Sunday, 14 September 2008

BN DAN PERPADUAN UNTUK SEMUA

Hari berlalu begitu pantas dan sedar tak sedar umat Islam sudah menjalani ibadah puasa hampir dua minggu lamanya. Ketibaan Syawal bakal menjelma dan sudah pasti Aidilfitri disambut dengan penuh kegembiraan oleh semua umat Islam. Tetapi mungkin Aidilfitri tahun ini tidak terlepas dari perbincangan dan perbualan mengenai situasi semasa negara, terutamanya cerita politik sudah pasti menjadi agenda utama.

Kerana yang dikota akan kembali ke desa, membawa seribu cerita dengan pelbagai gaya dan sedikit sebanyak boleh mempengaruhi mereka di desa. Apa tidaknya, jika anak, abang, kakak, adik serta saudara mara atau sehabat handai mereka yang dikota memegang jawatan tinggi dan berpengaruh pula sudah pasti cerita yang dibawa mampu mengubah persepsi orang didesa dari Hang Setia menjadi Sang Derhaka.

Itu semua bakal menjelang tiba, tetapi apa yang berlaku hari ini,lain pulak ceritanya. Ramai berkata UMNO semakin goyah kerana kuasa dan tamak haloba sesetengah pemimpin dan ahlinya. Lihatlah saja, rasuah dalam pemilihan Bahagian semakin berleluasa dan ada sesetengah menimbulkan pergaduhan sesama mereka. Kenapa itu semua berlaku dalam UMNO? Ada yang mengatakan UMNO adalah lubuk untuk mencari harta kekayaan, pangkat serta kedudukan. Perjuangan UMNO terdahulu sudah dilupakan, kini mereka berjuang demi kuasa, pangkat, harta kekayaan dan kedudukan.
Perpaduan dalam UMNO menampakkan ada sahaja yang ‘tidak kena’ sedang melanda. Mana tidaknya UMNO yang semakin pulih semangatnya mula dilanda badai apabila pelan peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh barisan Kabinet, baru-baru ini telah dipersoal tempohnya oleh ahli Kabinet dan juga MT dalam UMNO sendiri. Tidak kurang juga dengan Isu Datuk Ahmad Ismail, Bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang mengoyahkan hubungan Gerakan dengan UMNO Pulau Pinang dan kepercayaan masyarakat Cina kepada BN.

Ramai tertanya, kenapa disaat-saat situasi politik sekarang ini isu peralihan kuasa ditimbulkan? Mungkin juga cuba meraih sokongan kerana memancing undi untuk perhimpunan yang bakal tiba Disember nanti. Akhirnya terkeluarlah kata-kata dari kalangan pemimpin UMNO sendiri supaya Muhyiddin Yassin berundur atau Perdana Menteri menggugurkan jawatan beliau dari Kabinet.

Ironiknya kenapa secara tiba-tiba apabila Tun Mahathir menyatakan kesediaannya kembali semula kedalam UMNO dan keesokkannya Muhyiddin Yassin semasa di Singapura menyatakan bahawa tempoh perlalihan kuasa perlu diteliti semula. Kemudiannya Datuk Seri Najib pula menyatakan beliau menyerahkan kepada Mesyuarat Bahagian untuk menentukan peralihan kuasa sebenarnya telah menimbulkan seribu satu soalan akan maksud yang tersiarat disebalik kata-kata beliau itu.

Kalau difahami akan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu seperti mengiakan dan menyokong akan kenyataan Muhyiddin Yassin.
Hari ini beberapa pemimpin UMNO Bahagian dari Temerloh dan Alor Gajah dan beberapa UMNO Bahagian lain menyatakan sokongan dan bersetuju dengan cadangan TPM itu, namun ada juga yang menentang kerana keputusan telah dipersetujui dan ada yang meminta supaya pelan peralihan kuasa ini dibincangkan secara tertutup untuk mengelak suasana politik yang tidak matang.

Pada hakikatnya, polimik peralihan kuasa ini tidaklah perlu di bangkitkan lagi kerana ia telah dipersetujui kerana jika tersilap langkah ia mampu mengelirukan dan menimbulkan serta penyumbang kepada perpecahan dalam UMNO itu sendiri.

Persoalan juga timbul, kerana dengan situasi politik sekarang ini adakah dengan kemasukkan Tun Mahathir dalam UMNO mampu menarik kembali sokongan seluruh rakyat Malaysia kembali kepada UMNO dan BN khasnya? Tetapi jika kemasukkan Tun dalam UMNO hanya semata-mata untuk menyulitkan lagi keadaan, baiklah Tun lupa sementara hasratnya itu.

Sebab kita sendiri sedia maklum, turunnya Tun dari tempok pemerintahan sebagai Perdana Menteri adalah kerana beliau tidak lagi mendapat sokongan orang-orang Melayu. Sebab itulah beliau merangka peralihan kuasa dan menyerahkan kepada Pak Lah pada 2004. Terbukti apabila Pak Lah menerajui kepimpinan negara sokongan orang-orang Melayu kembali semula pada UMNO dan BN. Namun, PUR 2008 berlaku sebaliknya, bukan saja orang-orang Melayu, tetapi masyarakat Cina dan India mula menjauhkan diri dari BN dan komponen parti didalamnya.

Namun, selepas apa yang berlaku semasa PUR yang lalu, nampaknya pemimpin dan ahli-ahli UMNO masih tidak mengambil ikhtibar sebaliknya masih dibuai mimpi. Mereka sepatutnya mencari jalan keluar untuk memperbaiki keadaan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya. Hubungan dan kerjasama sesama mereka masih tidak keruan dan pergolakkan semakin serius apabila Anwar Ibrahim dan PKR mengumpan dengan strateginya sehingga UMNO dan BN dilabelkan parti yang menimbulkan situasi perkauman.

Itulah yang dicanangkan oleh Anwar Ibrahim dan PKR terhadap UMNO dan BN. Namun, hakikatnya merekalah yang sebenarnya meniupkan api perkauman kepada rakyat sedangkan Kerajaan BN sentiasa berkerja keras mewujudkan intergrasi, perpaduan, patriotisme dan persefahaman antara kaum. Persoalannya kenapa ada pihak yang sanggup merosakkan kerharmonian berkenaan yang telah dinikmati oleh rakyat Malaysia 51 tahun lamanya? Tidaklah salah jika dikatakan hasrat murni Kerajaan BN telah disalah ertikan oleh pihak pembangkang dan merekalah sebenarnya meniupkan api perkauman.

Mereka tidak segan silu mengundang campur tangan negara asing dalam negara kita. Terbaru Washington secara terangan sekali lagi mencampuri urusan negara apabila meminta Kuala Lumpur membebaskan 3 tahanan ISA iaitu Exco Selangor,Teressa Kok, Pengendali Malaysia Today, Raja Petra dan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng(telah dibebaskan). Hari pertama penahan ketiga-tiga individu ini telah mendapat bantahan pembangkang. Namun, hari ini nada Ketua Pemuda PAS Pusat, Saudara Sallahuddin Ayub adalah berlainan. Beliau menyelar dan membantah keras campur tangan Washington dalam hal ehwal negara terutamanya mengenai ISA.

Jadi mungkin beliau telah sedar bahawa tindakan ISA yang diambil oleh Kerajaan ada kebaikannya dan penjelasan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri mengenai penahan ketiga-tiga individu tersebut adalah amat jelas dan telah membuka mata beliau.

Sebagai rakyat Malaysia kita hendaklah bertanggungjawab mempertahankan keharmonian, perpaduan dan intergrasi antara kaum. Janganlah kita berfikiran cetek dan hanya mementingkan kaum sendiri sahaja dan janganlah pula ada pihak mengambil kesempatan mewujudkan sentimen yang boleh menghancurkan negara semata-mata hanya kepentingan peribadi. Kita patut bersyukur kerana sudah 51 tahun negara Merdeka, kita dapat hidup aman makmur dan jika mahu melihat negara terus maju, seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan kaum hendaklah bersatu padu.



Osman@Mansor

No comments: