Thursday, 9 October 2008

Konsep kabur kebebasan akhbar

Lama tak dengar Mansor meluahkan pemikirannya. SEsekali muncul beliau berkat apula soal keebasan akhbar. Dalam era percambahan media baru ini, soal kebebasan media menjadi semakin penting. Ia menjadi semakin kabur atau semakin cerah, tergantung kepada perspektif mana. Jika berasaskan Liebling (1960), "Freedom of the press is guaranteed only to those who own one". Media baru memberikan suatu bentuk kebebasan yang tidak dapt pada media traditional....benarkah?

Oleh Mansor Puteh

SEMEMANGNYA perkara tentang apa yang dinamakan sebagai 'kebebasan akhbar' itu adalah pada dasarnya kabur, dan boleh dilihat dari bermacam segi dan sudut; ia terpulang kepada siapa kita dan kenapa kita tertarik dengannya dan mahu agar ia dapat diamalkan walaupun ramai masih kabur dengan apa sebenarnya yang mahu dilaksanakan akhirnya.

Lebih teruk mereka tidak pedulikan kalau tindakan mereka itu kalau berjaya boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara yang kini wujud atas dasar persefahaman sebab ia tidak mengambil kira banyak faktor yang tidak kurang penting. Ternyata sekali ia amat melekakan. Ia juga sebuah 'trend' antarabangsa terkini yang boleh menarik perhatian dan mengetengahkan tokoh yang boleh datang dari mana-mana untuk mengangkat 'tahap' mereka sebagai 'jaguh' atau 'aktivis'. Sebab ia tidak perlu penghayatan yang penuh tentang isu ini, hanya sekadar melaungkan slogan dan memegang sepanduk berbunyi 'Free the press' atau 'Bebaskan Akhbar'.

Untuk ahli dan pemimpin parti politik pembangkang, ia boleh menambahkan satu lagi slogan yang boleh dilaungkan bila-bila selain daripada slogan-slogan yang sedia ada bagi tujuan menggugat suara keramat pengundi bertujuan untuk menggegarkan kedudukan kerajaan yang dipilih mereka kini. Malah ramai yang hanya terikut-ikut dengan tuntutan ini yang merupakan sebuah slogan dari satu tuntutan sebenar atau pergerakan pembaharuan. Oleh sebab itu tuntutan agar akhbar di Malaysia bebas juga kabur. Pada ramai orang, ia bererti syarikat penerbitan akhbar itu tidak dikuasai oleh mana-mana parti politik dan wartawan boleh menulis apa yang mereka rasakan perlu, tanpa dikenakan sebarang tindakan polis atau mahkamah.

Dari segi ini, di negara sendiri semua parti politik tidak berhenti mahu dapat permit penerbitan menerbit akhbar harian dan mingguan mereka. Kalau boleh mereka juga mahu lancarkan stesen televisyen atau radio sendiri. Mereka juga tidak tunjukkan kesungguhan untuk 'membebaskan' pegangan mereka terhadap akhbar dan penerbitan lain yang mereka telah terbit termasuk syarikat penerbitan video dan cereka supaya mereka tidak terlibat dengan penerbitannya.

Lebih teruk daripada itu, akhbar penerbitan mereka tidak juga membuka ruang untuk pandangan berbeza dari pihak yang menentang mereka. Ini yang menjadi amat ironis sekali sedangkan merekalah sepatutnya menunjukkan sikap terbuka dan mengamalkan 'kebebasan akhbar' supaya masyarakat umum dapat apa yang dimaksudkan itu dengan lebih jelas. Tetapi ini tidak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat mahupun sampai bila-bila. Mereka hanya mahu pihak kerajaan 'membebaskan akhbar' mereka, sedangkan mereka sendiri tidak rela membebaskan akhbar sendiri. Oleh sebab itu ramai orang menjadi keliru. Apa sebenarnya yang mahu dituntut oleh penyokong 'kebebasan akhbar' ini? Siapa pula yang mempengaruhi mereka? Amerika.

Mereka anggap Amerika adalah negara yang paling baik yang boleh dijadikan contoh yang mengamalkan kebebasan akhbar. Tetapi mereka tidak sedar 'kebebasan akhbar' di negara tersebut hanyalah pada luarnya. Ia tidak bebas kalau dilihat secara terperinci, apabila disedari akan pihak belakang yang menguasainya, dan merekalah yang menentukan agenda untuk setiap surat khabar maupun stesen televisyen.

Malangnya Amerika bukan negara yang paling baik dalam 'kebebasan akhbar'. Malah tidak ada negara yang boleh dianggap baik dalam hal ini. Sebabnya ialah setiap negara mempunyai sebab tersendiri akhbar dan ia terpulang kepada sistem yang diamalkan di negara tersebut. Tentu sekali ia boleh dijadikan satu polemik yang tidak berkesudahan. Dan ia tidak tergulung dalam bidang kewartawanan tetapi bidang-bidang lain, khususnya politik. Ada beberapa sebab kenapa tuntutan tentang 'kebebasan akhbar' ini boleh dianggap sebagai satu isu yang sudah basi di Malaysia sekarang. Ia basi sebab sudah dibincang dan dicincang oleh ramai pihak sehingga hilang sebab kenapa ia dikatakan perlu untuk kemajuan bangsa dan pembangunan negara.

Keliru

Pihak yang mahukan 'kebebasan akhbar' itu langsung tidak mengambil kira akan perkara lain, ini yang tidak wujud di negara Barat tetapi di Malaysia kerana masih terganggu dengan perhubungan kaum yang tidak menentu dan boleh bertukar menjadi lebih keliru serta meragukan bila-bila masa. Tidaklah mencemaskan kalau kita berkata bahawa keadaan dalam negara sekarang tidak menentu dengan perkembangan yang berlaku, khususnya dengan kewujudan media alternatif yang dilihat sebagai lebih 'bebas' walaupun ia masih tertakluk kepada kerenah dan sikap pengendali laman-laman web dan blog masing- masing. Sebenarnya apa yang membuat ramai orang yang tersilap dengan perkara ini kerana mereka melihatnya sebagai satu perkara yang tersendiri.

Ia tidak tersendiri. Ia terbabit dan bersangkut-paut dengan perkara lain yang tidak kurang pentingnya. Kalau mereka yang berminat dengan perkara 'kebebasan akhbar' ini dapat mengambil kira perkara-perkara yang akan disebutkan kemudian sudah pasti mereka sendiri akan dapat kesedaran yang berguna agar pandangan mereka terhadap 'kebebasan akhbar' menjadi lebih bermakna. Perkara yang pertama ialah ia berkait dengan hak asasi manusia atau 'human rights'. Tetapi hak asasi manusia ini juga tidak wujud dengan tersendiri; ia berkait dengan demokrasi, atau suara ramai atau suara keramat -- pihak majoriti. Malah dalam sistem demokrasi, pendapat umum atau suara terbanyak itu lebih mutlak. Kalau tidak kenapa mesti diadakan pilihan raya yang tidak lain bertujuan mendapatkan suara ramai sebagai suara keramat. Untuk umat Islam sistem demokrasi ini juga tidak lengkap sebab keputusan dan hasrat boleh dibuat tanpa mendapat sokongan dari nilai-nilai agama. Ia berbeza berbanding masyarakat di negara yang mengamalkan sistem sekular yang tidak ambil kira nilai agama. Jadi apa yang boleh diamalkan di negara-negara tersebut tidak tertakluk kepada tuntutan mana-mana agama. Dan di sini di mana terletak perbezaan utama di antara apa yang dikatakan 'kebebasan akhbar' yang mahu dituntut di Malaysia dan dengan di negara-negara lain yang mengamalkan sistem sekular. Sedar atau tidak, ramai mereka yang mahu menuntut 'kebebasan akhbar' di Malaysia sebenarnya tidak mengambil kira perkara-perkara tersebut selain daripada 'kebebasan' itu sahaja yang pada mereka tidak terkait dengan perkara-perkara lain. Di sini juga terletak silap mereka dan tuntutan mereka itu tidak dapat diterima langsung. Malah 'kebebasan akhbar' seperti yang diamalkan di negara bukan Islam dan di Barat di mana ia dikatakan telah mula dilaung dan diamalkan tidak sempurna; ia tertakluk kepada keadaan.

Walaupun akhbar di negara-negara tersebut dikatakan bebas tetapi 'kebebasan' ini ada hadnya iaitu dalam keadaan-keadaan tertentu dan apabila negara mereka itu terbabit dengan peperangan dan propaganda mahu menjatuhkan negara lain, yang mereka anggap sebagai musuh. Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang mengamalkan kebebasan akhbar, sama seperti Singapura, dengan mengambil perkara-perkara tersebut.

Jenis akhbar yang ada di negara adalah juga yang dimahukan oleh masyarakat majmuk dan umum, seperti yang telah ditentukan dalam pilihan raya.

No comments: