Wednesday 1 July 2009

MENANTI DAN MENEGUK DI AIR YANG KELODAK

Nampaknya Nik Aziz memang semakin ‘besar kepala’ dan semakin angkuh dan bongkak dalam membuat kenyataan. Tindakan Nik Aziz ini seumpama membelakangi Presiden Parti, Haji Hadi dan juga tidak lebih dari ‘merendahkan maruah’ Presiden Parti di mata penyokong Pas dan di persada politik negara.

Boleh juga dikatakan sikap dan tindakan Nik Aziz ini ‘biadap’ kerana tidak menghormati ketua, sedangkan dalam Islam setiap umatnya hendaklah menghormati ketua selagi tidak diarahkan melakukan perkara-perkara maksiat dan kemungkaran serta bertentangan dengan ajaran agama Islam. Tapi Nik Aziz sebaliknya, sehingga Haji Hadi dengan rendah diri menyatakan akan mengadakan perjumpaan dengan Nik Aziz untuk mendapatkan penjelasan berhubung idea debat dengan Najib. Persoalannya siapa Presiden parti? Nampaknya Presiden parti terpaksa tunduk kepada Mursyidul Am yang juga Menteri Besar.

Isu debat bukan saja ditolak oleh UMNO, tetapi pemimpin-pemimpin PR sendiri menolak cadangan Nik Aziz berhubung idea untuk diadakan debat secara terbuka. Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan menyatakan bahawa muzakarah merupakan medan terbaik berbanding pendekatan lain seperti berdebat kerana pelaksanaannya berdasarkan semangat musyawarah. Beliau juga berkata, melalui muzakarah mereka yang terbabit dengan perbincangan itu boleh mengemukakan hujah serta pendapat masing-masing dengan lebih selesa dan kondusif.

Kerana muzakarah membolehkan masing-masing mengemukakan hujah dan pendapat dengan berpaksikan kebenaran dan dengan kata lain melalui muzakarah tiada pihak akan dapat menegakkan benang yang basah. Ini adalah kerana semasa dalam bermuzakarah kebenaran tetap kebenaran dan ia tidak berubah kerana muzakarah adalah lebih berbentuk kepada wacana keilmuan yang sepatutnya disuburkan demi kepentingan ummah.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin juga tidak bersetuju dengan cadangan Nik Aziz. Beliau menjelaskan bahawa debat secara terbuka tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak. Sebaliknya, beliau mencadangkan kedua-dua pihak menggunakan pentas yang lebih sesuai iaitu berbincang mencari kesepakatan Islam dan Melayu menerusi dialog tertutup. Menurut beliau juga, dialog itu perlu dihadiri atau diadili oleh seorang pengendali yang berpengalaman dalam agama dan ummah bagi memastikan kelancaran dialog yang diadakan.

"Tujuan debat itu untuk apa? Kalau nak cari populariti berdebatlah. Tapi kalau nak selesai masalah, dialoglah," katanya.

"Saya lebih suka diadakan dialog tertutup dan berbincang dalam bentuk kumpulan. Kita akan tahu apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati antara kita semua," katanya. (Utusan Malaysia:30 Jun 2009)

Nik Aziz sebaliknya, beliau masih berdegil dan tetap dengan ideanya untuk mengadkan debat secara terbuka. Namun, jika kita amati, jika inilah situasi yang berlaku dalam masyarakat Islam pada masa ini, tidak mustahil ada pihak akan menanti dan meneguk di air yang kelodak. Sudah nampak perselisihan dan perbezaan pendapat antara umat Islam dan ia juga menunjukkan umat Islam tidak bersatu dalam menyelesaikan dan menanggani masalah yang mendatang. Tiadanya perpaduan dan hilangnya kesepakatan sebaliknya munculnya keegoan dan keangkuhan akan menyenangkan lagi cubaan pihak tertentu untuk meneneruskan agenda memecah-belahkan umat Islam.

Kenapa susah sangat Nik Aziz menerima idea untuk diadakan perbincangan melalui muzakarah yang lebih rasional tanpa ada pihak yang bertindak secara emosional serta mengikut perasaan berbanding dengan debat secara terbuka?
Ataupun Nik Aziz akur dengan ‘aku janji’ yang mungkin telah dipersetujui antara beliau dengan Anwar dan juga Dap. Memang Anwar dan Dap melarang keras Pas mengadakan perbincangan atau musyawarah dengan UMNO. Kerana mereka sedar akan kebaikkan musyawarah berbanding dengan debat. Mereka juga takut, pemimpin-pemimpin Pas dapat disedarkan oleh UMNO akan niat dan strategi jahat mereka. Kerana sekiranya muzakarah Pas-UMNO ini berjaya, ia merupakan satu titik permulaan bagi Pas-UMNO untuk mengadakan lebih banyak perbincangan berbentuk keilmuan antara kedua-dua belah pihak.

Akok@Baulu

No comments: