DALAM masa kira-kira lima bulan saja, Menteri Besar Selangor daripada kerajaan Pakatan Rakyat, Tan Sri Khalid Ibrahim, berulangkali mendapat tempat di hampir semua akhbar arus perdana dan juga televisyen.
Dengan tercetusnya isu pembukaan ladang babi menelan belanja RM100 juta dekat Sepang beliau dilemparkan pelbagai tuduhan dan dikutuk. Apatah lagi sebelum ini pun Khalid dikecam kerana mempertikaikan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang menurutnya perlu dikaji semula dan dimansuhkan.
Belum pun isu DEB reda, soal ladang babi pula timbul. Maka Khalid secara tidak langsung dan sedar tidak sedar menonjol di persada politik dengan namanya bermain di bibir kebanyakan orang baik di kedai kopi, kafe, restoran mamak dan di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta.
Khalid tidak semena-mena diangkat menjadi juara oleh bukan Melayu khususnya Cina dan India setelah sekian lama dinobatkan sebagai antara ahli korporat Melayu yang bijak dan mampu bersaing.
Beliau sekali lagi mengusik dan mencetuskan kemarahan orang Melayu apabila sekonyong-konyong mengulas ada baiknya jika 10 peratus tempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibuka kepada bukan Melayu.
Apa lagi bersorak-sorailah DAP dan bukan Melayu melihatkan gelagat anak Melayu ini yang cuba menampilkan diri sebagai juara Cina dan India apatah lagi Parti Keadilan Rakyat turut mengecam ISA dan penahanan pemimpin-pemimpin Hindraf.
Jelas Khalid bijak bermain api dan memasang joran. Setakat ini belum lagi dia terbakar tangannya dan jorannya sentiasa mengena.
Beliau sedar betapa Melayu mudah lupa. Tunjuk perasaan pelajar UiTM, kata-kata nista dan kecaman orang Melayu terhadap semua diketengahkanya sudah tidak kedengaran lagi. Malah orang tidak lagi marah kepada Khalid.
Apakah sebenarnya agenda Khalid Ibrahim? Sebagai orang yang begitu licik dan bijak selain berpengalaman dalam dunia perniagaan, Khalid sebenarnya sudah membuat perhitungan mengenai kedudukannya pasca Anwar Ibrahim lawan Saiful Bukhari Azlan di mahkamah kelak.
Tindak-tanduk Khalid dalam menghadapi episod Anwar lawan Saiful ini, mudah saja. Selagi masa membenarkannya, inilah peluang baginya untuk menjadi pemimpin paling menonjol yang mampu menggantikan Anwar jika perlu kelak.
Malah sebuah rencana dalam akhbar Buletin Rakyat keluaran 1 September yang membuat andaian ini mendedahkan segala taktik Khalid selama ini menuju ke matlamat itu.
Malah kalau boleh, Khalid mahu cepat-cepat diangkat menjadi Presiden PKR dan dilantik sebagai Presiden Pakatan Rakyat. Beliau agaknya sudah pun membuat perhitungan jangka panjang iaitu segala-galanya bersandarkan kemungkinan Anwar dapat membentuk kerajaan baru sebelum kes mahkamahnya selesai.
Jika episod seterusnya tidak menyebelahi Anwar, bagi Khalid sebagai juara Cina-India dan tokoh korporat Melayu pula, beliaulah paling layak menjadi Perdana Menteri baru kerajaan Pakatan Rakyat dengan Azmin Ali menggigit jari. Mungkin beliau sedang menyusun langkah selanjutnya bagi mententeramkan hati orang Melayu. Siapa tahu!
Saturday, 30 August 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment