Apabila seseorang berada dalam keadaan terdesak, mereka akan buat apa saja dalam memastikan segala yang dihajati akan dikecapi. Mereka yang desperado atau desperate ini sudah tidak ambil pusing dalam apa jua bentuk tindakan atau kelakuan yang mereka telah dan sedang lakukan. Yang penting bagi mereka ialah kepuasan nafsu dapat dihajati. Namun, dalam politik, apa jua bentuk tindakan dan kelakuan, dalam apa jua bentuk keadaan, ia boleh terjadi tanpa diduga ataupun tanpa disedari.
Kalau kita lihat apa yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dan Isterinya dalam karier politiknya hari ini boleh dikatakan tindakan desperate dalam politk. Tidak mustahil, oleh kerana desperate dalam politik demi mengejar cita-citanya menjadi Perdana Menteri menjelang 16 september nanti, isteri terpaksa berkorban melepaskan jawatan kerana Permatang Pauh sajalah kawasan selamat untuk beliau mengejar cita-citanya.
Tapi rata-rata rakyat Permatang Pauh semuanya terkilan, tertipu dan melahirkan rasa tidak puas hati diatas tindakan Ahli Parlimen yang di pilih oleh rakyat Permatang Pauh pada PUR yang lalu. Apa tidaknya, belum pun sempat apa-apa janji ditunaikan, rakyat sekali lagi diajak untuk mengundi, tapi kali ini calonnya adalah Anwar Ibrahim.
Tindakan desperate Anwar ini juga dilihat akibat sokongan dan simpati rakyat kepada beliau semakin hilang. Pelbagai cubaan beliau lakukan dalam usaha meraih sokongan rakyat tetapi rakyat tidak keluar untuk memberi sokongan. Antaranya cubaan beliau ialah dengan mengadakan road show atau ceramah ke pelusuk negara dan menghasut rakyat supaya mengadakan demontrasi.
Beberapa cubaan untuk mengadakan perhimpunan rakyat, untuk menunjukan sokongan keatas beliau juga tidak mendapat sambutan. Walaupun beberapa perhimpunan diadakan, tetapi tidak mendapat simpati rakyat seperti tahun 1998. Anwar cuba mewujudkan situasi tahun 1998 untuk mengejar cita-cita politiknya. Sikap desperate Anwar dan rakan-rakannya dalam politik ditelanjangkan dihadapan penyokong beliau sendiri apabila himpunan sejuta rakyat tidak dapat sambutan, tetapi dimalukan apabila sebuah kumpulan menyanyikan lagu yang liriknya lucah dan aksi menunjukkan punggung semasa mereka membuat persembahan menimbulkan perasaan marah penyokong mereka dan juga ahli-ahli PAS.
Selain itu juga, desperatenya Anwar dalam politiknya boleh dilihat dengan jelas. Dengan isu liwatnya terhadap Mohd Saiful belum selesai dan sudah tentu beliau tahu akan apa yang akan berlaku seterusnya dan dengan sepantas kilat ia mengumumkan hasratnya untuk bertanding di Permatang Pauh. Perkiraan tindakan beliau cukup senang, ia cuba memerangkap minda rakyat dengan memburukkan Kerajaan dan mengatakan Kerajaan menghalang beliau untuk bertanding dalam pilihanraya jika pihak berkuasa menangkap beliau berhubung kes liwat ini.
Apa yang di nyatakan oleh Tun Mahathir dalam Buletin TV3 pada 3 Ogos 2008 amat jelas bahawa Anwar cuba menzahirkan tindakan Kerajaan keatas beliau adalah satu bentuk tindakan yang kejam kerana menghalang beliau untuk bertanding dalam Pilihan Raya kecil di Permatang Pauh di dalam sebuah negara demokrasi. Jadi sedikit sebanyak, tindakan beliau ini seolah-olah akan menimbulkan dan membangkitkan kemarahan rakyat diatas sebarang tindakan undang-undang yang akan dikenakan keatas beliau oleh Kerajaan.
Itu desperate di satu pihak, tapi pengumuman Perdana Menteri mengenai kajian penstrukturan semula harga petrol pada setiap awal bulan bermula September ini mungkin boleh ditafsirkan politik desperado? Kenapa dalam masa dan situasi begini PM mengumumkan hasrat Kerajaan untuk menurunkan harga petrol? Nampaknya Kerajaan UMNO juga sedikit sebanyak terikut-ikut dengan permainan politik pembangkang.
Adakah keputusan untuk menurunkan harga petrol ini sudah difikirkan masak-masak? Sudahkah difikirkan akan kesan terutama perasaan rakyat jika 2 atau 3 bulan selepas Kerajaan menurunkan harga petrol, tiba-tiba harga petrol di pasaran dunia melambung tinggi dan Kerajaan terpaksa menaikkan kembali pada harga sekarang iaitu RM2.70? Tidakkah ini akan menimbulkan lagi kemarahan rakyat?
Hari ini rakyat sedang dan sesetengahnya sudah memahami akan tindakan Kerajaan menaikkan harga petrol, namun pengumuman menurunkan harga petrol ini akan memberi satu harapan baru kepada rakyat tetapi adakah harga barang di pasaran akan turun jika harga petrol nanti diturunkan? Apakah harapan dan jaminan di atas penurunan harga petrol oleh Kerajaan keatas harga barang-barang kerperluan rakyat? Janganlah Kerajaan terikut dengan rentak politik mainan pembangkang, kerana dalam sejarah negara, apabila berlaku kenaikkan harga petrol akan diikuti oleh kenaikkan harga barang-barang pengguna namun tidak pernah dalam sejarah negara apabila harga petrol turun, harga barang akan turut turun.
Kalau harga petrol turun tapi harga barang-barang tetap sama dan mungkin akan naik lagi, ia tidak memberi sebarang makna kepada rakyat.
Apa yang dinyatakan ini adalah berdasarkan kenyataan oleh Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran (Berita Harian, 3 Ogos 2008). Beliau berkata “pelaksanaan tambang baru bas ekspres dan bas henti-henti bukan hanya mengambil kira harga bahan api tetapi juga kos operasi termasuk kenaikan alat ganti, gaji pekerja, tol dan sewa terminal”. Adakah rakyat akan menerima alasan sebegini? Bagaimana dengan nasib rakyat berpendapatan rendah yang bergantung sepenuhnya pada pengangkutan bas?
Jadi jelas, penurunan harga petrol tidak memberi sebarang makna kepada pengguna. Petikan dalam Berita Harian bertarikh 3 Ogos 2008 jelas maksudnya “Kerajaan akan memenuhi janjinya kepada pengusaha bas ekspres dan bas henti-henti untuk menaikkan tambang mungkin selepas Aidilfitri ini walaupun harga minyak mentah dunia mulai susut ke bawah paras AS$125 setong”.
Kerajaan sebaliknya perlu melaksanakan tindakan lain yang lebih menguntungkan rakyat. Jika harga petrol diturunkan, penurunan ini juga akan turut dinikmati dikongsi oleh pekerja asing dan rakyat asing dari Singapura dan Thailand yang bersempadan dengan Perlis dan Kelantan.
Sebaliknya adalah lebih baik jika Kerajaan memberikan rebat tunai kepada rakyat seperti diberikan sebelum ini dari menurunkan harga petrol. Dengan wang rebat tunai itu, sekurang-kurangnya ia mampu menggalakan rakyat berbelanja dan ia mampu menjana ekonomi negara dan yang pastinya rebat tunai ini hanya dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja.
Sesungguhnya sesiapa sahaja apabila berkeadaan desperate akan melakukan apa jua. Namun, jika tersalah dan tersilap langkah yang dilakukan nescaya ia boleh mengundang masalah dan buruk padahnya. Menerima kesannya ialah rakyat yang akan menanggung segalanya.
www.malaysiaaktif.com
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment