Friday, 5 September 2008

Kerana Anwar, Pak Long dan Pak Ngah bermusuhan

KERIUHAN kempen yang membelah kesunyian malam sudah pun meninggalkan Permatang Pauh.

Pilihan raya kecil 26 Ogos lalu sememangnya mencatatkan banyak kesan dan libasan kepada pelbagai pihak terutama penduduk kampung yang sudah biasa dengan kedinginan subuh dan debu tengah hari.

Tetapi luka di hatiku yang terguris akibat kata-kata kesat, tipu muslihat, janji ditabur yang jelas tidak tertunai terus terasa pedihnya. Ditambah pula dengan sumpah seranah dihamburkan Anwar Ibrahim dan ramai lagi penceramah Parti Keadilan Rakyat yang juga terus menyucuk-nyucuk telingaku.

Lebih buruk lagi apabila dewan solat Masjid Bandar Baru Perda digunakan oleh beribu jemaah dan pendukung parti politik untuk berdoa meminta `dimusnahkan' Timbalan Perdana Menteri, Ketua Polis Negara, Peguam Negara dan pengadu kes liwat Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Doa tersebut dipimpin Dr. Badrul Amin, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang bergema kuat melalui pembesar suara ke kawasan perumahan di sekitar masjid itu.

Bagi kira-kira 70 peratus daripada 58,000 pengundi Permatang Pauh terdiri daripada Melayu beragama Islam, jelas tanpa kamu sedari akidahmu selain keikhlasan dan kejujuran kamu semua sudah dinodai oleh golongan oportunis ini.

Hakikatnya kamu telah menerima tanpa prasangka kunjungan begitu ramai penyokong parti, perayu undi, petualang dan barisan pemimpin ‘gila kuasa’ tetapi balasannya adalah akhirnya kamu semua ditinggalkan menghitung masa depan sendiri.

Apa yang pasti Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah dan pemimpin PKR, Pas dan DAP sudahpun pulang ke Kuala Lumpur tanpa menghiraukan apakah kamu dijengah angin pembangunan atau perubahan.

Tentunya buruk sangka hingga membawa kepada sanak saudara bermasam-masam muka tidak dapat dihindarkan.Bayangkanlah Pak Long dan keluarganya menyokong Umno (Barisan Nasional), Pak Ngah dan Pak Su penyokong Anwar sedangkan Kak Chot dan Kak Chik juga di belakang Umno.

Perbezaan parti yang disokong sesama saudara sesuku sesakat dan di kalangan ipar duai jelas kelihatan di sebelah menyebelah jalan seperti di kampung Melayu di Tanah Liat, Lengkok Tenggiri, Permatang Batu dan banyak lagi desa di jalan raya berliku-liku di Permatang Pauh.

Lihat saja apa berlaku di rumah Pak Ngah dua malam sebelum hari membuang undi. Sedang Anwar ligat menghentam pemimpin Umno yang pernah dipuja dan dipeluknya, tiba-tiba anak bujang Pak Long menerpa masuk dengan membawa bendera PKR. Di depan Pak Ngah dan Kak Chot, anak Pak Long mengibar-ngibarkan bendera itu sambil berpekikkan…:Reformasi’.

Air dicincang memang tidak akan putus. Tetapi politik asabiyah ini telah mencetuskan kebencian dan keretakan di kalangan adik beradik dan sanak saudara.
Pada pagi membuang undi tidak jauh dari pusat mengundi, kumpulan perayu BN dan PKR terutama wanita berbaju kurung, kelihatan mengibarkan bendera dan logo masing-masing .Tetapi tidak jauh dari mereka, dua budak Cina berdiri megah mengibarkan bendera kecil dengan logo DAP!

Puasa sudah pun bermula. Pada 1 Oktober kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mungkinkah parah di hatimu Pak Long, Pak Ngah, Pak Su dan Kak Chot sudah terubat.

No comments: