umum berkawan rapat dengan Anwar Ibrahim dan orang kuat Anwar Kamaruddin Jaafar menjadi Setiusaha Agung Pas.

Pas tidak lagi dikenali sebagai gulongan yang menentang amalan amalan maksiat dan juga hiburan dengan mengikut sentimen,secara keras dan melulu. Pas telah hilang identitinya apabila menganggap pendedahan wakil wanita PKR di DUN Selangor berbogel sebagai hak individu sekalipun sebenarnya sesaorang yang telah menjadi terkenal sebagai seniman,ahli politik,ahli sukan dan sebagainya yang bersifat selebriti adalah hak orang ramai.

Dulu penyokong penyokong Pas mengadakan tunjuk perasaan terhadap hiburan hingga kepada mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Istana dan juga di kolej dan universiti tetapi sekarang Pas telah dilihat bersama penghibur yang merayakan kemenangan sehingga kepada peringkat mendedahkan punggong.

Pas berada dalam dilemma. Jika meneruskan kejumudan Nik Aziz maka Pas juga akan ketinggalan zaman dan akan terlihat sebagai parti yang mundur. Maka itu penyesuaian terpaksa dibuat untuk menarik perhatian golongan muda dan juga orang bukan Melayu yang dalam keadaan ghairah memerlukan Pas untuk mengimbangi kuasa mereka di negara ini.

Pas juga telah melihat kemungkinan untuk ianya menggantikan UMNO bagi pimpinan Melayu di negara ini. Untuk itu ia bersedia mencairkan lagi identitinya yang keras dengan menampakkan sikap yang rasional,toleransi dan lebih terbuka sehingga kepada peringkat memberikan tanah kepada orang Cina.

Jika Perdana Menteri Yang pertama Tunku Abdul Rahman boleh memberikan tolak ansur kepada bukan Melayu sehingga kebimbangan Melayu mencetuskan 13 Mei maka kenapa Pas harus dilihat bersalah dalam menggunakan taktik dan strateji yang sama. Sekalipun Tunku akhirnya ditolak oleh Melayu kerana sikap ini tetapi asas pegangan Perikatan kepada politik berbilang kaum telah menjadi dasar yang diterima untuk permainan semua parti politik di negara ini.Inilah juga permainan politik Pas dan juga PKR sekarang.

Pas mempunyai pendekatan yang lebih luas dalam konsep berbilang kaumnya kerana partinya berasaskan kepada Islam yang bersifat Universal dan tidak bersifat kemelayuan. Dakwaan Pas bahawa partinya boleh menerima bukan Melayu sebagai Perdana Menteri telah sedikit sebanyak dapat mengelirukan bukan Melayu yang berada dalam keadaan dendam dan marah.

Sebenarnya dasar ini sama sahaja dengan UMNO tetapi orang bukan Melayu telah menjadi buta dalam keadaan prejudis. Untuk menjadi Perdana sesaorang itu mesti beragama Islam di negara ini. PAS tidak memberitahu bukan Melayu” awak mesti jadi Islam dulu sebelum menjadi Perdana Menteri” tetapi dia hanya beritahu bukan Melayu boleh jadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun harus diingatkan bahawa akar umbi populariti Pas adalah masyarakat kampung yang tertarik dengan fahaman Islam yang sempit dan jumud yang mahukan pengharaman hiburan, arak, judi dan sebagainya. Pas selama ini secucuk dengan hasrat golongan fanatik dan pelampau. Jika tindakannya terlalu drastik dalam menukarkan identinya kepada liberalisme maka pastinya ia akan hilang sokongan dari rakyat atau akar umbi.

Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa membuat penafian bahawa beliau berada di pihak yang mahukan kepada penyatuan dengan UMNO dan menegaskan bahawa ini adalah pendirian Pas. “Kita akan pertahankan parti ini daripada sebarang unsur yang cuba merobok dan meganggu keutuhan jemaah kita”katanya.

Sesungguhnya Pas tidak perlu menyertai UMNO kerana yang akan MENGUMNOKAN Pas ialah Anwar Ibrahim menerusi pengaruh kepimpinan dalam Pakatan Pembangkang. Sekurangnya kurangnya Pas telah menyokong seorang DUN wanita berbogel sebagai haknya tetapi ini dilihat oleh masyarakat sebagai hak Pas untuk menjaga hati PKR dan Anwar Ibrahim.

Demikianlah interaksi dan dialog antara manusia yang bermusuh dan berseliseh faham akan dapat membetulkan persepsi. Pas sekarang lebih terbuka dan lebih banyak tolak ansurnya dalam usaha untuk menyaingi UMNO dan menggantikan UMNO dan untuk itu banyak memakai identiti UMNO termasuk menerima wang rasuah yang dibawa masuk ke dalam Pas oleh Kamaruddin Jaafar.

Bila identiti Pas sudah sama dengan UMNO maka apakah ia akan terus mendapat dukongan dari akar umbinya di kampung-kampung?

Semuga golongan ulama dalam Pas lebih berhati hati dalam mengorbankan identiti Pas. Biarlah Nik Aziz seorang sahaja yang mati kerana menjual maruah dan identiti Pas tetapi Pas jangan mati kerana maruahnya di nodai..

Wednesday, 3 June 2009

STADIUM RUNTUH:PEMBANGKANG MENJUAL CERITA SERIBU GAYA




Ketika negara masih lagi dikejutkan dengan kejadian runtuhan bangunan Supermarket Jaya dan belumpun selesai kerja pembersihan tapak runtuhan bagunan yang telah mengorbankan 3 nyawa di Petaling Jaya itu, Kini kita dikejutkan lagi dengan kejadian Runtuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak,Trengganu.

Maka bermulah seribu satu cerita dan dengan pelbagai dakwaan oleh ‘syaitan bisu’ bahawa kejadian tersebut adalah berpunca daripada ‘ketirisan’ atau ‘kebocoran’ oleh pemerintah terbabit atau dengan lebih menarik lagi kejadian ini berpunca dari kesilapan ahli politik.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), melalui Pengarahnya turut sama turun padang untuk meninjau kawasan kejadian bagi mengumpul maklumat untuk mencari kebenaran. Tindakan SPRM ini seolah mengiakan bahawa berlaku penyelewengan dalam pembangunan stadium terbabit. Keputusan dan tindakan hari ini oleh penjawat awam juga banyak dipengaruhi oleh apa saja yang berlegar di media maya.

Bagi ‘syaitan bisu’ apabila munculnya kejadian begini , maka seperti terdapat tangan hitam yang menuding kepada individu tertentu semata-mata dan dengan kata lain ahli politik?. Bagaimana dengan penjawat awam yang diamanahkan melaksanakan tangungjawab dalam menguruskan sesuatu projek untuk bahagian dan jabatan yang dipertangungjawabkan?

Punca kejadian masih dalam siasatan , tetapi ‘syaitan bisu’ telah berjaya meletakkan kesalahan kepada pihak tertentu dan mendakwa bahawa keruntuhan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Komplesks Sukan Negeri di Gong Badak merupakan kegagalan parti politik yang memerintah di negeri terbabit. Persoalannya apakah setiap kejadian hari ini merupakan kesalahan politik?.
Tidak mustahil satu hari nanti, akibat dari hasutan dan pemainan busuk ‘syaitan bisu’ ini jika rakyat terlibat dengan kemalangan jalan raya mereka akan menyalahkan Kerajaan BN kerana gagal menyediakan jalan yang baik. Anak mereka tercekik duit syiling juga akan mereka salahkan kerajaan negeri terbabit kerana mengeluarkan duit syiling yang kecil. Hakikatnya kejadian sebegini boleh terjadi dari pelbagai punca dan sebab. Antaranya kelemahan struktur pembinaan dimana struktur binaan yang menampung bumbung stadium tersebut sememangnya lemah disebabkan oleh bahan binaan atau beban yang ditangungnya.

Ia juga mungkin berlaku akibat kesilapan jurutera menilai beban yang ditangung dan pada keadaan ini jurutera juga boleh melakukan kesilapan dalam menilai beban mati yang ditanggung oleh bumbung stadium tersebut menjadikan ianya lemah dan gagal berfungsi dengan baik. Kelemahan bahan binaan terutama dalam pemilihan bahan binaan yang salah yang dicadangkan oleh arkitek/jurutera atau konsultan yang dilantik boleh menjadikan bumbung tersebut gagal berfungsi dengan baik, dan akhirnya runtuh.

Kemungkinan tempoh pembinaan yang cepat dan segera adalah antara punca dan faktor kelemahan struktur bangunan kerana stadium terbabit hendak digunakan untuk tujuan SUKMA 2008 dengan segera dan akhir sekali mungkin rekabentuk stadium terutamanya bumbung yang dikatakan antara yang pertama di Malaysia bumbungnya tidak menggunakan tiang.

Ia adalah rekaan oleh sekumpulan jurutera dan antara punca kegagalannya adalah kerana bumbung yang direkabentuk mengunakan bentuk bulan sabit itu tidak menggunakan tiang untuk menyokongnya dan kerana tidak mampu menahan beban struktur yang keterlaluan akhirnya bumbung tersungkur menyembah bumi.

Perlu diketahui bahawa kontraktor yang terlibat bukannya hanya melibatkan kontraktor dari Malaysia tetapi juga dari Korea. Kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin, TPM bahawa suatu badan bebas akan dilantik bagi mengenalpasti dan menyiasat punca sebenar kejadian. Semuanya perlu diperjelaskan kepada rakyat punca sebenar kejadian. Ia bertujuan menghindar pelbagai persoalan yang timbul dan menghilangkan persepsi bahawa inilah kesilapan pihak tertentu dalam Kerajaan Negeri dan bagi melenyapkan hasutan dan dakyah busuk ‘syaitan bisu’ yang bakal dijaja di Manik Urai nanti.

Akok@Baulu

Tuesday, 2 June 2009

APA LAGI MEREKA MAHU

Akhir-akhir ini beberapa isu yang dibangkitkan oleh beberapa individu membuatkan perasaan dan hati rakyat Malaysia terusik dan sedikit tercabar. Manakan tidak, apabila sesuatu isu yang dibangkitkan itu secara terangan telah menafikan hak dan perjuangan para pejuang negara yang bermandi darah semata-mata untuk membebaskan negara dari belengu penjajah.

Manakala ada pula pihak lain yang dilihat menyokong tindakan sesebuah organanisasi yang tidak diiktiraf dengan melakukan segala bentuk kekerasan untuk mencapai kejayaan. Kumpulan haram ini melancarkan pememberontakan dan telah membunuh begitu ramai rakyat tidak berdosa semata-mata untuk mencapai kuasa.

Sebenarnya ramai yang tertanya-tanya kenapa ada pihak cuba untuk ‘menguji’ kesabaran Kerajaan apabila mencadangkan supaya Kerajaan membenarkan Chin Peng, Ketua Parti Komunis Malaya yang telah mencederakan dan membunuh rakyat Malaysia yang tidak berdosa dan anggota keselamatan untuk di benarkan di bawa pulang. Terdapat juga rakyat Malaysia yang di lihat menyokong perjuangan Kumpulan Pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang menentang Kerajaan sah Sri Lanka.

Apakah tujuan kedua-dua pihak ini berbuat sedemikian? Adakah mereka bertindak atas dasar bangsa dan kulit? Atau ada strategi tertentu pihak-pihak ini yang mengintai akan kelemahan dan perpecahan yang sedang berlaku di kalangan bangsa Melayu?

Sejarah telah membuktikan, bagaimana Chin Peng dan rakan-rakan dalam PKM menggunakan kekerasan dan telah membunuh rakyat tanpa belas kasihan. Bukan saja bangsa Melayu, bangsa India dan Cina juga telah menjadi mangsa kekejaman PKM jika tidak menuruti kata-kata dan kemahuan mereka. Ideologi yang mereka cuba terapkan tidak mendapat tempat di hati rakyat dan mereka juga sedar bahawa rakyat menolak ideologi komunisme. Tindakan kekerasan telah mereka gunakan seperti merampas makanan dan harta benda, mendera, menculik dan memperkosa kaum wanita dan akhirnya mereka sanggup membunuh tanpa belas ihsan.

Tidakkah cadangan dan hasrat mereka yang ingin bawa kembali Chin Peng tidak belajar dari sejarah? Ataupun kenyataan yang kononnya hasrat untuk membawa Chin Peng kembali ke Malaysia berdasarkan ‘kemanusiaan’ hanyalah satu helah untuk memecah belahkan rakyat Malaysia. Begitu juga dengan tindakan kumpulan World Tamil Relief (WTR) yang di lihat secara terang-terangan telah menzahirkan sokongan kepada perjuangan LTTE. Kumpulan yang menggelarkan diri mereka WTR rata-rata mereka yang berpelajaran dan terlibat dalam politik dan tahu akan kekejaman yang dillakukan oleh LTTE kepada penduduk awam di Sri Lanka dan India.

Dengan kata lain, mereka semua berpelajaran, tidak terlintas pada akal yang waras sebab-sebab pemimpin politik dalam negara kita turut menyokong perjuangan LTTE. Adakah mereka juga bercita-cita untuk bertindak sedemikian? LTTE menggunakan kekerasan untuk menghapuskan musuh mereka terutama yang beragama Islam. Pentadbiran dan politik Sri Lanka sebenarnya di kuasai oleh orang Islam. Sebab itulah kebencian LTTE kepada orang Islam semakin meluap-luap dan ia mula mendapat sokongan dari beberapa pemimpin politik dari Malaysia.

Adakah pemimpin politik yang menyertai WTR juga mempunyai hasrat dan niat seperti LTTE untuk mengangkat senjata dan menentang Kerajaan yang ada sekarang? Kalau dilihat pada situasi politik kita hari ini, timbul persoalan, adakah tindakan beberapa pemimpin politik ini sebenarnya cuba membawa masuk kembali ideologi komunisme dan kekerasan dalam masyarakat kita dengan menggunakan kekerasan dan pemberontakan untuk mengulingkan Kerajaan apabila tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara?

Mungkin ini juga boleh dijadikan satu petunjuk bagaimana kumpulan haram Hindraf telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang keras dan jika ia dilaksanakan ia mampu mengugat keamanan dan kestabilan negara. Di tambah lagi campurtangan dan hasutan dari pemimpin-pemimpin politik, sudah pasti ia boleh mengeruhkan lagi suasana aman dan kemakmuran yang kita nikmati sejak sekian lama.

Apakah yang mereka inginkan apabila bertindak mendesak Kerajaan supaya mengizinkan Chin Peng di bawak masuk ke Malaysia dan apakah motif dan tujuan kumpulan WTR secara terangan menyatakan sokongan mereka kepada LTTE? Belum cukup lagikah dengan kebebasan, kemakmuran, keamanan dan kekayaan yang diperolehi oleh mereka sepanjang berada di bumi Malaysia? Pernahkah mereka kebulur dan tidak bebas sepanjang berada di Bumi Malaysia?

Sepatutnya mereka bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan di atas apa yang mereka nikmati dan bukannya melakukan perkara yang menambahkan lagi bebanan kepada Kerajaan. Mungkin ada yang tersirat berhubung tindakan yang mereka lakukan kerana dalam masa yang sama mereka bangun bersama mendesak sesuatu di luar kewarasan kita.


Akok@Baulu