Tuesday, 25 November 2008

PERSAUDARAAN ANTARA KAUM DI MALAYSIA

Sejak 51 tahun Negara mencapai Kemerdekaan, seluruh rakyat tanpa mengira bangsa hidup aman dan sentosa. Menikmati arus pembangunan, kestabilan politik dan sekali sekala dugaan dalam arus pekembangan ekonomi.

Tetapi jika dilihat dari segi hidup kepelbagaian bangsa di Negara kita dengan pelbagai kaum dan etnik, pelbagai kebudayaan dan pelbagai agama, sudah pasti secara kasarnya ianya cukup indah dan harmoni.
Boleh dikatakan permaufakatan antara kaum di Negara amat membanggakan jika dibandingkan dengan Negara-negara lain.

Rakyat dari pelbagai kaum dan berbeza agama di Negara kita dapat hidup aman dan sentosa namun, kekadang ada juga pihak tidak menghargai dan tidak mengenang budi meminta supaya tuntutan mereka dipenuhi. Itu adalah asam garam bagi rakyat dalam sesebuah Negara yang mengamalkan demokrasi sebagai pentadbirannya.

Apabila Negara kita Merdeka, Islam adalah agama rasmi, Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan. Walaupun sedemikian, rakyat berbilang bangsa masih berhak dan bebas untuk menganut agama lain dan masih boleh bertutur bahasa ibunda masing-masing.


Namun, masih ada pihak yang tidak puas hati dan cuba manipulasi rakyat supaya menidakkan apa yang telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang berdegil dengan meneruskan penggunaan papan tanda dalam bahasa lain selain bahasa Melayu menunjukan keangkuhan pemimpin DAP dan sikap sedemikian jelas memberi gambaran atau ‘signal’ bahawa ‘kuku besi’ adalah ramuan dalam pentadbiran mereka tanpa memperduli perasaan orang Melayu.

Begitu juga dengan percubaan para pemimpin DAP di Perak yang cuba mewujudkan provokasi keatas orang Melayu apabila cuba menukarkan nama Jalan Silibin kepada Jalan P.Patoo, iaitu bekas Pengerusi DAP Perak. Besarkah pengorbanan dan apakah sumbangan Dato’ P. Patoo kepada negara dan juga negeri Perak?

Sebaliknya kenapa tiada bentuk penghargaan contohnya nama jalan, bangunan atau sebagainya bagi mengenang jasa-jasa besar yang disumbangkan oleh Tun Ghaffar? Sesungguhnya apa yang telah dipersetujui dan termaktub dalam perlembagaan Negara sedang uji kesabarannya.

Dalam bab agama pula, contohnya di Selangor sudah ada garis panduan yang perlu dipatuhi sebelum sesuatu rumah ibadat itu dibangunkan. Namun, sejauh mana peraturan yang diumumkan itu dilaksanakan? Mengikut apa yang diumumkan oleh Exco Selangor baru-baru ini bahawa jika terdapat rumah ibadat yang didirikan tanpa permit dan kebenaran PBT ia akan dirobohkan.

Jadi, hinggakan sekarang sudah berapa banyak rumah-rumah ibadat yang didirikan tanpa kebenaran telah robohkan? Walau bagaimanapun, rakyat tidak melihat sebarang tindakan yang dinyatakan oleh Exco Selangor tersebut kerana sehingga kini masih terdapat rumah-rumah ibadat yang tumbuh bagai cendawan ditepi-tepi jalan raya sekitar Selangor yang sesetengahnya menghalang lalulintas.

Bahkan lebih mendukacitakan, terdapat rumah-rumah ibadat tersebut didirikan tanpa kelulusan dan tanpa kebenaran di atas tanah Kerajaan. Terdapat juga rumah kediaman dijadikan tempat sebagai rumah ibadat yang telah menggangu penghuni yang lain. Kenapa Kerajaan Selangor tidak bertindak?

Jika perkara ini tidak ditanggani dengan betul, nescaya ada pihak akan cuba mengambil kesempatan untuk menimbulkan suasana huru hara dalam Negara. 51 tahun rakyat Malaysia hidup aman sentosa tanpa sebarang pertelingkahan dan jadikanlah peristiwa 13 Mei sebagai pengajaran dalam mengeratkan lagi perhubungan dan persaudaraan antara kaum.

Namun yang menariknya, jika kita amati sedalam-dalamnya, adakah persaudaraan antara kaum dalam Negara kita ini berlandaskan kejujuran atau simbolik semata-mata? dalam Perkara 153 Perlembagaan Negara rakyat tidak berhak mempertikaiannya tetapi sekarang ini lain nadanya. Pelbagai pihak mula mempertikaikan Perkara 153.

Kenapa ini terjadi? Kenapa rakyat kita tidak seperti Indonesia yang semuanya kaum Cinanya dan lain-lain telah di ‘Indoensiakan’ dan begitu juga dengan Singapura, masyarakat Cina hanya pada kulit sahaja. Bagaimana Kerajaan kedua-dua Negara tersebut boleh mengubah perkara ini? Ada yang berkata ia berpunca dari sistem pendidikan awal terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Kalau kita perhatikan pada awal 70an hingga pertengahan 90an, ramai anak-anak Cina dan India bersekolah di sekolah kebangsaan, tetapi akhir 90an hingga kini hampir 99% sekolah kebangsaan dipenuhi oleh satu kaum sahaja. Kaum Cina dan India hari ini 99% bersekolah di sekolah (jenis) kebangsaan atau sekolah yang mengutamakan bahasa ibunda mereka.

Kenapa ini terjadi? Adakah sistem pendidikan atau Dasar Pendidikan Negara gagal? Atau adakah kerana sikap Kerajaan yang terlalu lembut dalam menanggani masalah ini? Dikatakan semangat perkauman atau jurang persefahaman antara kaum semakin ketara adalah kerana anak-anak kita tidak didedahkan lebih awal atau terdapatnya ‘halangan’ yang memisahkan persefahaman antara mereka. Ini adalah kerana Melayu dengan Sekolah Kebangsaannya manakala Cina dan India pula dengan sekolahnya (jenis)nya.

Apa salahnya jika di Malaysia ini hanya ada sekolah kebangsaan saja? Kenapa perlu ada sekolah lain selain dari sekolah kebangsaan? Bagaimana kita ingin memupuk persefahaman antara kaum jika dari peringkat rendah dan menengah mereka tidak didedahkan dengan adat atau cara pergaulan dan hormat-menghormati di antara kaum? Janganlah pula kita mempersalahkan generasi akan datang jika mereka sudah tidak lagi menghormati antara sesama kaum kerana kitalah hari ini yang membentuk mereka.

Pendekatan dan tindakan Kerajaan melaksanakaan program PLKN adalah satu cara atau kaedah yang sememangnya tepat tetapi jika dilihat dari satu sudut ia sudah terlewat. Kerana seluruh kaum di Malaysia dikumpulkan hanya dalam masa yang singkat tidak cukup untuk memupuk semangat persaudaraan dan persefahaman dalam tempoh program yang dilaksanakan.

Jika kita amati, kebanyakkan masyrakat Cina dan India contohnya yang lahir di era sebelum 90an kebanyakkannya fasih bertutur dalam bahasa Malaysia berbanding hari ini.

Akibat kelemahan inilah maka adanya pihak-pihak cuba menangguk di air yang keruh dengan cuba menimbulkan suasana apa yang dikatakan ‘perasaan curiga antara kaum’ dan sememangnya ia merugikan negara.

Osman@Mansor