Nampaknya di mana saja orang asyik bercakap akan penubuhan Kerajaan baru pada 16 September oleh Anwar Ibrahim dan Pakatan Rakyat. Media memainkan peranannya mencanang akan kesungguhan Anwar Ibrahim dan PKR menubuhkan Kerajaan baru sehinggakan terdapat media membuat ‘countdown’ akan detik 16 September ini.
Tumpuan yang ‘terlampau’ oleh media selain menjadi tumpuan masyarakat kita hari ini, pada hakikatnya ia memberi ‘mileage’ kepada Anwar Ibrahim dan PKR dalam cita-cita politiknya untuk menjadi pemerintah. Dengan kata lain media telah memberi tempat kepada Anwar Ibrahim dan PKR untuk mendapat publisiti secara percuma dan meluas.
Tapi tidak boleh dinafikan bahawa, tindakan media hari ini adalah berpunca dari kecederungan mereka mengejar keuntungan untuk melariskan bahan cetakan mereka melaui berita-berita yang sensasi. Akhirnya masyrakat dijamu dengan berita yang tidak membina dan mampu mewujudkan ketegangan dan mengundang ketidak harmonian dalam negara. Berita-berita yang lebih kepada ilmiah dan nilai-nilai perpaduan serta kejayaan Malaysia diabaikan untuk sajian kepada masyarakat.
Kalau kita perhatikan, belanjawan 2009 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos yang lalu tidak mendapat tempat di hati media tempatan. Sebaliknya isu Anwar Ibrahim dan PKR bercita-cita untuk menubuhkan Kerajaan baru pada 16 September menjadi bahan berita utama kepada rakyat. Tidak lupa juga isu mengenai keretakan dalam BN oleh Parti Gerakan dan isu Ketua Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail menjadi topik utama.
Hebahan mengenai manafaat yang diperolehi rakyat hasil dari pembentangan Belanjawan 2009 yang lalu telah diketepikan. Hasrat murni Kerajaan untuk meringankan beban rakyat dan usaha untuk menjamin kesejahteraan dan kebajikan rakyat terbela kurang mendapat publisiti dan liputannya amat mendukacitakan. Dengan tema Belanjawan 2009 “Kerajaan Prihatin”, nampaknya media tidak mempunyai sikap prihatin kepada Kerajaan sedangkan hasrat Kerajaan adalah untuk kesejahteraan rakyat.
Media sepatutnya mengembar-gemburkan akan keprihatinan Kerajaan berdasarkan dengan kesulitan dan situasi ekonomi pada hari ini kerana Kerajaan sanggup melepaskan beberapa perkara yang penting semata-mata untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terbela dan ia bukanlah janji kosong Kerajaan berbanding sesetengah pihak yang hanya pandai menabur janji manis dan gula-gula, namun sebenarnya hanyalah helah bagi kepentingan politik mereka sahaja.
Hasrat Kerajaan untuk membangunkan modal insan, memperkukuhkan daya tahan negara dan menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah dan dikategorikan golongan miskin tidak diulas panjang oleh media tempatan berbanding laporan media tahun sebelumnya.
Semua ini sebenarnya telah berjaya dimanipulasikan oleh Anwar Ibrahim. Beliau tahu Belanjawan 2009 yang dibentangkan adalah berlanjawan yang terbaik untuk rakyat dan mampu mengugat tawaran atau cadangan yang dikemukakan oleh beliau sebelum ini kepada rakyat.
Namun, Anwar Ibrahim dan PKR telah berjaya mencuri tumpuan pihak media dan masyarakat dan dari apa yang didengari, dikatakan strategi yang Anwar Ibrahim gunakan ini telah ‘mengena’ keatas Kerajaan BN dan UMNO. Para pemimpin BN terlampau cepat melatah, hanya dengan tarikh 16 September dan hanya dengan isu-isu menyentuh perasaan orang Melayu, propaganda Anwar Ibrahim telah berjaya mengheret para pemimpin BN dan UMNO bercakap mengenainya setiap hari dan muncul di dada-dada akhbar. Kekadang setiap ucapan yang dikeluarkan oleh pemimpin BN terutamanya mengenai hak Melayu dan Islam sedikit sebanyak menakutkan mereka yang bukan Islam.
Mungkin Anwar Ibrahim hanya mampu gelak akan melihat gelagat-gelagat yang ditunjukan oleh para pemimpin tertinggi BN dan UMNO yang beliau dan penyokongnya mengibaratkan seperti ‘cacing kepanasan’. Ramai yang tertanya kenapa BN terikut-ikut dengan pemainan Anwar Ibrahim? Logikkah seramai 36 Ahli Parlimen BN akan melompat parti seperti dakwaan beliau?
Jika dilihat secara logiknya, retetan propaganda Anwar Ibrahim bermula dengan persetujuan meneruskan pembinaan ladang ternakan Babi di Selangor yang mencetuskan kemarahan orang-orang Melayu dan Islam. Diikuti dengan kenyataan Menteri Besar Selangor berhubung cadangan membenarkan 10% kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM, larangan azan di Damansara dan Puchong, isu pemberian tanah 400 hektar Kerajaan Perak dan sebagainya. Ironiknya semua isu-isu yang berbangkit ini ialah isu yang melibatkan dan menyentuh hak orang-orang Melayu dan Islam.
Dari apa yang difahami, Anwar Ibrahim sebenarnya sengaja menimbulkan isu-isu ini kerana matlamat utamanya ialah untuk menunjukkan bahawa BN dan UMNO khasnya bukanlah semua parti atau Kerajaan yang mengamalkan dan berjuang untuk perpaduan kaum sebaliknya BN dan UMNO adalah parti yang bejuang untuk kepentingan parti dan kaum masing-masing. Sebab itulah Anwar Ibrahim mencanang bahawa tindakan UMNO khasnya sejak akhir-akhir ini dikaitkan dengan politik perkauman.
Apabila isu cadangan kouta 10% pintu UiTM dibuka kepada bukan Bumiputera, masyarakat Melayu mula melatah terutamanya para pemimpin UMNO, masing-masing mengeluarkan berbagai kenyataan sehinggakan kaum lain rasa bahang ketakutan. Begitu juga dengan pemberian tanah sebanyak 400 hekter kepada sekolah cina di Perak. Yang lantang membantah adalah UMNO Perak apabila menuntut supaya Kerajaan Perak berlaku adil kepada kaum lain, masalahnya yang menuntut adalah orang-orang Melayu. Sehinggakan kata-kata dan luahan perasaan pihak UMNO mengambarkan semangat perkauman yang sangat kuat.
Akhirnya senjata PKR dikeluarkan dan mendedahkan bahawa mereka juga sebenarnya telah menyediakan 100 hektar tanah untuk sekolah-sekolah agama rakyat dan ini mendedahkan akan sikap orang-orang UMNO dalam apa jua tindakan mereka dan hanya dengan cara begini populariti UMNO dan BN semakin merosot kerana rakyat termakan dengan dakyah Anwar dan PKR bahawa BN atau UMNO menyemarakkan politik perkauman. Begitulah juga yang berlaku berhubung dakwaan Khir Toyo bahawa masjid di Damansara dan Puchong tidak dibenarkan melaungkan azan, UMNO ditempelak.
Dalam apa jua tindakan berdasarkan apa yang di buat oleh Anwar dan PKR, mereka sebenarnya dengan sengaja menimbulkan kemarahan orang Melayu dan Islam dalam UMNO dan akhirnya rakyat akan membuat bantahan, namun mereka akan kaitkan bahawa UMNO lah disebalik semua bantahan tersebut.
Sebab itulah Anwar dan PKR sengaja menimbulkan isu-isu sensasi dan akan mengheret BN dan UMNO supaya terjerat dengan strategi mereka. Keangkuhan Anwar berhubung 16 September ini sehinggakan beliau menyatakan sanggup untuk ke Taiwan berjumpa dengan Ahli Parlimen BN adalah punca melatahnya UMNO mengenai 16 September.
Memang wajar BN dan UMNO berwaspada namun berpada-padalah dengan setiap apa tindakan yang dibuat dan janganlah sampai di tertawakan oleh rakyat kerana terlampau mengikut rentak yang dicanangkan oleh Anwar dan PKR.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment