Sunday, 28 September 2008

PEREBUTAN JAWATAN, PENGUKUHAN UMNO DILUPAKAN

Ketika masyarakat sibuk membuat persiapan menyambut Aidil Fitri, kita dikejutkan dengan pemindahan portfolio Perdana Menteri yang menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Timbalannya dan jawatan Menteri Pertahanan yang dipangku oleh Timbalannya diserahkan kepada Perdana Menteri. Belum pun reda cakap-cakap berhubung peralihan portfolio tersebut, MT UMNO pada 26 September telah mengadakan mesyuarat Khas MT walaupun tidak lebih dari 5 hari mesyuarat MT UMNO diadakan sebelumnya.

Hasilnya mesyuarat khas MT UMNO pada 26 September telah memutuskan untuk menangguhkan Perhimpunan Agungnya yang dijangka diadakan pada Disember nanti ke bulan Mac 2009. Bukan itu saja, Presiden UMNO dan juga Perdana Menteri akan mengumumkan sama ada beliau akan mempertahankan jawatan Presiden UMNO pada pemilihan parti itu sebelum persidangan perwakilan bahagian bermula pada 9 Oktober ini. Rata-rata para pemimpin UMNO menyambut baik langkah yang diumumkan oleh Pak Lah memandangkan situasi dan keadaan politik semasa terutamanya pergolakan dalaman UMNO.

Namun, disebalik itu ada juga desas-desus menyatakan Pak Lah terpaksa bertindak membuat keputusan sedemikian bagi menjamin kestabilan dan kekuatan UMNO yang semakin hari semakin parah dan juga akibat desakan dari para pemimpin dan ahli UMNO peringkat akar umbi yang ingin melihat perubahan dalam pucuk pimpinan dalam UMNO sebelum 2010.Ramai veteran-veteran UMNO dan ahli-ahli politik menyambut baik langkah yang di buat oleh Pak Lah terutamanya tindakan peralihan kuasa yang di buat olehnya menunjukkan keikhlasannya untuk menyerahkan jawatan tersebut kepada Dato’ Najib.

PERALIHAN KUASA UMNO, PKR SESAK NAFAS

Peralihan yang dibuat oleh Pak Lah ini sedikit sebanyak membuatkan pihak pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim semakin buntu dalam mempengaruhi rakyat dan beliau terpaksa mencari jalan keluar untuk berjumpa dengan Yang Dipertuan Agong berhubung hasrat beliau menubuhkan Kerajaan baru. Menurut sumber, khabarnya Anwar dan para pemimpin PKR tengah melobi pihak-pihak tertentu yang dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Agong dengan maksud supaya beliau di bawa berjumpa dengan Agong untuk menyatakan beliau telah mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen dan untuk membentuk Kerajaan baru.

Sebenarnya hari ini rakyat sudah sedar akan mainan politik Anwar yang merugikan negara, yang sepatutnya tumpuan kepada membangunkan negara perlu diberi perhatian memandangkan situasi dan ekonomi dunia yang tidak menentu. Rakyat takut akan tindakan liar Anwar dan rakan-rakannya yang hanya akan merugikan negara.

Jesteru, dengan rakyat semakin sedar dan kembali memberikan sokongan dan keyakinan kepada UMNO, seharusnya peluang ini hendaklah diambil oleh pemimpin UMNO dan ahli peringkat akar umbi dengan memperkukuhkan kekuatan dalaman parti dan belajar dari kesilapan yang lalu. Menjelang pemilihan parti dan pemilihan Bahagian UMNO yang dijangka bermula pada awal Oktober nanti, seharusnya UMNO perlu menunjukkan contoh yang baik dalam pemilihan tersebut. Hapuskan politik wang, hapuskan politik tikam belakang dan hapuskan politik dendam sebaliknya tingkatkan kemaufakatan, toleransi dan kembalikan semangat untuk memperjuangkan parti dan bukannya memperjuangkan agenda peribadi.

PEMUDA BERPERANAN BESAR SATUKAN UMNO

Hari ini ahli UMNO sepatutnya melupakan persengketaan, perbalahan dan apa jua yang membolehkan UMNO lemah. Sebaliknya semua ahli UMNO peringkat akar umbi hendaklah bersatu hati bangun memperkukuhkan kembali UMNO agar rakyat kembali yakin akan kepimpin UMNO meneruskan tradisi mentadbir negara. Janganlah pula ahli-ahli UMNO menambahkan lagi sengketa, kerana buruk akibatnya.

Ada dikalangan ahli UMNO melahirkan kerisauan akan pemilihan MT yang akan datang terutamanya perebutan untuk menjadi Ketua Pemuda. Menurut akar umbi, mereka risau akan kewibawaan calon-calon yang mengistiharkan diri mereka untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda. Masing-masing popular dengan masalah tersendiri. Khairy misalnya, ramai dikalangan akar umbi dalam UMNO tidak suka akan beliau kerana mereka mendakwa kerana beliaulah UMNO semakin nazak. Dato’ Seri Khir Toyo pula sememangnya tidak digemari oleh akar umbi di Selangor dan kekalahan BN di Selangor dikatakan berpunca protes ahli UMNO kepada beliau.

Begitu juga dengan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukriz Mahathir yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda. Semua tahu akan sikap dan kelantangan Mukriz sebelum ini yang sentiasa menentang beberapa keputusan Presiden parti dan tindakan beliau ini tidak disenangi oleh pemimpin dan akar umbi UMNO. Selain itu Datuk Zahidi juga turut menyatakan hasratnya untuk bertanding. Tidak dinafikan mereka ini mempunyai kelebihan masing-masing namun, kerana kelebihan mereka inilah disifatkan oleh sesetengah pemerhati politik yang menyebabkan punca kekalahan UMNO dalam PUR yang lalu.
Sehubungan itu, untuk mengembalikan dan memperkasakan perjuangan pemuda UMNO, pemilihan Ketuanya hendaklah berlandaskan keperibadian, kebolehan kepimpinan dan kekuatan untuk memperjuangkan agenda pemuda UMNO. Perkara yang dibimbangi oleh akar umbi ialah jika antara satu calon dari empat yang bertanding ini menang, tidak mendapat sokongan semua peringkat akar umbi dan tidak mampu membawa kebaikkan kepada parti dan institusi pemuda UMNO, nescaya natijah perpecahan akan merumitkan lagi keadaan jika tidak ditanggani dengan sempurna.

Adakah UMNO sudah ketandusan pemimpin muda yang berwibawa? Kenapa pemimpin-pemimpin seperti Adnan Yaakob, Shabery Cheek, Shahidan Kassim, Idris Jusof dan beberapa pemimpin UMNO lain tidak melahirkan hasrat untuk memimpin kepimpinan pemuda? Kenapa dibiarkan mereka-mereka yang bermasalah dan tidak popular untuk bertanding? Sedangkan pemimpin-pemimpin UMNO seperti Adnan Yaakob, Shabery Cheek, Idris Jusof dan Shahidan Kassim terbukti kepimpinan mereka. Ataupun mencalonkan kembali Zaid Hamidi sebagai Ketua Pemuda, yang mana semasa beliau menerajui pemuda UMNO, kekuatan pemuda pada masa tersebut amat disegani oleh pihak pembangkang.

Apalah salahnya jika pemimpin-pemimpin berwibawa ini menjadi Ketua Pemuda, membawa kembali kegemilangannya setelah malap dan patah taring seberapa ketika. Ataupun mereka ini lebih berminat untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi dalam UMNO, seperti Timbalan Presiden atau Naib Presiden?
Apalah gunanya jika menjawat jawatan tinggi dalam UMNO jika parti UMNO goyah dan kucar kacir dan semakin hari golongan muda semakin menjauhi UMNO. Kalaulah Ketua Pemuda dilantik dikalangan mereka yang bermasalah, nescaya masalah yang ada sekarang akan bertambah parah.

Janganlah UMNO mendapat sumpahan seperti yang dialami oleh UMNO Kelantan. Kerana Annuar Musa, UMNO Kelantan menerima sumpahan sehingga hari ini. Rakyat Kelantan amat meluat dan benci dengan sikap dan kepimpinan Annuar Musa, rata-rata rakyat Kelantan sudah menolak Annuar Musa dari awal lagi termasuklah ahli UMNO sendiri. Adanya yang menyatakan zaman Annuar berpolitik sudah tamat, namun beliau masih mendapat tempat di hati pemimpin tertinggi UMNO pusat dan jika ia terus menerajui UMNO Kelantan, selagi itulah UMNO Kelantan menanggung sumpahan tersebut.

Janganlah hanya kerana jawatan, para pemimpin dan ahli UMNO sanggup membelakangkan keutuhan dan kemuafakatan dalaman parti. Jika ini terjadi UMNO akan terkubur dan kesempatan ini akan diambil oleh pembangkang untuk menyakinkan rakyat dan seterusnya memenangi hati rakyat. Janganlah jadikan wang dan pangkat sebagai habuan untuk menyokong UMNO, sebaliknya semangat juang sebenarnya perlu dalam memperjuangkan parti dan negara perlu diutamakan.

Mudahan, pelan peralihan kuasa memberi gambaran baru kepada sokongan UMNO untuk mempertahankan kepimpinan negara. Rakyat sudah sedar, natijah jika menyokong Pakatan Rakyat dan kesempatan ini harus diambil oleh BN dan UMNO.

Osman@Mansor

No comments: