Monday 8 June 2009

KERAJAAN PERPADUAN : Antara Realiti dan Impian

Hasrat Kerajaan pimpinan Najib untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan, iaitu gabungan antara BN dan PR nampaknya tidak menampakkan bayangan akan wujudnya persefahaman untuk kearah tersebut. Gagasan untuk mewujudkan Kerajaan Perpaduan nampaknya menerima pelbagai pandangan dan tidak ketinggalan kritikan sinis oleh PR. Terdapat beberapa dakwaan dengan nada sindiran dilontarkan oleh pemimpin PR berhubung hasrat murni untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bagi menyelesaikan masalah negara.

Bagi BN hasrat murni yang diilhamkan itu boleh direalisasikan bila-bila masa saja tapi bagi Pas, ia perlu diperinci. Tapi lebih menyedihkan apabila ada segilintir pihak dalam Pas secara terangan menentang hasrat menubuhkan Kerajaan Perpaduan. Dalam satu kenyataan yang di buat oleh Husam Musa, beliau mendakwa pembentukan Kerajaan Perpaduan yang dipertahankan oleh Presiden Pas tidak menguntungkan Pas. Kerana beliau mendakwa tidak mahu Pas menjadi ‘kuda tunggangan’ UMNO. (Utusan Malaysia 6 Jun 2009)

Katanya lagi, beliau khuatir jika pembahagian kerusi di antara Pas dan UMNO kemungkinan akan wujud ketidakadilan. Belum pun kedua-dua parti duduk berbincang, sudah ada kata-kata atau cubaan yang memperkecilkan hasrat murni tersebut. Jika beliau mendakwa Kerajaan Perpaduan tidak menguntungkan Pas kerana Pas akan menjadi ‘kuda tunggangan’, cubalah beliau fikirkan adakah Pas di Perak dan Selangor tidak ‘ditunggang’? tapi lebih elok dikatakan telah ‘dikeldaikan’ oleh DAP.

Apa yang Pas perolehi hasil dari penat lelah dan pengorbanan pemimpin Pas dan ahli-ahlinya di atas kejayaan PR di Perak dan Selangor? Walaupun beberapa pemimpin Pas ditempatkan dalam Exco, sejauhmana suara mereka didengar dalam memperjuang dan memberi keuntungan pada penyokong Pas. Negeri Selangor semasa di bawah BN di gelar oleh pemimpin Pas sebagai ‘Darul Babi’ dan ‘negeri pengeluar arak’ namun sehingga kini suara perjuangan Pas untuk merealisasikan hasratnya untuk mengeluarkan Selangor dari seperti yang dinyatakan tidak ‘dilayan’. Jadi ia seumpama senjata makan tuan.

Begitu juga di Perak, walaupun diberikan jawatan sebagai Menteri Besar tapi ia tidak memberi keuntungan buat penyokong PAS. Sebaliknya penyokong DAP mendapat durian runtuh apabila mendapat pemilikan tanah sehingga 999 tahun hasil dari kebijaksanaan mantan MB Perak dari PAS. Mungkin Husam bangga dengan apa yang telah di buat oleh Pas Perak, sebab itulah dia rasa lebih senang untuk bekerjasama dengan Dap dan PKR. Husam sebenarnya mempunyai agenda tertentu, kerana belum apa-apa beliau sudah memikirkan tentang pembahagian kerusi jika Kerajaan Perpaduan dibentuk kelak.

Kenapa beliau kemaruk dengan pembahagian kerusi? Keputusan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi Pas juga jelas menunjukkan ahli Pas menolak beliau untuk diangkat menjadi Timbalan Presiden. Mungkin ahli-ahli Pas sedar kerana perjuangan Husam dilihat kearah yang bertentangan dengan golongan veteran yang inginkan pakatan perpaduan.

Pendirian Husam turut mendapat syak wasangka dan lebih menyedihkan apabila seorang perwakilan dari Kelantan mengeluarkan kenyataan yang tidak mencerminkan ciri-ciri kepimpinan ulamak dalam Pas. Petikan dalam Harakahonline, 6 Jun 2009 menyebut “Perwakilan Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah mengingatkan pimpinan PAS agar tidak menjalinkan hubungan dengan Umno kerana dengan berbuat demikian ia boleh membuatkan orang Melayu terus sesat kerana bagi Umno, politik suku dan agama suku dan ia bukan satu ajaran Nabi Muhammad s.a.w.”

Inilah akibatnya jika seseorang bercakap dahulu sebelum berfikir atau berfikir menggunakan ‘kepala lutut’. Kenapa seseorang yang kononnya memperjuangkan agama Islam sanggup menyatakan sedemikian. Inikah ajaran yang sentiasa diajar oleh pemimpin-pemimpin Pas? Jika inilah ajarannnya, Paslah yang sebenarnya telah menyesatkan orang Melayu. Kerana bagi perjuangan Pas sekarang, berpelukan dan bercium pipi dengan pemimpin Dap sudah dihalalkan berbanding sebelum ini. Bagi Pas juga, Dap tidak akan menyesatkan penyokong Pas kerana ahli-ahli Dap sudah pandai membaca ayat-ayat suci Al-quran dan sudah sanggup pakai baju Pas dalam apa jua program.

Apa yang dibuat oleh Dap pada hari ini sudah cukup menyakinkan Pas akan ‘kesucian’ hati Dap untuk mendalami Islam dan sebab itulah Ketua Menteri P. Pinang akan memeluk Islam tapi bila bapanya meninggal dunia. Jadi hari ini, semua pemimpin dan penyokong Pas menanti dengan penuh harapan dan dengan perasaan bangga di atas hasrat murni Ketua Menteri P.Pinang tersebut.

Oleh kerana perjuangan Dap dan PKR yang arahnya adalah arah kebenaran, maka bertekadlah pemimpin dan penyokong Pas mempertahankan dan memperjuangkan pemberian tanah 999 tahun buat ahli Dap, mengekalkan Selangor menjadi negeri ‘Darul babi’ dan ‘negeri pengeluar arak’, isu Elizabeth dan sebagainya. Inilah yang mungkin dimaksudkan oleh Husam dan Dato’ Wan, keuntungan bekerjasama dengan Dap dan PKR serta perjuangan Pas yang disuluh oleh Dap mengeluarkan orang Melayu dari kesesatan.

Jika benar Kerajaan Perpaduan yang diilhamkan oleh Najib dan adanya keyakinan dari Presiden Pas untuk merealisasikan hasrat ini, ia akan menguntungkan semua pihak khasnya negara. Cuma jika seseorang itu mempunyai agenda atau niat tertentu sudah tentu sukar bagi mereka untuk menerima cadangan ini. Kerana mereka-mereka ini takut akan kehilangan kuasa dan pengaruhnya dalam parti.


Akok@Baulu

No comments: