Saturday, 16 August 2008

KEMANA HALA TUJU PAS DALAM PAKATAN RAKYAT


Muktamar Tahunan PAS kali ke-54 yang berlangsung di Ipoh, Perak hangat dan panas apabila isu layanan, harapan dan persahabatan PAS dalam Pakatan Rakyat mula dipersoalkan dan menjadi bahan perbincangan para perwakilan. Ucapan-ucapan penuh semangat dan panas para perwakilan merupakan signal amaran kepada Pakatan Rakyat akan kerisauan perwakilan PAS dengan situasi polemik politik pakatan yang lebih memihak kepada PKR.

Para perwakilan lantang bersuara meluahkan ketidakpuasan hati mereka akibat kelebihan yang ada pada PKR. Layanan, tumpuan dan harapan banyak tertumpu kepada PKR dan kehebatan perjuangan Anwar Ibrahim sehinggakan Haji Hadi dan Nik Aziz dan pejuang-pejuang PAS lain yang telah lama berjuang menegakkan perjuangan Islam mula di pinggirkan. Ia seumpama pokok yang layu tidak disiram dengan air dan ditaburi dengan baja.

Akibatnya Muktamar Tahunan PAS menjadi medan para perwakilan meluahkan perasaan mereka akan ketidak adilan layanan dan ketidak telusan persahabatan terhadap PAS dalam Pakatan. Namun, terdapat beberapa permimpin tertinggi PAS cuba mententeramkan perasaan para perwakilan mereka dari meneruskan kritikan mengenai hubungan PAS dalam Pakatan tapi ia tidak dapat memadamkan api kemarahan yang semakin membuak-buak.



Ia dihangatkan lagi apabila Ketua Dewan Ulama PAS Pusat menyatakan dalam ucapannya bahawa Presiden PAS adalah orang yang paling layak untuk menjadi Perdana Menteri selepas 16 September nanti dan ketika ditanya mengenai pertikaian kelayakan Anwar Ibrahim, beliau menegaskan bahawa pemilihan seseorang pemimpin adalah berdasarkan kepentingan yang boleh disumbangkan kepada Islam dan menguntungkan Islam itu sendiri (HarakahDaily.Net:14 Ogos 2008).

Ketegasan pendirian Presiden PAS juga harus di puji kerana beliau berhasrat ingin menjadikan PAS sebagai parti yang memimpin, bukannya parti yang menumpang (Utusan Online:15 Ogos 2008) dan tindakan Presiden PAS mengistiharkan PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat sekiranya Pakatan Rakyat gagal untuk melaksanakan misi Islam selepas 16 september ini merupakan signal yang cukup jelas akan pendirian PAS tidak akan tunduk kepada tekanan sama ada dari DAP atau Parti Keadilan dalam Pakatan Rakyat.

Pendirian yang diambil oleh Presiden dan Ketua Dewan Ulama Pas adalah disebabkan wujudnya perasaan tidak puas hati dan kerisauan sejak akhir-akhir ini oleh para pemimpin dan juga mendapat bantahan dari ahli-ahli PAS mengenai tindak tanduk pemimpin-pemimpin dari DAP dan PKR. Sebab itulah para perwakilan mengambil kesempatan dalam Muktamar Tahunan ini untuk membongkar dan mendedahkan kepincangan dan layanan rakan dalam Pakatan kepada PAS.

Para pemimpin dan ahli-ahli PAS juga mendakwa bahawa terdapat pihak-pihak tertentu dalam Pakatan melarang ahli PAS memperkatakan mengenai perjuangan negara Islam oleh PAS demi menjaga hati rakan dalam Pakatan. Selain itu mereka juga mendakwa terdapat beberapa keputusan yang di buat oleh Presiden PAS tidak lagi dihirau dan dipedulikan sebab itulah seorang perwakilan dari Selangor dalam ucapanya menyeru dan seterusnya mengajak ahli dan para penyokong PAS menjatuhkan pemimpin tersebut.

Selain itu terdapat para pemimpin dan ahli serta penyokong PAS tidak puas hati dan turut membidas dan mendakwa berita-berita dalam Harakah tidak lagi mengutarakan berita-berita mengenai berkaitan PAS tetapi lebih memaparkan berita ‘orang lain’. Siapakah ‘orang lain’ yang dimaksudkan ini hanya mampu dijelaskan oleh para pemimpin dan ahli PAS sahaja dan juga rakan dalam Pakatan.

Para pemimpin, ahli dan penyokong PAS juga melahirkan perasaan marah dan kecewa terhadap Menteri Besar Selangor dan Pulau Pinang. Kekecewaan timbul akibat kegagalan beberapa Pemimpin PAS untuk bertemu dengan kedua-dua Menteri Besar tersebut untuk berbincang akan masa depan dan hala tuju Pakatan Rakyat walaupun telah berulang kali mengutuskan surat ke pejabat walaupun sudah lebih 100 hari Pakatan Rakyat memerintah Selangor dan Pulau Pinang.

Perwakilan Selangor mendakwa layanan Menteri Besar terhadap ahli PAS hanyalah sekadar penjaga parking, pengutip sampah dan menampal poster sahaja apabila sesuatu ceramah atau apa-apa aktiviti Pakatan Rakyat diadakan. Selain itu ahli Pas juga didakwa hanya layak menjadi pemerhati di pinggiran sahaja.

Selain itu tuduh menuduh mengenai bantuan dan kerjasama semasa PUR ke 12 lalu mula dibangkitkan dan Keadilan mendakwa PAS tidak banyak membantu mereka membawa kemenangan, wal hal sebelum PUR ke 12 mereka seumpama sehabat sejati sehidup semati tetapi rupanya bila kenyang, kenyang seorang diri (HarakahDaily.Net:15 Ogos 2008).

Lebih menyedihkan semasa sambutan 100 hari pemerintahan di Selangor baru-baru ini, Perwakilan Selangor ini mendakwa tiada satu pun bendera PAS digantung.

Nampaknya, jelaslah bahawa pada hakikatnya Pakatan Rakyat terutamanya PAS sedang alami gelombang kesedaran akibat janji manis dari rakan dalam Pakatan. Ia diakui sendiri oleh Naib Presiden PAS, Mohamed Sabu yang mengakui bahawa adanya berkaitan masalah dalaman yang dihadapi oleh PAS dalam Pakatan Rakyat. Beliau mengakuinya semasa menyampaikan ucapan merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS (Harakahdaily.Net:13 Ogos 2008).

Perasaan tidak puas hati para pemimpin dan ahli PAS ini adalah berpunca dari sikap para Pemimpin PKR yang lebih radikal dan meminggirkan perjuangan Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini. Manakala DAP lebih kepada pendekatan mereka yang langsung dan terang-terangan tidak boleh menerima pemerintahan Islam yang diamalkan oleh PAS seperti di Kelantan.

Ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat “Percubaan dari beberapa pihak selepas PUR ke 12 baru-baru ini mencabar keputusan Sultan dengan cara yang tidak beradab adalah sesuatu yang di luar adab dan tatacara masyarakat Melayu” (Harakahdaily.Net:14 Ogos 2008) secara sinis mengambarkan tiada persefahaman dalam Pakatan Rakyat. Ucapan tersebut mungkin difahami dengan jelas oleh ahli PAS Perak terutama sekali Menteri Besar nya.

Jadi benarlah apa yang dikatakan oleh rakyat Selangor sebelum ini dan dikuatkan lagi dengan kenyataan dari Perwakilan PAS Selangor bahawa pemimpin dan penyokong PKR angkuh dan sombong, kerana mereka mendakwa kemenangan Pakatan Rakyat yang turut dianggotai oleh PAS dan DAP adalah sebenarnya adalah kerana sokongan rakyat ke atas PKR dan kredibiliti Anwar Ibrahim.

Tanpa kekuatan PKR dan Anwar, nescaya DAP dan PAS tidak mungkin mampu menawan Selangor, Perak, Kedah, P.Pinang dan Kuala Lumpur. Tanpa Anwar juga,nescaya DAP dan PAS mungkin mengalami nasib seperti keputusan pilihanraya 2004 apabila BN hampir melenyapkan mereka.

Namun, apabila Anwar kembali ke pentas politik menerajui PKR sokongan rakyat terbukti kembali pada pembangkang apabila BN tersungkur dan terpaksa menyerahkan 5 negeri kepada Pakatan Rakyat. Mereka berkata PKR lah yang mengatur dan menyusun strategi sehingga kejayaan merampas 5 negeri.

Dimanakah perjuangan Ulamak yang dilaung-laungkan oleh PAS sebelum ini. Mungkin demi menjaga hati dalam Pakatan, PAS sanggup mengadaikan Islam. Dan adakah PAS mampu mempertahankan kenyataan Presidennya jika 16 September ini menjadi kenyataan? Sanggupkah Anwar Ibrahim membiarkan begitu sahaja? Bagaimana pula dengan DAP? Sedangkan hari ini Perak dan Selangor pemimpinnya dijajah secara diam oleh DAP?

Rakyatlah penentu segala, demi maruah bangsa dan negara samalah kita mempertahankan hak kita agar tidak terlepas kepada mereka yang mampu menghancurkan bangsa dan agama kita.

No comments: