Friday 21 November 2008

Politikus bawa RM75j dengan jet persendirian

PERNAH dengar ketawa besar. Ketawa ala orang Umno, kaya, berkuasa dan tidak hairan kepada sesiapa.

Kalau hendak dengar gaya orang Umno (kebanyakannya berperut gendut) ketawa silalah ke coffee house di hotel-hotel lima dan empat bintang di KL atau bandar besar lain. Ketawa macam ni jarang kedengaran di Warta Citra Cafe. Sekali-sekala tu adalah juga kedengaran.

Gaya penuh kesombongan cauvinis Melayu ini diungkit seorang blogger dalam ruangan Dari Blog akhbar kerdil Mingguan Watan dalam membincangkan isu politik wang dalam Umno.
Tajuk kisah ini amatlah menarik “Wang rasuah RM750 juta dibawa dengan jet persendirian”. Namun siapa dan bila sejumlah besar wang itu diterbangkan dan ke mana
pula tidak didedahkan.
Laporan itu membebel mengenai keadaan Umno yang tersangatlah parah ketika ini memandangkan untuk satu kawasan di Kelantan saja orang tengah meminta RM150 bagi setiap perwakilan. Kali 500 perwakilan sudah mencapai RM75,000.
Ini tidak ambil kira perwakilan yang meminta RM500 hingga RM1,000 seorang kata orang tengah yang bertindak sebagai pengurus kempen seorang calon jawatan tertinggi.
Dulu kisah berbuku-buku wang tunai dibawa dalam beberapa beg bimbit (briefcase) adalah cerita biasa bagi ahli politik di Sabah yang giat berkempen di kawasan bandar dan mungkin pedalaman menjelang pilihan raya.
Ada kisah seorang wartawan (Almarhum) dari Semenanjung diberikan amanah membawa beg-beg itu bagi pemimpin Parti Berjaya yang berkempen.
Oleh kerana sikapnya yang ‘lurus bendul’ wang itu sampai juga kepada kumpulan aktivis Berjaya yang tolong menjayakan kempen parti.
Wartawan veteran ini menceritakan jika beliau ‘kaki kapur’ sebuah beg bimbit sudah mencukupi untuk beliau terus bersara dan pulang lantas hidup mewah di KL.
Pertukaran tangan beratus ribu malah mungkin berjuta wang tunai dalam apa yang hari ini diistilahkan sebagai kegiatan politik wang sememangnya wujud sejak 1980-an lagi itupun di Sabah saja. Cara pemberiannya lain tetapi matlamatnya sama – rasuah politik!
Dulu di Sarawak kisah wartawan dapat kawasan konsesi balak selepas sesuatu pilihan raya juga biasa kita dengar.
Di Selangor, pada awal 70-an memang ada sesetengah wartawan akhbar ditawarkan habuan tetapi bukan berupa wang tunai, cuma ada diberikan lot tanah dengan premium paling rendah (itupun tidak payah dibayar).
Namun, kewujudan wartawan dibalas jasa kerana memberi pendedahan (ada kalanya melampau) kepada seseorang pemimpin semakin menjadi-jadi sejak pertengahan 1990-an ketika Anwar Ibrahim dikatakan melancarkan ‘operasi’ menggulingkan pucuk pimpinan Umno bukan setakat Tun Ghafar Baba malah ada orang kata Tun Dr Mahathir Mohamed sekali mahu disingkirkannya.
Ketika hayat politiknya, ada antara konco Anwar ini ‘dibuka pintu’ oleh beliau hingga menjadi jutawan menguruskan bisnes, membina banglo dan tinggal di luar negara. Cuma hari ini mereka sudah lesap ditelan masa dan keadaan atau dipinggirkan.
Kini kisah RM75juta pula timbul. Siapa politikus yang memiliki jet persendirian membawa rasuah sebanyak itu. Di Sabah zaman Berjaya agaknya atau hari ini sememangnya ada politikus jutawan balak di negeri bawah bayu itu.

1 comment:

Unknown said...

Memang laa...kerja orang UMNO ni songlap duit saja. Buat duit songlap duit. Sekarang Najjib kata sukar nak benteras politik wang. Apa makna tu?