Friday, 31 October 2008

Kenapa The Star tidak siarkan kecaman Jamaluddin terhadap pembangkang?

DALAM terbitan 24 Oktober, akhbar Inggeris The Star yang nyaring memperjuang dan mempertahankan kebebasan media dan menentang ISA, tidak menyiarkan sepatah pun ucapan anggota Parlimen BN Rompin Datuk Seri Jamaluddin Jarjis yang mengecam parti parti pembangkang kerana memusuhi akhbar dengan tindakan memboikot, menyaman dan sebagainya.

Saya tidak tahu sama ada akhbar perdana berbahasa Cina juga turut bersikap demikian.

Jamaluddin telah mendedahkan tindakan saman Ahli Parlimen Seputeh (DAP) Teresa Kok terhadap akhbar Utusan Malaysia sebanyak RM30 juta dan diikuti dengan saman RM100 juta terhadap akhbar yang sama kerana penyiaran cerpen oleh Chamil Wariya yang dianggap ditujukan kepadanya..

Sementara itu Ahli Parlimen Bukit Gelugor ( DAP) Karpal Singh pula telah menyaman Utusan Malaysia RM10 juta sekalipun Utusan telah meminta maaf.

Kerajaan pembangkang di Selangor dan Perak pula memboikot Utusan Malaysia dan kerajaan Kelantan memboikot Berita Harian.

Tindakan yang diambil oleh pemimpin-pemimpin DAP terhadap Utusan adalah benar benar mengikuti jejak langkah Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew yang menutup mulut pembangkang dan media di Singapura dan juga di luar negaranya termasuk Malaysia dengan tindakan saman yang angka kosnya menggerunkan

Utusan Malaysia dan The Star sendiri pernah menjadi mangsa saman Kuan Yew dan membayar kepadanya beratus ribu ringgit. Ini berlaku semasa Singapura dalam Malaysia dan sesudah Singapura keluar dari Malaysia.

Tidak mengejutkan DAP mengikuti langkah ini kerana ia adalah parti yang dilahirkan oleh PAP bagi mewarisi perjuangan Malaysian Malaysia di Malaysia.

Parti-parti pembangkang melakukan ini kerana mereka percaya bahawa akhbar arus perdana tetap berpengaruh dan terus dibaca oleh rakyat walaupun mereka memburukannya sebagai suara kerajaan, tidak bebas, bohong, tidak berkredebiliti dan sebagainya.

Adalah hak parti pembangkang untuk menjalankan tindakan itu, tetapi rakyat yang berfikiran rasional dapat membaca tindakan ini sebagai amaran awal tentang taraf kebebasan yang akan dinikmati rakyat apabila parti parti pembangkang memerintah Malaysia kelak..

Tidak boleh dinafikan banyak orang yang tidak memahami etika kewartawanan dan hak awam dari segi undang-undang yang mengawal kebebasan akhbar arus perdana.Tindakan undang-undang oleh parti- parti pembangkang terhadap akhbar adalah menjadi bukti betapa akhbar senantiasa terkawal dan tidak dapat bebas dalam penyiaran dan penerbitan mereka setiap hari terutama dalam menyiarkan bahan- bahan yang bersifat politik.

Pengendali akhbar `nyamuk' parti-parti pembangkang dan juga akhbar mingguan atau bulanan yang tidak diterbitkan secara tetap dan media siber tidak menghadapi ancaman ini kerana orang ramai tidak menganggap mereka penting dan berkesan dan tidak berpengaruh (walaupun sebenarnya mereka berkesan) kerana tidak diterbitkan oleh institusi perniagaan dan perusahaan yang gagah, maju dan lama.

Kebanyakan akhbar perdana adalah berfungsi secara self-regulated, mengadakan penapisan penyiaran dengan ketat setiap hari bagi semua bahan penyiaran. Mereka bersikap demikian bukan kerana takut kepada tindakan dari kerajaan tetapi yang lebih ditakuti oleh mereka ialah jika terlepas sesuatu penyiaran yang membolehkan pihak orang awam mengambil tindakan saman malu dan sebagainya yang melibatkan kewangan syarikat mereka.

Inilah yang disedari oleh pemerintah Singapura yang cekap dan bijak yang mempunai rekod tidak pernah kalah dalam menyaman akkhar dan mingguan terkemuka luar. Singapura digeruni oleh media luar negara kerana menggunakan senjata hit the pocket.

Sebenarnya di Malaysia parti-parti pembangkang dan akhbar perdana tidak menghadapi ancaman udang-undang seperti di Singapura (sehinggga ini tidak diketahui apakah keputusan kerajaan Malaysia terhadap suara Parti Keadilan yang mendakwa Ketua Polis Negara lumpuh kerana serangan jantung).

Ancaman besar yang menakutkan akhbar di Malaysia ialah wabak saman dari Singapura yang dibawa oleh parti pembangkang sendiri, artis, individu dan syarikat-syarikat yang tindakan undang-undang mereka boleh membengkrapkan akhbar.

Tindakan ini tidak sahaja menutup kebebasan bersuara tetapi boleh membunuh industri akhbar, boleh menghapuskan para wartawan, melenyapkan bukan sahaja hak wartawan untuk menulis tetapi juga untuk bernafas, makan dan pakai setiap hari. Ia juga melibatkan pegawai dan kakitangan di bahagian pengeluaran dan pengurusan.

Bercakap tenang kebebasan akhbar adalah sesuatu yang ideal tetapi hak untuk hidup bagi setiap manusia adalah lebih mahal daripada kebebasan yang bersifat idealisma..

Semua akhbar dan wartawan di Malaysia menyedari hakikat bahaya ini tetapi mereka tidak bersatu dalam menentangnya. Ini tergambar apabila Utusan menghadapi ancaman itu, maka jelas akhbar Inggeris yang selama ini memperjuangkan kebebasan media tidak menunjukan semangat setiakawan.

Ini berbanding dengan setiakawan yang ditunjukan kepada sebuah akhbar Cina sehingga menjadikan wartawannya yang terlibat tahanan sehari ISA sebagai pejuang jihad..

The Star sebagai akhbar yang dipunyai oleh sebuah parti komponen Barisan Nasional sewajarnya memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia kenapa ia langsung tidak menyiarkan kecaman Jamaluddin Jarjis terhadap pembangkang yang menggugat kebebasan akhbar dengan saman beratus juta ringgit.

Sebenarnya sikap akhbar ini adalah membuktikan bahawa ia sendiri tidak bebas.Ia tertakluk kepada ideologi Malaysian Malaysia, bersikap prejudis terhadap Utusan sebagai suara orang Melayu dan Islam, berkongsi dengan pandangan dan pemikiran DAP.

Dengan berselindung di sebalik parti tertentu, akhbar ini telah sekian lama memupuk perasaaan prejudis, syak wasangka dan juga kebencian bukan Melayu terhadap kerajaan dengan berbagai-bagai cara yang tidak dapat dibaca oleh pegawai-pegawai kerajaan yang bertanggungawab tapi lemah dan oleh ahli parti BN yang tidak sensitif. .

Sesungguhnya akhbar ini telah berjaya besar dalam mengelirukan masyarakat bukan Melayu untuk menunjukan perjuangan orang Melayu bagi mempertahankan hak mereka dari segi perlembagaan sebagai rasis dan perjuangan bukan Melayu yang di luar perlembagaan dengan pelbagai provokasi terhadap orang Melayu adalah sebagai hak mereka.

Provokasi yang terkini ialah penggunaan tulisan Cina dan Tamil bagi nama jalan di Pulau Pinang.

Dengan tidak menyiarkan langsung ucapan Jamaluddin yang membidas pembangkang kerana tidak mempertahankan prinsip berkaitan dengan kebebasan akhbar dan blog adalah membuktikan bahawa akhhar ini mempunyai agenda yang besar untuk suatu tugas reformasi yang membahayakan kepentingan dasar nasional.

Sikap wartawan-wartawan Malaysia yang tidak menunjukan semangat setiakawan dalam menghadapi ancaman sebenar bererti mereka sedang membantu untuk menegakkan sebuah kerajaan authoritarian yang kelak akan membenamkan segala idealisme mereka terhadap kebebasan.

Mereka tidak perlu melihat hal ini lebih jauh kerana contohnya berada di muka pintu.


MUNSYI ABDULLAH

No comments: